Perpaduan adalah asas bagi ajaran Islam kerana ia
bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata tetapi kita
juga diseru supaya mengukuhkan hubungan baik sesama manusia dan mahkluk-mahkluk
yang lain. Ini dapat dilihat secara jelas dalam maksud firman Allah s.w.t yang
berbunyi:
Yang bermaksud: “ Ditimpa
kehinaan ke atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang
teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. ”
(Surah A-li ‘Imran : Ayat 112)
Untuk membina perpaduan sesama umat Islam, Allah
s.w.t menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara antara satu sama lain yang mana asas persaudaraan itu bukan sekadar dari
hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa tetapi disatukan dengan
tingkatan akidah dalam Islam seperti firman Allah s.w.t:
Yang bermaksud : “Sesungguhnya
orang Mukmin itu bersaudara” (Surah Al-Hujurat : Ayat 10)
Ayat di atas
mengambarkan kepada kita bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan dari Allah
s.w.t sebagai saudara seagama, yang banyak hak yang perlu dipelihara
bersama-sama.
Dalam Al-Quran banyak ayat yang menggalakkan
kita sebagai seorang Muslim untuk menghormati saudara sesama Islam, bukan
sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara, malah dalam segala
aspek ekonomi dan keseimbangan kehidupan sosial juga, meletakkan satu
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Dalam syariah Islam, setiap umat bukan sekadar
disuruh untuk melakukan ibadah sembahyang, puasa, haji dan sebagainya sebagai
pengabdian kepada Allah s.w.t semata-mata, tetapi digalakkan juga kita
melakukan secara berjemaah dan bersatupadu dengan matlamat yang sama iaitu
mencari keredhaan Allah s.w.t. Malah dalam aspek pembinaan masyarakat Islam itu
sendiri, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w
berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira
latar belakang keturunan dan kedudukan sosial mereka. Sejarah
telah membuktikan kepada kita bahawa belum pernah berlaku penyatuan satu umat
yang besar melainkan kejayaan Baginda Rasulullah s.a.w membina ketamadunan umat
dalam tempoh yang pendek dan mengabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza,
kepada agama Islam.
Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana
sejarah dan peradaban kehidupan manusia ketika itu, di mana orang dari golongan
bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba sahaya sehingga sanggup
berkorban nyawa, disebabkan perasaan kasih sayang yang teramat menusuk dalam
sanubari mereka, seperti Saidina Abu Bakar Assidik r.a dengan Saidina Bilal bin
Rabah r.a. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari perpaduan serta
persaudaraan berteraskan agama Allah. Ini dapat dilihat dari hadis Baginda
Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Yang bermaksud: “ Tidak
ada kebaikan orang Arab ke atas A’jami (bukan Arab) melainkan yang bertaqwa. ”
Walaupun persaudaraan merupakan satu lambang
keamanan sejagat untuk umat manusia menggembleng pemikiran dan tenaga untuk
mengimarahkan dan memakmurkan dunia ini dengan berteraskan konsep tauhid dan
ilmu pengetahuan, namun terdapat unsur-unsur dalaman dan luaran yang akan mengagalkan misi umat sebagai khalifah di dunia ini. Unsur-unsur dalaman terdapat dalam diri setiap insan yang mendorong
ke arah sangkaan buruk dan cemburu di atas kejayaan saudaranya. Tidak cukup sekadar itu, sikap hasad dan dengki mendorong manusia
terus berusaha dengan bersunguh-sunguh untuk memusnahkan kejayaan saudaranya
itu. Sifat-sifat seperti ini adalah merupakan satu penyakit umat Islam
masa kini yang semakin parah sehingg umat Islam kini menderita dan gagal
bersaing denga bangsa lain yang beragama lain. Maka tidak
hairanlah terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang melarang kita dari
bersifat sedemikian. Sebagai contoh, baginda Rasulullah s.a.w pernah
bersabda yang berbunyi :
Yang bermaksud : “
Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu
seperti mana api memakan daun kering. ” (Hadis Sahih)
Faktor luaran pula, sebagai contohnya, pelbagai
hasutan dan khabar agin yang sengaja diada-adakan agar umat Islam sentiasa
bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain, supaya
benteng persaudaraan ini ranap dan roboh begitu sahaja. Akhirnya,
umat Islam yang mendakwa menganuti agama yang sempurna, tidak lagi dapat membawa
apa-apa kesan dan keutuhan kepada umat Islam itu sendiri. Apa yang terjadi ialah satu demi satu, sama ada negara atau
bangsa akan tersungkur tunduk patuh kepada orang kafir, sama ada kepada orang
Yahudi, Kristian mahupun Komunis.
Sebenarnya umat Islam hari ini amat mengharapkan mana-mana
negara umat Islam yang belum ditimpa kemelut ini menghulurkan bantuan dan
memerdekakan mereka dari penjajah-penjajah Barat, yang semakin memeras dan
menindas umat dan kesucian Islam. Sudah ramai yang menjadi
penuntun sepi di atas penderitaan umat Islam. Kalau
bukan orang Islam sendiri yang datang menebus kesucian dan maruah umat Islam,
siapa lagi? Oleh itu marilah kita merendahkan diri dan bertekad untuk
mengembalikan kekuatan umat Islam yang semakin terhakis dan ingatlah orang
Islam itu saudara kita, bukan musuh kita dan kita akan dipersoalkan dihadapan
Allah s.w.t di akhirat kelak mengenai tanggungjawab yang telah kita jalankan
terhadap saudara seagama kita.