MAKSIAT ZAHIR
IMAM GHAZALI rahimahullah berkata
bahawasanya agama itu terbahagi
kepada dua. Pertamanya meninggalkan maksiat yang ditegah dan satu bahagian
lagi adalah mengerjakan segala yang disuruh.
Lazimnya, berbuat taat dan
menurut segala yang disuruh itu adalah lebih mudah berbanding dengan
meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana itulah Nabi SAW bersabda," Orang
yang berhijrah itu adalah seorang yang meninggalkan kejahatan dan orang
yang berjihad ialah seorang yang memerangi hawa nafsunya." Individu yang
berbuat maksiat adalah mereka yang mengkhianati Allah dan mengkufuri nikmat
yang dianugerahkan-Nya. Ini kerana anggota tubuh badan adalah satu
nikmat dan amanah Allah kepada hamba-Nya.
Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota itu kepada perlakuan
maksiat,ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah
seseorang itu menjadi kufur terhadap nikmat Allah. Oleh itu, hendaklah
setiap individu muslim menjaga sungguh-sungguh seluruh anggota
badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara MATA, TELINGA,
LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Ini kerana Jahannam itu terdiri
dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya anak Adam melainkan
maksiat anggota yang tujuh itu.
Mata yang dianugerahkan Allah untuk melihat dan memimpin anggota tubuh
yang lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata
dari melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis
remaja dengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan pandangan
yang menghinakan dan melihat segala keaiban orang lain. Telinga yang
berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari mendengar segala
perkataan bid'ah yang menyimpang dari ajaran agama, mendengar
umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang keji dan juga
mendengar
perkataan yang batil dan sia-sia.
Lidah diciptakan oleh Allah untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia
digunakan mengikut fungsinya yang benar. Janganlah sampai ia diseleweng
dengan menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda,
mengumpat, menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor.
Rasulullah SAW bersabda, " Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari sifat
munafik."
Tetapi dalam keadaan tertentu kita harus berdusta, misalnya
untuk mendamaikan dua orang yang berkelahi atau suami-isteri yang bergaduh,
yang mana tidak mungkin mereka dapat didamaikan kecuali dengan berdusta.
Begitu juga dengan mengumpat. Ia dibenarkan jika membawa maslahah (
kebaikan ) yang meliputi pada enam keadaan :-
1. Mendedahkan kejahatan penjenayah supaya dihukum pemerintah atau mendedahkan
kezaliman pemerintah supaya dihukum oleh rakyat.
2. Mendedahkan perbuatan mungkar seseorang supaya dia meninggalkan maksiat
tersebut.
3. Mendedahkan kezaliman seseorang untuk menuntut hak dan keadilan.
4. Mendedahkan kefasikan dan kezaliman seseorang kepada orang yang
belum mengetahuinya bagi mengelakkan mereka bersahabat dengan si fasiq atau
si zalim itu.
5. Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali melainkan dengan
menyebut keaiban yang ada pada dirinya.
6. Menyebut akan sifat keji orang yang masyhur dengan kezaliman, kefasikan atau
kejahatannya.
Selain dari enam situasi di atas, kita dilarang sama sekali dari
mengumpat walau apa yang dikata itu ada kebenarannya. Dalam hal ini,
Rasulullah SAW bersabda, " Jangan mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian
yang
lain.
Adakah sebahagian kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah
mati? Sudah tentu kamu benci." Perut pula hendaklah dipelihara dari memakan
yang haram dan yang syubhah ( tidak jelas antara yang halal dan haram
). Ini kerana makanan yang kita makan akan menjadi darah daging.
Rasulullah SAW bersabda, " Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang
haram maka
neraka adalah lebih utama untuknya." Rasulullah SAW turut bersabda lagi,
"
Ibadat dan ilmu yang disertai dengan memakan rezeki yang haram seperti
membina rumah di atas himpunan najis."
Seterusnya, Imam Ghazali mengingatkan kita agar menjaga kemaluan
dari segala yang diharamkan ke atasnya oleh Allah. Hendaklah ia
dipelihara sebagai mana firman Allah, " Dan mereka yang memelihara akan
kemaluan mereka melainkan ke atas isteri mereka atau ke atas hamba sahaya
mereka, maka sesungguhnya mereka tiada dicela."
Tangan turut harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan
dan menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk
mencapai tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram. Manakala kedua
kaki pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat maksiat
yang ditegah oleh syarak. Dan juga kedua kaki itu hendaklah dikawal
dari menghadap pemerintah yang zalim tanpa sebarang keadaan darurat
yang mendesak.
Begitulah nasihat Imam Ghazali didalam kitabnya yang agung, '
Bidayatul Hidayah .' Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut
akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini
sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ya-Siin, " Pada hari Kami kunci
mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka
pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.", wallahu a'lam.