|
HARGAI KEMERDEKAAN
BERAGAMA |
BAYANGKAN anda terkurung
dalam sebuah bilik sempit, gelap,
busuk dan kotor. Pasti tidak ada apa yang difikirkan ketika itu kecuali
mahu bebas daripada kurungan itu.
Demikian lumrahnya manusia. Sesuatu nikmat itu benar-benar dihargai dan dirasai
kepentingannya apabila ia tiada.
Nikmat sihat hanya dirasakan
apabila ditimpa sakit. Ketangkasan dan kecergasan usia muda
hanya disesalkan apabila kerenah usia tua mula
meniti.
Demikian juga kebebasan dan kemerdekaan. Hanya mereka yang terpenjara atau pernah mengalaminya
benar-benar memahami erti kebebasan.
Kebebasan adalah anugerah Allah kepada makhluk-Nya. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah berkata: Bilakah kamu menganggapkan manusia ini hamba
kamu, pada hal mereka telah
dilahirkan oleh ibu mereka sebagai
makhluk yang merdeka?
Jadi, tidak ada siapa pun boleh
mendakwa dialah yang memberikan kebebasan kepada manusia seperti tidak ada
seorang pun daripada kalangan manusia yang berhak untuk merampas
kebebasan seseorang yang
lain.
Perakuan kebebasan ini dijelmakan
dalam kebebasan untuk memilih akidah
atau pegangan hidup. Allah berfirman maksudnya: Dan katakalah (wahai Muhammad saw): Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu. Maka
sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan
sesiapa yang mahu ingkar, biarlah dia mengingkarinya... (Surah al-Kahfi, ayat 29)
Firman-Nya lagi: Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia
beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.
(Janganlah engkau
bersedih hati mengenai kedegilan orang yang ingkar itu; kalau Tuhan
tidak menghendaki), maka patutkah engkau
pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang yang beriman? (Surah Yunus, ayat
99)
Sesungguhnya pemilik agama ini,
yang mencipta dan memiliki alam semesta,
memerintahkan Nabi utusan-Nya agar tidak memaksa hamba-Nya memeluk agama yang diturunkan-Nya.
Malah, hamba-Nya diberi kebebasan sepenuhnya sama
ada mahu beriman atau sebaliknya,
selepas diberi penjelasan mengenai kebenaran dan keindahan
agama ini melalui ayat suci al-Quran
dan diterjemahkan pula dalam bentuk amalan
oleh Nabi serta pengikutnya.
Mari kita saksikan
bagaimana seriusnya Rasulullah melaksanakan perintah Tuhannya agar tidak memaksa umat
manusia memeluk Islam.
Seorang lelaki musyrik bernama Thamamah bin Athal memasuki Madinah dengan sebilah pedang untuk membunuh
Nabi.
Dia berjalan, berlegar ke
Melihat gerak-gerinya, Umar mengesyaki sesuatu, lalu menghampiri
Thamamah dan bertanya: Hendak ke manakah engkau
wahai Thamamah? Tanpa rasa takut
dan gentar, meskipun berhadapan dengan Umar, Thamamah
menjawab dengan tegas dan berani:
Aku hendak membunuh Muhammad!
Tanpa berlengah walau sedetik pun, Umar lantas menangkap Thamamah, mengheret dan mengikatnya pada sebatang tiang
Masjid Nabawi. Selepas Rasulullah selesai menunaikan solat Zuhur, Umar
menyampaikan apa
yang telah berlaku.
Dengan tenang Baginda menghampiri Thamamah yang sedang terikat pada tiang dalam
masjidnya. Rasulullah memandang
tepat ke wajah Thamamah, kemudian mengalih pandangannya kepada sahabat di sekelilingnya.
Umar pula menanti dengan penuh debar arahan yang bakal diterimanya.
Apakah hukuman paling setimpal yang bakal dijatuhkan terhadap si musyrik
durjana ini? Bunuh? Penjara seumur hidup? Buang daerah?
Namun soalan yang ditanya Baginda adalah sama
sekali di luar dugaan. Baginda
bertanya: Adakah engkau telah membawakan
makanan kepada lelaki ini, wahai
Umar?
Umar menjawab dengan jujur: Belum, wahai Rasulullah.
Lalu, Baginda memerintahkan Abu Hurairah supaya meminta segelas susu
daripada Ummul-Mukminin di rumah Baginda.
Selepas susu
dibawa, Rasulullah memerintahkan supaya ikatannya dilonggarkan. Thamamah duduk dengan selesa untuk
meminum segelas susu yang diberi
oleh Baginda.
Setelah Thamamah selesai minum susu, Rasulullah berkata kepadanya: Wahai Thamamah! Masuklah Islam!
Ajakan tulus ikhlas itu ditolak
oleh Thamamah dengan katanya: Tidak wahai Muhammad! Setelah ajakannya supaya Thamamah memeluk Islam tidak diterima, Baginda memerintahkan supaya dia dibebaskan serta-merta!
Thamamah segera bangkit dan berlalu dari
situ. Selepas beberapa
langkah, dia berpatah balik dan berkata tanpa
teragak-agak: Asyhadu an la ilaha illallah,
wa annaka Muhammad, Rasulullah!
Rasulullah bertanya dengan penuh kehairanan:
Mengapa engkau tidak menerima untuk memeluk Islam ketika aku mengajak
engkau tadi?
Thamamah menjawab: Wahai Rasulullah! Aku takut sekiranya
aku memeluk Islam ketika aku berada
dalam genggamanmu, manusia akan
berkata, Thamamah memeluk Islam kerana takut kepada Muhammad.
Tetapi, kini
aku bebas sepenuhnya. Maka aku memeluk
Islam atas kehendakku sendiri demi mencari
keredaan Allah.
Demikianlah erti kebebasan
yang diajar oleh Nabi Muhammad sejak 15 abad lalu. Kebebasan yang tidak pernah dipinta
dan diperjuangkan oleh sesiapa pun pada waktu itu.
Ia adalah
kebebasan hakiki, yang dianugerahkan Allah kepada sekalian makhluk-Nya tidak kira lelaki
atau perempuan, Muslim atau bukan Muslim.
Kini, ketika seluruh dunia memperkatakan mengenai kebebasan dan hak asasi
manusia, umat Islam yang sejak dulu mengetahui
dan menikmati kebebasan yang dianugerahkan
Allah kepada mereka, bertukar menjadi umat tertindas dan sering dinafikan
hak mereka.
Ketika kaum wanita di
Barat dan di Timur dibenarkan
berjalan bebas tanpa pakaian kerana
menghormati hak asasinya, wanita Islam yang bertudung kepala kerana mematuhi suruhan agama, disekat, dihina dan dinista.
Pada masa kaum lelaki di
Barat bebas mengepit dan meniduri
puluhan wanita tanpa ikatan nikah
yang sah di sisi undang-undang dan agama; lelaki Islam yang berniat untuk melakukan
perkahwinan kedua dengan cara
yang halal di sisi agama, dianggap kejam dan mendiskriminasi
wanita.
Ketika masyarakat dunia menyaksikan peningkatan jenayah di kalangan
orang dewasa, remaja dan kanak-kanak,
pelbagai cadangan, langkah dan bentuk
hukuman dikemukakan.
Tetapi, apabila orang Islam membuka mulut mencadangkan
pelaksanaan undang-undang
Islam, mereka dikatakan kolot, kejam dan
ketinggalan zaman.
Dan ketika tanah air umat Islam diceroboh, umatnya diusir, wanita dan kanak-kanak
dibunuh, orang Islam yang bangkit berjuang demi mempertahankan agama, tanah air dan maruah;
dituduh pelampau dan pengganas.
Maka, sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-47 yang penuh makna ini, marilah
kita bebaskan diri daripada segala
belenggu yang menghalang kita daripada mentaati
dan melaksanakan perintah Allah Yang Maha Agung.
Itulah kebebasan hakiki yang menjamin kebahagiaan di dunia dan
akhirat. Bukan kebebasan mengikut
nafsu dan melakukan maksiat.