| Kisah Teladan: Jatuh sakit selepas herdik jemaah cilik | ||||||
HUSIN berusia 44 tahun dan bertugas sebagai guru. Sejak kecil dia memang rajin solat dan luas pengetahuan agamanya. Hasil perkahwinan dengan Zarina, mereka dikurniakan tiga anak, Shahrin sembilan tahun, Usman lima tahun dan Siti dua tahun. Husin mendidik semua anaknya dengan ilmu agama, malah Shahrin menunjukkan minat terhadap agama yang sangat mendalam. Husin dan Zarina berhasrat menunaikan haji dan meninggalkan tiga anak mereka dengan ibu Zarina. Bagaimanapun Shahrin enggan duduk dengan neneknya sebaliknya dia mendesak dibawa ke Makkah kerana dia juga ingin menjadi tetamu Allah seperti Husin dan Zarina. Kerana Shahrin terlalu mendesak, Husin akhirnya bersetuju dan mendaftarkan Shahrin untuk turut serta bersamanya ke Tanah Suci. Hajat Husin membawa Shahrin diketahui oleh guru sekolah anaknya itu. Ramailah yang datang berjumpa Husin dan mempersoalkan tindakan Husin. Antaranya mereka berkata, tiada guna membawa budak kecil kerana biayanya datang daripada ibu bapa bukan mereka ada duit sendiri, kenapa hendak susahkan diri ia bukan wajib, nanti apabila dia dewasa dia tahu tanggungjawabnya. Walaupun tertekan dengan kata-kata kawan-kawan lain, Husin bagaimanapun memekakkan telinga dan tetap membawa Shahrin ke Makkah kerana dia mahu mendidik anaknya supaya sentiasa dekat dengan Allah. Dan dia sangat yakin, Allah merestuinya. Dalam kumpulan jemaah yang mereka sertai, Shahrinlah jemaah paling muda. Kebetulan mereka menginap di tingkat 12 ketika di Tanah Suci. Kebanyakan jemaah yang tua meminta tolong Shahrin membelikan barangan keperluan mereka kerana mereka tidak upaya menggunakan lif. Shahrin dengan rela hati membantu dan kerap kalinya dia menerima sedekah yang banyak daripada orang yang dibantunya. Apabila dia menolak, jemaah yang lain akan mendesak dia mengambilnya kerana wang itu adalah sedekah. Satu hari ketika Shahrin beratur untuk menaiki lif, ramai jemaah lain berpusu-pusu keluar. Shahrin dengan pantas menyusup masuk dan menekan butang bagi mengelakkan pintu lif tertutup. Ketika dia menyusup masuk, ada seorang wanita yang berebut masuk ke lif berlanggar dengan Shahrin. �Anak siapa ni? Menyusahkan orang, kenapa menghalang jalan?.� Tapi Shahrin cepat membalas, �Saya hanya mahu menolong orang lain yang ingin masuk lif, supaya pintu tidak tertutup,� Tetapi perempuan tidak mahu mendengar kata-kata Shahrin sebaliknya dia berkata: �Sibuk budak ni nak buat haji, ini bukan tempat budak kecil,� Shahrin terdiam dan memandang ayahnya tetapi ayahnya hanya diam. Tiga hari selepas itu perempuan itu jatuh sakit hingga dimasukkan ke hospital. Tanpa rasa dendam, Shahrin mengikut jemaah lain juga ayahnya menziarahi perempuan berkenaan. Kedatangan Shahrin disambut dengan linangan air mata. Perempuan itu tidak menyangka, Shahrin masih sudi melawatnya walaupun sebelum ini dia memperlekehkan anak kecil itu. Seperti anaknya, Husin sedikit pun tidak berdendam malah menganggap semua peristiwa itu sebagai bukti Allah menerima sesiapa saja menjadi tetamunya sama ada orang dewasa atau budak kecil. Jika sebelum ini, ramai yang mempertikaikan biaya Shahrin ke Makkah, Shahrin menerima sedekah di Tanah Suci. Jika Shahrin dikatakan menyusahkan, sebaliknya Shahrin yang banyak membantu kumpulan jemaah mereka yang uzur untuk membeli barangan keperluan. Satu lagi peristiwa yang menarik, ketika mereka bersolat di Masjidil Haram, orang terlalu ramai. Selepas solat, mereka terpaksa bergerak perlahan-lahan untuk keluar. Ketika itu Husin melihat anaknya dipegang oleh seorang lelaki Arab yang tinggi dan sasa tubuhnya. Husin terkejut. Tapi kata lelaki itu, sabar. Lelaki itu memberi sedekah kepada Shahrin 50 riyal dan sebuah al-Quran yang membuatkan Husin dan Shahrin terpinga-pinga. Lelaki itu terus menghilang di balik puluhan jemaah lain tanpa sempat mereka mengucapkan terima kasih. Sepanjang di Makkah, pelbagai peristiwa yang terjadi kepada Husin dan Shahrin membuatkan mereka sangat bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah untuk musim haji kali ini. |
||||||
| kemuka depan | ||||||