BAHAM ULAR..BAHAM...
"Dari Ustaz Abdullah Mahmud
Melihat
pendedahan yang dibuat oleh sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini
mengenai anak bangsa kita yang melakukan perbuatan terkutuk di dalam hutan terutamanya
di pusat-pusat perkelahan mengingatkan pengalaman saya berhadapan dengan
sepasang tunang yang mengadu menghadapi masalah besar beberapa tahun
lalu," beritahu Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah bebas yang dikenali
ramai.
Tambahnya, beliau memang tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana
sepanjang menjadi penceramah, kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh
golongan remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si
wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan, hotel,
rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.
"Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas
anak muda kita yang makin menjadi-jadi. Mereka ini langsung
sudah tidak takut bala Tuhan. Mereka sudah tidak dapat
membezakan antara halal dan haram," tegas beliau dengan nada kesal.
Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di
pejabatnya di BatuCaves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah menjelaskan
pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu datang untuk meminta
pertolongannya.
"Apa yang boleh saya bantu encik?" Tanya Ustaz Abdullah kepada mereka.
Si lelaki kelihatan malu-malu untuk menceritakan masalahnya
manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu mungkin meminta agar segera
menceritakan masalah mereka.
Ustaz Abdullah yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana
berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi masalah besar
saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi
mencari jalan agar kekusutan yang dialami mereka terlerai.
"Ustaz...macam ini, saya dan tunang saya ada masalah
sikit. Ketika tidur, saya selalu nampak ular dalam
rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang membelitnya.
"Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak
kerana sering terbayang ada ular," beritahu lelaki itu ringkas.
Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak.
Dia merenung memikirkan "penyakit" aneh yang dihadapi
oleh pasangan itu.
"Awak pernah pukul ular ke?" Ustaz Abdullah
mengajukan soalan rambang .
Bagaimanapun lelaki itu menggeleng kepala
sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular. Lelaki itu turut
memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular dan akibat itu badan
mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering terkejut.
Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang
bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan
matanya tetapi semuanya tidak menjadi.
"Selalunya kalau jadi macam ni, pasti ada
sebabnya. Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak
akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan
terkena sihir," kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu
Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak
pernah melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya.
"Tak perlu hendak malu. Saya
hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur hal encik tapi
dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar kalau-kalau ada
serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita," pujuk Ustaz Abdullah lagi.
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah.
Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang
lelaki tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan
malu untuk bertentangan mata dengan Ustaz Abdullah.
"Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular sawa
setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering diganggu dengan
bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular,"
akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah.
Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu
terus bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk
membantu, akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya.
Cerita lelaki itu, kejadian itu berlaku sebelum mereka
bertunang. Pada suatu hari, mereka yang mengaku bekerja di sebuah
syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur
janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor. Mereka yang
kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari
biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu
Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi
ke situ pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung
minggu tidak sesuai kerana pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka
untuk bercumbu rayu. Itupun mereka memilih tempat
terlindung tetapi tidak terlepas daripada gangguan pemuda-pemuda yang suka
mengendap.
"Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur.
Ketika saya dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan
tunang saya ini sudah enam bulan. Banyak kali sudah
kami melakukan perbuatan terkutuk itu," nyata lelaki itu sambil menangis.
Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang mempunyai
sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak
berhampiran gigi air sungai.
Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang
manusia pun tidak kelihatan. Bukan main seronoklah
mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa gangguan, meskipun terbit rasa
bimbang kalau ada yang mengintip di sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa
tapi perasan rindu dendam yang membara mengatasi segala-galanya. Di situ, pada mulanya mereka berbual-bual sambil berpegangan
tangan. Kemudian melarat ke bahagian lain pula.
Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing.
Berbekalkan kertas suratkhabar, ia dijadikan alas
untuk mereka berbaring. Pakaian si perempuan dilucutkan satu
demi satu, selepas itu yang lelaki pula menanggalkan pakaian.
Mereka bercumbu rayu dan terus berzina
tanpa menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor
ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeramkan.
"Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat
benda tu, kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak melarikan
diri," cerita lelaki itu dengan perasaan kesal.
Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka
meronta, semakin kuat ular itu menjerut tubuh mereka.
"Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri saya pada masa itu.
Yang penting, nyawa kami harus diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana belitan ular itu yang
sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti tidak sabar-sabar hendak
menelan saya," beritahunya tanpa segan silu lagi.
Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya
pucat lesi seperti sudah kehilangan darah. Lelaki itu
tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya
menandingi ular besar itu. Dalam keadaan cemas,
tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang
kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut.
Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu
mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu.
"Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang
tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu
dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular
tersebut.
"Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai.
Saya tidak mampu bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan.
Pemuda itu memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke
hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang mengintai saya buat
"projek," cerita lelaki itu lagi.
Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami
kecederaan agak teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala
kekasihnya patah dua batang tulang rusuk. Empat bulan
selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan merancang untuk
berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh keluarga yang mengetahui
kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui
oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah
tulang rusuk. Akibat "badi" itu, tidur malam
mereka terganggu setiap malam dan walau kemana sekalipun berada, mereka
terbayang berhampiran mereka ada banyak ular. Mendengar penjelasan
lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya
yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau
telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina.
Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan
peristiwa dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan
mereka itu.
"Awak berdua patut bersyukur. Saya
rasa Allah sayangkan awak berdua. Dia bagi azab kecil
kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera bertaubat. Kalau
nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu menunjukkan balanya di
dunia ini, maka kerana tidak pernah dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan
melakukan zina," nasihat beliau membuatkan pasangan itu menangis
tersedu-sedu sambil berjanji akan bertaubat serta
berkahwin secepat mungkin.
Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk mandi dan minum. Di
samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan itu agar sering mengingati
Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang.
Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian
lelaki itu menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya
dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.
DIRIWAYATKAN OLEH IBNUL JAUZI BAHAWA :
"SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANAM MEMILIKI TUJUH BUAH PINTU. YANG PALING
MENAKUTKAN, PALING PANAS DAN PALING BUSUK BAUNYA ADALAH PINTU YANG
DIPERUNTUKKAN KEPADA PARA PENZINA YANG MELAKUKAN PERBUATAN TERSEBUT SETELAH
MENGETAHUI HUKUMNYA."
NASIB BAIK TAK SEMPAT ULAR BAHAM....KALAU BAHAM.....BERKUBUR DALAM
KENIKMATAN.....