Sabda Rasullallah yang bemaksud:
"Apabila umatku membesar-besarkan dunia nescaya kehebatan Islam akan
dihapuskan dari mereka, dan apabila umatku mengabaikan amar ma"ruf dan nahi
mungkar nescaya mereka akan diharamkan dari keberkatan wahi."
(Diriwayatkan Oleh At-Tarmizi)
HURAIAN.
Rasulullah S.A.W. memperingatkan umat Islam dari tercebur ke dalam dua bahaya
besar yang mengancam kehebatan Islam dan menghapuskan keberkatan wahi.
Amaran ini telah menjadi kenyataan hampir di seluruh
masyarakat Islam dewasa ini, di mana kehebatan Islam telah menghilang dan
memudar, baik pada rakyat atau pemerintah. Umat Islam hari ini sedang
ditulari penyakit kebendaan dan mementingkan hidup dunia. Mereka lebih
banyak membuat perancangan-perancangan pembangunan kebendaan yang raksaksa
tetepi terlalu sedikit dan kecil membuat perancangan-perancangan untuk
mempertinggikan kesedaran Islamiah mereka dan untuk menegakkan nilai hidup Islam
dalam kehidupan peribadi dan kehidupan kemasyarakatan mereka.
Kerana itu akhlak seharian mereka tidak lagi menggambarkan kehebatan seseorang
Muslim yang bertaqwa dan kekuasaan masyarakat mereka tidak lagi mencerminkan
kehebatan negara yang mejunjung tinggi nilai-nilai murni syari'at Islam.
Kini umat Islam baik sebagai individu atau sebagai masyarakat telah hilang
kehebatan sifat keaslian Islamiah mereka yang suci. Mereka lebih condong
menjadi manusia pak turut kepada manusia barat, oleh kerana itu mereka dan
negara mereka lebih mencerminkan keagungan Barat dan nilai-nilai orang Barat
dari mencerninkan keagungan Islam dan nilai-nilai Islam.
Umat muslim juga telah ditulari penyakit liberalisma barat yang memuja kebesaran
peribadi yang melampau, penyakit mind your own business, penyakit
nafsu-nafsu yang tidak ingin ditegur dan menegur, tidak ingin dikritik dan
mengkritik dan bertolak dari liberalisme inilah berkembangnya segala macam
maksiat yang durjana dan segala perlakuan sumbang yang meruntuhkan akhlak
walaupun wahi Allah itu didendang, dibaca begitu jenuh dan pulun mamun
keberkatan dan potensinya tidak dapat menegak dan membetuli hati mereka yang
telah dinodai liberalisme itu. Dan sudah menjadi sunat Allah bahawa
manusia yang telah diharamkan dari keberkatan wahi Allah atau Al-Quran itu amat
mudah disambar dan ditaklik syaitan.
Seseorang Muslim sejati ialah seorang yang meletakkan keredhaan Allah sebagai
matlamat hidupnya dan menggunakan seluruh rezeki dan kedudukan dunia untuk
mencapai keredhaan itu. Seseorang Muslim yang sejati ialah seorang Muslim yang
aktif dan berani aktif menegur dan menentang kemungkaran yang berlaku di
sekitarnya dengan bersenjatakan wahi Allah. Dan dari manusia-manusia
Muslim seperti inilah sahaja akan memancarnya kehebatan Islam dan akan
bertunjang suburnya keberkatan Al Quran.