<BGSOUND SRC="semalam.mid">
Hadith Maudhu’
Sejelek-jelek dan seburuk-buruk Hadith ialah Hadith Maudhu’. Iaitu Hadith palsu atau yang didustakan kepada Rasulullah s.a.w. baik mengenai ucapannya, perbuatannya maupun perakuannya. Hadith dikenal sebagai Maudhu’ kerana pengakuan pembuatnya sendiri ataupun kerana orang yang berkenaan sangat terkenal dustanya dan ianya pembuat Hadith palsu. Para ulama telah mengenal pasti dan telah menyenaraikan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus nama orang-orang pembohong dan pembuat Hadith Maudhu’; maka Hadith-hadith yang diterima dan mereka dinamakan Hadith Maudhu’, kecuali apabila ada mutabi’ atau syahidnya dari riwayat perawi lain yang kepercayaan (thiqah).

Pembuatan Hadith palsu ini bermula setelah Rasulullah saw. meninggal dunia dan berlakunya pertentangan politik, kemudian ia berkembang melalui perkembangan arus politik, ashabiah, fanatik mazhab dan lain-lain. Ia dilakukan oleh orang-orang Islam sendiri yang lemah imannya dan juga oleh orang-orang munafiqin dan kafir zindik. Pada dasarnya faktor-faktor yang mendorong lahirnya Hadith Maudhu’ itu adalah seperti berikut:

1. Politik:
Setelah Rasulullah wafat timbullah perpecahan di kalangan umat Islam kerana perbezaan pendapat mengenai jabatan Khilafah, siapakah yang lebih berhak menjabat jabatan yang sangat penting itu. Golongan Jumhur melantik Abu Bakar r.a. manakala pengikut-pengikut Ali r.a. dengan tegas menyatakan bahawa Alilah yang lebih berhak memegang jawatan itu kerana dialah yang lebih layak dan lebih utama dari orang-orang lain, lagipun hal ini telah diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sebelum wafatnya, kata mereka. Melantik orang lain menjadi Khalifah bererti merampas hak Ali yang sah, kata mereka lagi. Bagi menguatkan hujjah-hujjah itu dibuatlah beberapa banyak Hadith yang menyatakan keutamaan Ali bin Abu Thalib itu.

Antaranya ialah:
(a) Barangsiapa ingin melihat Adam tentang ketinggian ilmunya, ingin melihat Nuh tentang taqwanya, ingin melihat Ibrahim tentang kebaikan hatinya, ingin melihat Musa tentang kehebatannya dan ingin melihat Isa tentang ibadatnya, maka hendaklah Ia melihat kepada ‘Ali.

(b) Apabila kamu melihat Mu ‘awiah di atas mimbarku, maka bunuhlah akan dia.

Golongan Jumhur pula tidak ketinggalan membuat Hadith-hadith palsu untuk mempertahankan kedudukan mereka. Di antaranya ialah:

(c) Tidak ada satu pohon pun dalam Syurga kecuali tertulis atas tiap-tiap daunnya “Tiada Tuhan melainkan Allah subhanahu wa ta'aala dan Muhammad itu pesuruh Allah subhanahu wa ta'aala”, Abu Bakar ash-Shiddiq, Umar al-Faruq dan Uthman Zun-Nuraini.


2. Ashabiah:
Islam menentang sama sekali fanatik Ashabiah dan telah menyatukan manusia di bawah runtuhan Ashabiah itu dengan iman dan ukhuwwah. Semua manusia adalah sama dan tidak ada yang lebih utama daripada yang lain melainkan dengan taqwanya kepada Allah subhanahu wa ta'aala. Setelah wafat Rasul, maka penyakit Ashabiah jahiliah itu timbul kembali. Mula-mula antara golongan Anshar dan Muhajirin, kemudian antara qabilah Amawiah dan Hasyimiah dan Abbasiah, kemudian antara bangsa Arab dan bangsa Farsi.

Golongan yang fanatik kepada qabilah Umayyah antaranya membuat Hadith:

(a) Orang-orang yang kepercayaan itu ada tiga orang; Aku (Muhammad), Jibril dan Mu’awiah.

Golongan yang fanatik kepada golongan Hasyimiah dan Abbasiah membuat Hadith-hadith, antaranya:
(Akulah kota ilmu dan Ali adalah pintunya).

(Abbas itu ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli warisku).

Golongan fanatik Arab membuat Hadith-hadith Maudhu’ antaranya:

(Bahawasanya Allah subhanahu wa ta'aala itu apabila Ia rela Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Arab dan apabila Ia murka Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Farsi).

Manakala golongan fanatik kebangsaan Farsi pula membuat Hadith-hadith antaranya:

(Bahawasanya Allah subhanahu wa ta'aala itu apabila Ia rela Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Farsi dan apabila Ia murka Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Arab).

3. Fanatik Mazhab
Perbezaan pendapat mengenai hukum-hukum fiqh akhirnya menimbulkan fanatik mazhab yang memkhinzir buta sehingga mereka sanggup membuat hadith-hadith palsu.

Golongan yang fanatik kepada mazhab Hanafi membuat Hadith-hadith antaranya:

(Akan ada seorang laki-laki di dalam umatku yang dipanggil Abu Hanifah anNu’man bin Thabit, dia adalah suluh, umatku)

Golongan yang fanatik kepada mazhab asy-Syafi’e membuat Hadith:

(b) (Aku (Muhammad) berimam kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan (Bismillah)


Golongan yang fanatik kepada ulama’ al-Kalam yang menyatakan al-Quran itu Qadim membuat Hadith:

(c) (Barangsiapa yang mengatakan bahawa al-Quran itu baharu maka sesungguhnya kafirlah Ia)

Orang-orang yang fanatik kepada mazhab Hanafi pula membuat Hadith:

(a) (Barangsiapa yang mengangkat kedua tangannya, maka tiadalah solat baginya).

Dan golongan yang memusuhi Asy-Syafi’e pula membuat Hadith:

(b) (Akan ada dalam umatku seorang laki-laki yang bernama Muhammad bin Idris, dia lebih berbahaya ke atas umatku daripada iblis).
Dan lain-lain lagi.


4. Golongan Zindiq dan Munafiq’:
Banyak pula orang-orang yang memeluk Islam secara pura-pura, kerana takut, kerana mengikut orang ramai atau kerana sesuatu kepentingan duniawi. Golongan ini, terutamanya para zindiq dan munafiq memusuhi Islam secara senyap-senyap dari dalam, lalu mereka berusaha merosakkan Islam dari dalam dengan membuat banyak Hadith-hadith palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat empat belas ribu Hadith palsu. Abdul-Karim bin al-Auja’ sahaja telah mengaku membuat empat ribu Hadith mengenai halal dan haram.

Di antara Hadith-hadith yang mereka buat ialah:
(a) Aku (Muhammad) adalah penyudah segala Nabi tiada Nabi lagi sesudahku, kecuali jika dikehendaki Allah subhanahu wa ta'aala)

(b) Bahasawanya Allah subhanahu wa ta'aala tatkala Ia menjadikan huruf-huruf, bersujudlah huruf “Ba” dan tegak berdirilah huruf “Alif".

(c) Melihat kepada muka yang cantik itu adalah satu ibadat.

(d) Bahasawanya Allah subhanahu wa ta'aala itu tatkala hendak menciptakan diri-Nya Ia menciptakan kuda dan memacu kuda itu, lalu kuda itu berpeluh, maka Ia pun menciptakan diri Nya daripadanya.

(e) Bahasawanya Allah subhanahu wa ta'aala mengadu sakit matanya, maka para Malaikat pun lalu melawatnya.

(f) Allah subhanahu wa ta'aala Tabaraka wa Ta’ala menciptakan para Malaikat dari rambut dua lengannya dan bulu dadanya ataupun dari cahaya bulu lengan dan bulu dadanya.

(g) Tuhan kita turun pada petang hari Arafah di atas seekor unta berwarna kelabu. Ia berjabat tangan dengan penunggang-penunggang dan berpeluk-pelukan dengan orang-orang yang berjalan kaki.

5. Ahli-ahli Bid’ah:
Ada golongan sesat yang berpendapat, bahawa Hadith-hadith boleh dibuat untuk menarik orang ke arah ibadat. Menurut mereka dusta kerana kebaikan adalah boleh. Oleh kerana itu golongan al-Karamiah (Pengikut Muhammad bin Karram asSajistani) membuat Hadith-hadith mengenai targhib dan tarhib dan FadhailulAkmal. Nuh bin Abi Maryam dan Ghulam al-Ghalil membuat Hadith-hadith mengenai keutamaan sunah-sunah al-Quran. Dengan demikian, maka banyaklah tersebar dalam masyarakat Islam Hadith-hadith mengenai keutamaan amal dan lahirlah banyak amalan-amalan yang bid’ah, yang sama sekali tidak berasal dari Sunnah Rasulullah s.a.w. di antaranya ialah:

(Tiada seorangpun yang berpuasa pada hari Khamis awal bulan Rajab (solat Raghaaib) di antara ‘Isya dan 1/3 awal malam dua belas rakaat, ia memisahkan antara tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, ia membaca Fatihah sekali pada tiap-tiap rakaat: Inna Anzalnahu Fi Lailatil Qadr tiga kali dan Qul Huwallahu Ahad 12 kali, maka demi Allah subhanahu wa ta'aala yang diriku ini di dalam tangannya, tiada seorangpun yang mengerjakan solat ini melainkan Allah subhanahu wa ta'aala mengampuni semua dosanya walaupun sebanyak buih di laut, walaupun sebilangan pasir, walaupun seberat timbangan gunung-ganang dan dedaun pokok, dan ia akan memberi syafa’at pada hari Qiamat kepada 700 ahli rumahnya yang telah diwajibkan masuk Neraka)

6. Golongan Sufi Yang Keliru/Sesat:
Golongan sufi ini banyak terlibat dengan pembuatan dan mengamalkan Hadith-hadith palsu, antara lain ialah:

Hadith-hadith mengenai keutamaan surah-surah Al-Quran satu persatu yang diriwayatkan dari Ubai bin Ka’ab.

Dalam satu kajian teliti yang dibuat oleh Mu’ammal bin Ismail, beliau telah menemui orang yang membuatnya. Kata beliau: “Aku telah diriwayatkan Hadith ini oleh seorang Syeikh, lalu aku bertanya: Siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Syeikh itu menjawab: Seorang laki-laki di Madain, ia masih hidup. Aku pergi menemui laki-laki itu lalu bertanya: Siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Orang itu menjawab: Saya telah diberitahu oleh seorang Syeikh di Wasith: Aku pergi menemuinya dan berkata: Siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Ia menjawab: Seorang Syeikh di Abadan. Saya pergi menemui Syeikh itu bersama-sama dengan Syeikh dari Bashrah tadi. Ia memegang tanganku lalu membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba-tiba aku dapati kaum Sufi yang berada dalam rumah itu dan bersama-sama mereka ada seorang Syeikh mereka. Saya bertanya: siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Syeikh itu menjawab: Tiada sesiapapun yang meriwayatkan Hadith itu kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh dari Al-Quran lantas kami buatlah Hadith ini untuk mereka bagi memalingkan hati mereka kepada Al-Quran”.

7. Ulama’ As-Su’:
Di antara ulama’ ada yang dinamakan ulama’ As-Su’ iaitu ulama duniawi yang menjual agama dengan dunia dengan harga yang murah, suka menjilat penguasa lalu memutarbelitkan kebenaran dengan membuat Hadith-hadith kerana kepentingan dunia, untuk mendekatkan diri dengan para penguasa.

Ghiath bin Ibrahim An-Nakha’ie Al-Kufi pada satu hari datang berkunjung ke istana Al-Mahdi. Di kala itu Al-Mahdi sedang bermain burung dara (merpati) kerana beliau sangat suka dengan burung-burung merpati itu. Maka berkatalah Ghiath:

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada pertaruhan melainkan pada anak panah, unta atau kuda, atau burung.

Hadith yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi tambahan perkataan “ataupun burung” itu adalah perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan membodek alMahdi. Al-Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu disuruh supaya Ghiath diberi hadiah. Dan setelah Ghiath pergi, maka Al-Mahdi berkata: Aku naik saksi atas engkau, bahawa engkau adalah seorang pendusta terhadap Rasul. Dan kemudian ia berkata pula: Akulah yang mendorongnya berbuat demikian. Al-Mahdi kemudian menyuruh supaya burung merpati itu disembelih.

Diriwayatkan pula, bahawa Abu al-Bakhtari (Qadhi) datang mengunjungi ar-Rasyid di kala ar-Rasyid sedang menerbangkan burung merpati. Ia berkata kepada ar-Rasyid: Adakah tuan menghafal sesuatu mengenai ini? Lalu iapun meriwayatkan sebuah Hadith:

Bahawasanya Nabi s.a.w. adalah suka menerbangkan burung merpati.

Ar-Rasyid mengerti bahawa Abu Al-Bakhtari telah melakukan dusta terhadap Nabi lalu ia diherdiknya dan berkata: Jika bukanlah engkau ini dari golongan Quraisy tentulah aku melucutkan jawatan engkau.

8. Tukang-tukang Cenita:
Pendongeng-pendongeng atau penglipur lara banyak mencipta Hadith-hadith palsu yang mengandungi kisah-kisah yang aneh ajaib untuk menarik perhatian orang.

Diriwayatkan, bahawa Imam Ahmad dan Ibnu Ma’in bersolat di masjid Rasafah. Setelah selesai solat bangunlah seorang tukang cerita di tengah-tengah orang ramai lalu bercerita: Kami diberitakan oleh Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in yang berkata: Kami diberitakan oleh Abdur-Razaq dari Ma’mar dari Qatadah dari Anas katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

Barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallah nescaya Allah subhanahu wa ta'aala menjadikan dari tiap-tiap kalimah seekor burung. Paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan (bunga batu karang). Kemudian orang itu terus bercerita kira-kira dua puluh halaman kertas. Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in saling berpandangan. Ahmad bertanya Ibnu Ma’in: Engkaukah yang menceritakan Hadith itu kepadanya? Ibnu Ma’in menjawab: Demi Allah subhanahu wa ta'aala, baru sekarang inilah saya mendengarnya. Setelah selesai orang itu bercerita, maka Ibnu Ma’in memberi isyarat kepadanya lalu ia datang kepada Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Ma’in. Berkata Ibnu Ma’in: Siapakah yang memberitakan Hadith itu kepadamu? Orang itu menjawab: Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in. Ibnu Ma’in berkata: Sayalah Ibnu Ma’in dan ini adalah Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar sama sekali Hadith itu dari Rasulullah s.a.w. Orang itu menjawab: Saya selalu dengar bahawa Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in adalah orang bebal, baru sekarang inilah saya dapat mempastikannya. Yahya bertanya: Mengapa demikian? Ia menjawab: Seakan-akan di dunia ini tidak ada Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in selain kamu berdua. Sesungguhnya Hadith ini telah ditulis dari tujuh belas orang yang bernama Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in (Al-Maudhu'at, 1, hal. 46)

Di antaranya pula ialah:

(Sesungguhnya bahtera Nabi Nuh telah bertawaf tujuh hari di Baitullah dan bersolat dua raka’at di Maqam Ibrahim)

9. Orang-orang Yang Mencari Rezeki
Bagi melariskan barang-barang jualan atau menarik orang kepada sumber rezekinya banyaklah pula Hadith-hadith palsu yang dibuat orang. Antaranya ialah:

Saya mengadu kepada Jibril kerana tidak kuat bersetubuh, maka ia menyuruhku supaya memakan bubur Harisah.

Dan seperti:
Mu’az bin Jabal berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w. adakah anda didatangi makanan dan syurga? Beliau bersabda: Ya, aku didatangkan harisah dari syurga lalu aku memakannya maka Ia menambahkan kekuatanku bagaikan kekuatan empat puluh orang dan menambahkan jimak-ku seperti jimak empat puluh orang.

Dan termasuk ke dalam golongan ini ialah Hadith-hadith palsu yang dibuat orang untuk melariskan doa’-doa’ seperti doa’ ‘Ukkasyah, doa’ Kanzul-’Arasy, doa’ Nisfu Sya’ban, doa’ bulan Rajab, doa’ awal tahun, doa’ akhir tahun dan lain-lain lagi. Hadith-hadith serupa itu terdapat dalam risalah-risalah mengenai doa’ seperti doa’ ‘Ukkasyah yang dicetak bersama-sama surah Yaa Sin, Majmu’ Syarif yang mencampur-adukkan antara surah-surah Al-Quran dengan Hadith-hadith palsu itu. Risalah-risalah ini ada dalam semua masjid, surau dan rumah-rumah orang-orang Islam sejak zaman berzaman lagi.

Banyak buku-buku agama yang beraliran sufi, kisah-kisah para Nabi, Tafsir Al-Quran, kitab-kitab mengenai Targhib dan Tarhib yang memuatkan Hadith-hadith maudhu’ itu. Di antara kitab-kitab tersebut yang dikenalpasti oleh para ulama Hadith banyak mengandungi Hadith-hadith maudhu’ itu antara lain ialah:

(1) Qashashul-Anbia’ karangan Ath-Tha’labi.
(2) Kitab-kitab karangan Al-Hakim At-Tirmizi
(3) Durnatun-Nashihin oleh Al-Khubawi
(4) Kitab-kitab Abu Jamrah
(5) Kitab-kitab karangan Al-Waqidi
(6) Washaya Imam ‘Ali r.a.
(7) Tanbihul-Ghafilin dan Qurnatul-’Uyun wa Mufarrihul Qalbil-Mahzun karangan Aba Al-Laith As-Samarqandi
( Kitab Tafsir Ibnu Abbas dari riwayat Al-Kalbi, As-Suddi dan Muqatil
(9) Nuzhatul-Majalis wa Muntakhab’in-Nafais karangan As-Safari
(10) Al-Arba’un Al-Wud’aniah
(11) Kitab Al-’Arus oleh Abu Al-Fadhl Ja’far bin Muhammad bin Ali
(12) Kitab Fadhlul-Ilmi oleh Syarafuddin Al-Balkhi
(13) Kitab mengenai keutamaan akal, dan lain-lain lagi.


10. Orang-orang Yang Mencari Nama:
Keghairahan mencari nama kemasyhuran sebagai perawi Hadith yang banyak meriwayatkan Hadith mendorong orang membuat Hadith-hadith palsu tanpa menghiraukan akibat apa yang akan menimpa Islam dan umatnya.

Petikan :
Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu'
Karya: Drs Abdul Ghani Azmi bin Hj Idris
kemuka depan
Hosted by www.Geocities.ws

1