SESUNGGUHNYA
ALLAH MENYAYANGIMU
Sejak akhir-akhir ini, seorang teman
rapat pernah mengadu kepada saya, mengapa dirinya
tidak habis-habis ditimpa musibah dan masalah yang cukup berat didalam
kehidupan beliau.
Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi dari setiap
dugaan dan ujian. Apa
yang boleh saya katakan, sebagai umat Islam seharusnya kita yakin sesungguhnya
setiap cabaran dan ujian hidup
itu adalah bukti kasih sayang
Allah terhadap kita.
Berdasarkan dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami
bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan
itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.
Ibnu Qayyim dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan pertama itu sebenarnya
telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.
Apa yang penting bersabar
dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt. Setiap orang
yang beriman pasti akan menerima
cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu
akan sentiasa
kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan
bentuknya mungkin berbeza-beza.
Sebagaimana yang diriwayatkan
dari sebuah hadis,
Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya
kepada Rasulullah saw., Siapakah orang yang paling berat cubaannya ?
Jawab baginda, Di antara orang-orang yang paling berat
cubaannya ialah para nabi, kemudian
mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji
sesuai dengan kadar agamanya.
Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian
yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar
agamanya. Ujian akan selalu
datang menimpa seorang hamba selagi
dia masih berpijak di atas
bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya.
(Riwayat Tirmizi)
Setiap kali diuji, walau seberat manapun
cabarannya, ketahuilah... ianya akan
menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang. Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti
kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan juga
untuk memastikan kita semua memiliki
iman yang lebih kuat selepas berjaya
menempuhnya dengan penuh kesabaran.
Imam Ghazali ada menulis
di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub,Sesungguhnya
bala merupakan pelita bagi orang
arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki
orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat
manisnya iman sebelum dia ditimpa
bala, rela dan bersabar.
Selain bersabar. Apa
yang paling penting ingatlah
Allah dan berdoalah selalu. Doa
itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim
di dalam kitabnya Ad Da Wad Dawaa, Doa
adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah
dapat menghilangkannya.
Ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan
segala bentuk musibah yang datang.
Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata
orang mukmin. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab
sahihnya yang berasal dari Ali bin Abi Talib ra.,
sabda Rasulullah saw,
Doa adalah senjata orang mukmin,
tiang agama dan cahaya langit serta
bumi.
Akhir sekali,
Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,
Tiada seorang Muslim
pun yang ditimpa sesuatu
yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya,
melainkan kerananya Allah akan menghapuskan
keburukan-keburukannya sebagaimana
pohon yang menggugurkan daun-daunnya.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu
di dalam menghadapi apa
saja bentuk ujian yang mendatang.
PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu