Segelas
Air Di Medan Perang
Di Zaman permulaan
bangkitnya Agama Islam, banyak peperangan telah berlaku antara pihak tentera
Islam dengan pihak musyrikin. Banyak suku-suku arab yang musyrik telah bangkit
menentang Kerajaan Islam yang berpusat di kota Madinah. Salah satu peperangan
besar yang dihadapi oleh umat Islam ketika itu ialah Perang Yarmuk.
Dalam
masa peperangan ini suatu peristiwa yang sungguh mengharukan telah terjadi yang
kiranya elok dijadikan satu teladan yang indah buat umat dikemudian hari. Satu
contoh teladan yang tidak ada tolok bandingnya bagi menunjukkan keluhuran budi
pejuang-pejuang Islam di medan pertempuran.
Salah seorang sahabat
Rasulullah SAW bernama Abu Jahim Bin Huzaifah yang menyertai perang Yarmuk itu
meriwayatkan satu peristiwa tentang pengorbanan pejuang-pejuang Islam yang
berhati mulia. Abu Jahim bercerita:
“Semasa Perang Yarmuk
itu saya sedang mencari saudara sepupu saya yang berada di barisan hadapan
sekali. Saya bawa bersama-sama sedikit air agar dapat memberi faedah buat
dirinya. Tatkala saya menjumpainya dia sedang terbaring berlumuran darah. Dia
mengerang kesakitan dan harapannya untuk hidup sangat tipis sekali. Melihat
keadaannya itu saya lantas berkejar kepadanya untuk memberikan air. Tetapi
ketika hampir saya memberikannya air itu saya terdengar seorang lagi pejuang
Islam sedang berteriak: “Berikanlah saya air! Air!” Mendengar saudaranya itu
saudara sepupu saya lantas memberi isyarat agar saya pergi melayani orang itu
lebih dahulu dan memberikannya air itu. Maka saya pun tanpa lengah lagi terus
pergi mendapatkan orang itu. Pejuang itu amat saya kenali, tidak lain adalah
Hasyim Bin Abilas.
Tetapi sebelum sempat
saya memberikan air kepada Hasyim, saya terdengar suara orang mengerang di
sebelahnya pula, juga meminta air. Hasyim pula kali ini mengisyaratkan saya
supaya memberikan air itu lebih dahulu kepada orang yang mengerang dekatnya.
Bagaimanapun sebelum sempat saya kepada pejuang yang ketiga itu, ia pun telah
mati syahid. Lalu saya pun bergegas semula kepada Hasyim tetapi sedihnya ia juga
telah mati syahid. Tanpa berlengah lagi saya pergi mendapatkan saudara sepupu
saya itu. Sungguh tidak tahan rasa dihati saya kerana saya dapati dia juga telah
mati syahid.
Demikianlah satu contoh
keluhuran budi yang tidak ada bandingnya yang diperlihatkan oleh pejuang-pejuang
Islam yang beriman.