GEJALA-GEJALA
PENYAKIT ROHANI
PENGERTIAN ROHANI
Perkataan rohani dalam bahasa Malaysia sering dikaitkan dengan : hati, kalbu,
jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang mewujudkan sebagai suatu unsur
peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
Tetapi gejala dalam kerjanya dapat dirasakan. Gejala itu misalnya: menangkap dan
menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira
dan sebagainya.
Imam Ghazali dalam kitab Ihyaulumiddin menerangkan bahawa roh itu ada dua makna.
Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan
perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh
bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat
mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang
dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.
Keterangan tentang adanya penyakit rohani itu dikemukakan di dalam Al-Quran
antaranya:
Firman Allah yang bermaksud:
‘Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah
bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan’.
(Q.S. Al-Baqarah, ayat 10)
LEMAH DAYA KERJA
Jika seseorang itu sihat rohaninya ia akan memiliki kemampuan beramal yang
tinggi, ghairah bekerja dan bersemangat untuk maju dalam kebaikan. Sebetulnya
orang yang mengidap penyakit rohani akan nampak kemundurannya dalam kemampuan
bekerja,
hilang ghairah dan semangatnya untuk maju. Yang menonjol hanyalah kelemahan dan
kemalasan.
TUMPUL FIKIRANNYA
Orang yang sihat rohaninya mudah menangkap kebenaran, hatinya selalu dipancari
(nur) kebenaran. Adapun orang yang sakit rohaninya terlihat adanya kebodohan,
kelemahan dalam berfikir sehingga susah menerima kebenaran. Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud:
Ertinya : ‘Tidakkah mereka mahu berjalan di muka bumi, supaya ada bagi mereka
hati yang mereka boleh mengerti dengannya, atau telinga yang boleh mendengar
dengannya. Sesungguhnya bukan penglihatan yang buta tetapi hati mereka yang ada
di dalam dada itulah yang buta’.
(Q.S. Al-Haj, ayat 46)
Mereka begitu susah menangkap kebenaran, sekalipun dengan perbandingan dan
perumpamaan sahaja. Dalam hati mereka terdapat kotoran yang menutup mata
hatinya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
‘Dan sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam terhadap sejumlah jin
dan manusia. Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak mahu mengerti dengannya dan
mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga tetapi
tidak mahu mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat
lagi. Mereka itulah orang yang lalai’.
PENDANGKALAN RASA
Orang yang sihat rohaninya ialah orang yang begitu terkesan apabila mendapat
nikmat dan rahmat Allah yang diterimanya dengan penuh syukur. Adapun bagi orang
yang tidak pandai bersyukur dengan nikmat Allah dianggap sebagai memiliki
perasaan dangkal dan kelemahan zauq. Pendangkalan rasa terhadap nikmat Allah itu
dapat dipandang sebagai gejala penyakit rohani. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
‘Apabila kesukaran menimpa manusia, mereka seru Tuhan dalam keadaan berserah
diri kepadaNya, kemudian apabila ia rasakan kepada mereka rahmat daripadaNya,
tiba-tiba segolongan daripada mereka menyekutukan Tuhan mereka.’
(Q.S. Rum, ayat 33)
GELISAH DAN KELUH KESAH
Orang yang sihat rohaninya, terdapat ketenangan pada air mukanya. Sebaliknya
orang yang mengalami gangguan penyakit rohani, terdampar pula melalui sikapnya
yang diliputi kegelisahan dan keluh kesah. Kegelisahan dan keluh kesah itulah
yang merupakan pencerminan daripada ketidak stabilan mental.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
‘Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat gelisah. Apabila bahaya mendatangani
dia keluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan amatlah kedekutnya. Kecuali orang
yang mengerjakan sembahyang. Yakni mereka yang tetap dalam sembahyangnya’.
(Al-Maarij, ayat 19-23)
LIAR TERHADAP KEBENARAN
Salah satu daripada tanda ketenangan jiwa ialah kecenderungan mencari dan
menerima kebenaran dan menolak kebatilan. Fikirannya tenang dan sentiasa
mempertimbangkan sesuatu itu dengan baik. Sebaliknya orang yang liar terhadap
kebenaran dan tidak senang mendengarkan mutiara-mutiara hikmah dapat dipandang
sebagai orang yang terkena penyakit rohani.
Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:
‘Apakah di dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu ataupun mereka
khuatir kalau-kalau Allah dan RasulNya menganiaya mereka. Tidak! Bahkan mereka
itulah orang yang zalim.
(Q.S. An-Nur, ayat 50)
BURUK SANGKA
Salah satu daripada tanda penyakit rohani ialah prasangka-prasangka yang buruk,
antara lain anggapan yang bukan-bukan terhadap Allah dan RasulNya. Firman Allah
yang bermaksud:
‘Dan ingatlah ketika orang munafik dan orang yang dihatinya ada penyakit
berkata: ‘Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan
tipuan.’
(Al-Ahzab, ayat 12)
Selain mempunyai prasangka yang buruk terhadap Allah dan RasulNya, ia juga
mempunyai prasangka yang buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
‘Wahai orang yang beriman, tinggalkanlah sebahagian besar daripada
sangka-sangka, kerana sebahagian daripada sangka-sangka itu dosa.’
(Q.S. Al-Hujarat, ayat 12)
SUKA MENGHASUT (FITNAH)
Jika orang yang sihat rohaninya selalu rindukan ketenangan, kedamaian dan
ketenteraman, sebaliknya orang yang berpenyakit rohani kadangkala suka menghasut
dan menimbulkan pergaduhan dan keributan. Sebab itulah sikap suka menghasut dan
menimbulkan kegemparan di dalam masyarakat dapat dipandang sebagai penyakit
rohani. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
‘Sesungguhnya kalau orang munafik dan mereka yang dihatinya ada penyakit dan
penggempar-penggempar (penghasut-penghasut) di Madinah tidak menghentikan
(kegiatannya) sudah tentu kami akan perintahkan engkau menyerang mereka,
kemudian mereka tiada dapat tinggal berjiran dengan engkau kecuali sementara
waktu saja.’
(Q.S. Al-Ahzab, ayat 60)
MENARUH HATI TERHADAP WANITA YANG SUDAH BERSUAMI
Salah satu gejala daripada ketidak-normalan jiwa ialah sikap menaruh hati dan
berkeinginan terhadap wanita-wanita yang sudah mempunyai suami. Kerana itulah,
maka Allah memberi nasihat kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. Firman Allah s.w.t.
bermaksud:
‘Hai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak sama dengan seorangpun dari wanita-wanita
lain jika kamu berbakti. Maka janganlah kamu berlembut kata (kepada lelaki
lain), kerana akan menaruh harapan (akan timbul keinginan) orang yang hatinya
ada penyakit melainkan ucapkanlah perkataan yang sopan.’
(Q.S. Al-Ahzab, ayat 32)
Di antara ahli tafsir ada yang mentafsirkan pengertian penyakit dalam ayat
tersebut sebagai syahwat zina. Keterangan ini logik kerana orang yang normal
fikirannya tentu dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang
halal dan mana yang haram. Adapun orang cenderung kepada hal-hal yang tidak
wajar dan menyimpang dari nilai-nilai moral maka ia dipandang sebagai kelakuan
yang tidak normal.
KEROSAKAN YANG DITIMBULKAN OLEH PENYAKIT ROHANI
Setiap orang merasakan dan mengetahui betapa buruknya akibat-akibat penyakit
jasmani yang menimpa seseorang. Tetapi penyakit rohani sebenarnya mempunyai
akibat-akibat buruk yang lebih serius daripada penyakit jasmani. Antaranya
ialah:
1. MENGGANGGU KETENANGAN
Orang yang berpenyakit rohani tidak akan dapat menikmati ketenangan hidup. Hal
ini bererti mencelakakan dan meruntuhkan kebahagian. Hanya orang yang sihat
rohani sajalah yang dapat menikmati ketenangan dan kebahagiaan.
2. MENJAUHKAN DIRI DARI TUHAN
Penyakit rohani dalam istilah lain disebut ghibah, sifat buruk, muhlikat, sifat
buruk yang merosakkan atau ahlqul mazmunah yakni akhlak yang tercela. Sifat dan
sikap mental yang demikian amat tidak diredai oleh Allah dan diperhitungkan
sebagai dosa; misalnya munafik, iri hati, sombong, dan lain-lainnya. Dengan
demikian memiliki sifat dan sikap tersebut bererti membuat diri dimurkai dan
kian jauh dari Tuhan.
3. MELUMPUHKAN DAYA KERJA
Jika orang yang sihat rohaninya dia akan dapat bekerja dengan tekun dan beramal
kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya sebagai bakti kepada Allah dan ihsan
kepada sesama manusia. Sebaliknya orang yang berpenyakit rohani, daya kerjanya
lumpuh dan tidak sanggup melakukan sesuatu yang penting dan bernilai dalam
pembangunan. Jika seseorang hanya pandai merosak tetapi tidak pandai membangun
maka dapatlah dipandang orang itu sebagai sampah masyarakat bahkan lebih buruk
daripada sampah.
4. MEROSAKKAN JASMANI
Ahli-ahli di bidang kesihatan pada umumnya sependapat bahawa penyakit-penyakit
rohani mengakibatkan berlakunya kerosakan pada jantung, tekanan darah, saraf,
paru-paru dan sebagainya. Gangguan mental menyebabkan orang merasa tidak enak
makan, dan tidak dapat tidur. Apabila penyakit rohani itu berlarutan tanpa ada
usaha pengubatan dan pencegahan, maka akan membahayakan dirinya sendiri mahupun
bagi orang lain.
Apabila penyakit itu kian bertambah berat, sehingga ke tahap membahayakan orang
lain serta tidak dapat lagi memahami kenyataan-kenyataan hidup maka orang itu
pasti terkena tekanan penyakit gila atau janun.