Khusyu' Dalam Solat
Sebenarnya
khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t
yang bermaksud "Telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang
yang khusyuk dalam sembahyangnya"[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. Firman-Nya
lagi Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar,
Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah
Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan
dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan
amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna,
maka barulah dihitung pula amalan yang lain.Firman Allah lagi yang bermaksud :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai
dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat,
tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam
sembahyangnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada
habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia
ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati
dalam sembahyang" . serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah
sembahyang ini sembahyang perpisahan". Yang dikatakan khusyuk itu ialah
hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut
perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan
sembahyang:
1.
Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang
dari punca yang halal tanpa syubhah.
2.
Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat
hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah
dijadikan yang terbaik.
3.
Mendirikan sembahyang di awal waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir
luput.
4.
Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan
dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al
Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat
mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang
melaksanakannya.
5.
Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul
Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.
6.
Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada
kekuasaan Allah.
7.
Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.
8.
Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari
segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
9.
Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.
10.
Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan
pemikiran.
11.
Mendirikan sembahyang secara berjemaah.
12.
Mengambil wuduk dengan sempurna.
13.
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata
ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tahayat melihat anak jari.
14.
Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian
ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
15.
Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis,
lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan
ketika berjemaah.
Walau
apapun syarat khusyu' yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri
terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan
memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang
bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak
khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang.
Imam
Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira
sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia
juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
Apabila
lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun
ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu
merupakan munjat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.
Sayidina
Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di
betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata,
"Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptaNya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud: "Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].