Kata
ahli Hikmah, Dunia ini dimulai dengan tangis,
dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.
Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid
yang menyintai Tuhan akan selalu menangis
mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri
menangis apabila mengenang nasib diri di hari
akhirat dan membayangkan huru-hara apabila
menjelang kiamat. Dalam hal ini menangis adalah
dituntut. Setitis airmata yang jatuh kerana
takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka
di hari akhirat kelak.
Dalam sebuah hadis
Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari
tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah
lebih disukai Allah dari tasbih para wali.
Rasulullah s.a.w juga ada bersabda: "Kejahatan
yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah
lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa
takbur."
Anas r.a berkata: Pada
suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu
baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andaikan
kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui,
nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak
menangis." Anas berkata: seketika itu
para sahabat menutup muka masing-masing sambil
menangis teresak-esak.
Hari ini manusia terus
menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka
amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi,
Rasul dan sahabat. Jika orang soleh
zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya
di akhirat tetapi orang hari ini menangis kerana
takut kehilangan dunia. Tangisan ini
datangnya dari sifat tamak dan tidak redha.
Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan
kecintaannya pada Allah, orang hari ini takut
berpisah dengan dosa dan maksiat. Jika para Nabi
dan rasul serta para sahabat takut menghadapi
akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan
tidak takut menghadapinya. Tetapi bila orang
soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi,
orang hari ini takut dan lemah hati dalam
menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.
Menangis dan
menangislah tapi biarlah kena pada tempatnya
yang dibolehkan oleh agama. Apa akan jadi jika
kita gagal diakhirat? Inilah sebenarnya
kegagalan yang total... Jadi kalau perkara ini
yang kita tangiskan, memang kenalah pada
tempatnya. Abu Hummah(Shadujja) Bin Adilan
Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w:
"Tiada suatu yang lebih disukai oleh
Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan
airmata kerana takut kepada Allah dan titisan
darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun
dua bekas adalah bekas dalam perjuangan
fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban
kepada Allah." (Riwayat Attirmizi).