DEBAR SENJA
Krak… prup… pap… Mak Utih
tersungkur menyembah bumi.
Mak Utih pitam, pengsan. Bila sedar Mak Utih menangis
kuat-kuat. Seluruh badannya sakit macam tertusuk
sembilu. Pedih menyeksakan. Mak Utih terpandang
kakinya. Masya-Allah kakinya dikerat. Kakinya tinggal
sebelah. Pandangannya kabur, berbinau, pelbagai
persoalan menerjah fikiran. Serabut macam tali
berpintal.
"Makcik… kaki makcik, terpaksa dipotong. Kaki makcik
cedera teruk… Lagipun makcik ada penyakit kencing
manis. Kalau tidak dipotong takut melarat sebahagian
badan yang lain. Makcik harus tabah menerima hakikat
ini." Bagai dentuman halilintar membelah bumi, Mak
Utih sedih dan pilu, mengenang nasib diri.
Menantu-menantu kebanggaannya datang satu persatu di
kotak fikiran tuanya. Semua orang kampung memuji
menantu-menantu kesayangannya, kebanggaannya,
berdarjat dan berpangkat. Lawa, cantik, bekerjaya
pula. Anak-anaknya kacak, bijak, berwibawa. Kembang
kempis Mak Utih bangga. Dirasanya dialah ibu mithali
era globalisasi.
Mak Utih terlupa pada Imah, anak perempuan yang
terencat kakinya, cacat, hitam. Kalau memilih calon
menantu Imah pasti bukan pilihannya. Imah pasti
dihina, ditolaknya hidup-hidup. Pada andaian Mak Utih,
begitulah. Mak Utih tidak pernah mentafsir diri bahawa
semua makhluk di dunia fana ini tertakluk pada azali.
Mak Utih waktu itu keletah, bergaya, panggilan Datin
Utih mengembangkan urat sarafnya.
Datuk Utih sentiasa membawa wanita kebanggaannya ke
mana sahaja. Dikepitnya Datin Utih. Macam belangkas.
Dipegang tangan Datin Utih ketika menghadiri sebarang
persidangan. Kembang kempis hidung Datuk Utih,
menteri-menteri ramai yang memuji isterinya cantik bak
bidadari. Datin Utih bahagia tak terkira. Dia berjaya
menjadi wanita berkaliber. Acapkali para wartawan
datang bertandang ke banglo mewah, dihiasi landskap
yang menawan, tak jemu mata memandang.
Anak-anaknya seramai enam orang diberi tip-tip menuju
kejayaan. Semuanya berkebolehan. Berwawasan. Datin
Utih lupa Imah, anak bongsunya yang ditinggal kepada
Kasuma. Kasuma diamanahkan untuk menjaga Imah. Kalau
lakaran Kasuma cantik, cantiklah Imah. Kalau lakaran
Kasuma kabur dan hitam, maka hitamlah Imah, kecuali
bila Imah mumaiyiz dapat membezakan mana yang buruk
dan baik.
Naluri keibuan Datin Utih terhadap Imah sudah lama
luput. Datin Utih jelek pandang Imah sejak doktor
menunjukkan bayi kecil, berkulit hitam, kaki terencat.
Datin Utih pejamkan mata. Biarpun Datuk Utih pujuk
berjuta nasihat, Datin Utih pura-pura gila meroyan.
Semua orang tuduh Imah terkenan kera yang arwah Datuk
Utih tembak kakinya. Datin Utih masih ingat sewaktu
mengandungkan Imah, seekor kera liar, menerpa dan
menerkam dirinya. Bagai hero Hindustan, Datuk Utih
mencantas, mencincang kaki kera liar hingga darah
memancut, membasahi ruang tamu banglo mewah milik
mereka berdua.
Walaupun peristiwa itu sudah mencecah dua puluh tahun,
kesannya cukup mendalam. Pernah Datin Utih terdengar
dalam satu ceramah yang dihadiri bahawa sekiranya
mengandung, jangan kita menyeksa binatang. Setiap
binatang selalu berdoa kepada Allah, takut nanti anak
yang dikandung menjadi cacat. Datuk Utih selalu
memperingatkan Datin Utih. Tetapi peristiwa itu
berlaku sekelip mata. Demi menyelamatkan Datin Utih,
Datuk Utih terpaksa bertindak menetak kera liar yang
menerkam Datin Utih. Semenjak peristiwa itu, banglo di
pinggir sungai ditinggal begitu sahaja. Mereka
berpindah ke bandar.
Biar beribu nasihat, Datin Utih tetap membenci Imah
sampai bila-bila. Datin Utih mengarahkan Kasuma
membawa balik Imah ke banglo di pinggir sungai. Datin
Utih mahu Kasuma membesarkan Imah di sana. Kasuma
orang gaji, akur segala arahan. Kasuma menatang Imah,
membuai Imah, menjaga Imah sampai Imah remaja. Imah
membesar juga. Imah tiada tempat mengadu. Mujur ada
Kasuma. Kasumalah ayah dan ibunya. Datuk Utih
menamakan Imah sebagai pewaris banglo mewah. Walaupun
Datuk Utih hanya ayah kepada Imah, tidak melahirkan
Imah, namun dia tidak betah melihat darah dagingnya
melarat dan merempat.
Datuk Utih kesal apa yang berlaku, tapi demi Datin
Utih, Datuk Utih terpaksa akur. Sifat 'queen control'
Datin Utih sukar untuk diubah. Ego Datin Utih membara
macam api marak menyala.
"Mama, di mana ayah Imah, ramai kawan-kawan kata Imah
anak orang kaya, ada banglo besar, duit banyak, tapi
Imah tak pernah lihat ayah pun." Saban hari Imah tak
jemu bertanya itu dan ini. Kasuma terhibur. Kalaulah
Imah anaknya sendiri, alangkah bahagia hidupnya di
dunia ini. Semenjak ditinggal ayah dan ibu, Kasuma
membawa haluan hidup sendiri, mengemudi 'kapalnya'
agar tidak karam di tengah lautan.
Nasibnya baik, Datuk Utih mengambilnya sebagai orang
gaji. Kasuma tidak pernah berkahwin. Dalam kemelaratan
hidupnya di Malaysia, tidak sedaif kehidupan di
tanahair sendiri. Imah pembawa rezekinya. Imah
membuatkan hidupnya bagai di syurga. Imah menyentuh
naluri kewanitaannya. Pertanyaan Imah bertubi-tubi
memaksa Kasuma merungkai segala kebenaran.
"Mama kamu Datin Utih dan ayah kamu Datuk Utih. Mama
hanya orang gaji. Kalau Imah nak melihat wajah ayah
dan mama Imah, Imah buka siaran televisyen nanti.
Mereka orang ternama, terkenal, tersohor di
mana-mana."
"Tapi mengapa mereka tinggalkan Imah, apa salah Imah?"
"Imah… Imah… nanti kau kenal lebih jauh sebuah
kehidupan. Mama Kasuma dengan kehidupan mama, Imah
dengan perjalanan hidup Imah. Tapi Tuhan Maha Kaya.
Imah masih ada mama, kita boleh hidup bersama, mama
sayangkan kamu."
Lepas itu Imah terus menyepi diri. Imah jarang
bertanya lagi. Imah redha segala ketentuan Allah
Taala.
"Imah sunyilah mama, Imah rasa Imah nak tamatkan hidup
bujang Imah. Imah nak kahwin saja dengan kekasih Imah.
Mama setuju tak?"
"Buatlah keputusan terbaik Imah, siapapun pilihan
Imah, mama setuju. Asalkan ada empat panduan pilih
jodoh. Pertama Imah mesti pilih yang beragama, kedua
berharta, baik dan beriman. Yang paling penting,
beriman dan beragama. Harta tak menjamin kebahagiaan.
Banyak orang berharta, punya sikap tamak haloba."
"Mama, Budin anak Pak Leman yang hidup bersendirian di
tepi sawah tu baikkan mama? Rajin ke masjid. Sejak
ayah dan ibunya meninggal dunia, dia hidup berdikari.
Sekarang ni kan mama, Budin sudah bekerja sebagai
guru. Imah sukalah dia."
"Oh, anak mama mengintip ye, ikut suka kau la Imah.
Siapa pun mama setuju."
"Sebenarnya mama, Imah sering berbincang dengan Budin,
kami selalu belajar bersama, Imah bantu kewangan
Budin. Budin selalu puji Imah, katanya Imah baik."
Kasuma tidak membantah. Kasuma adakan majlis
pernikahan Imah dan Budin, hanya Datuk Utih yang
datang. Datin Utih buat tidak tahu. Adik-beradik Imah
datang juga. Tapi mereka menjuih bibir tengok Imah,
pilihan Imah diperlekehkan. Imah terkedu. Hanya Datuk
Utih mengerti perasaan Imah. Datuk Utih merestui
segala keputusan. Imah. Imah menangis memeluk erat
Datuk Utih. Budin juga begitu. Imah berterima kasih
Datuk Utih membaca mentafsir segala kesunyiannya
selama ini. Sekurang-kurangnya sekudus doa Datuk Utih
merestui perkahwinan mereka, Imah dan Budin berbahagia
melayari hidup yang penuh dengan cabaran. Cuma doa
Ima, Datin Utih turut merestui perkahwinan mereka.
---------------------------------------------------------------------------------
Subuh hari semua isi rumah Utih Villa terkejut, Datuk
Utih pengsan, sakit jantungnya menyerang tiba-tiba.
Datuk Utih disahkan meninggal dunia. Datin Utih
meraung bagai nak gila.
Datuk Utih tiada. Villa Utih sunyi sepi, Datin Utih
sudah tidak glamor lagi. Tinggallah hari tuanya yang
sunyi. Hati Datin Utih terus dikopak resah kecewa.
Seribu penyesalan bergelodak di jiwa. Masyarakat mula
membenci keegoannya yang lama bertapak. Barangkali ini
balasan Tuhan yang disegerakan. Datih Utih teringatkan
Imah. Sedikitpun dia tidak menyangka segala
keghairahan hidupnya diambil dalam sekelip mata.
Selama ini dia tidak menyangka, masyarakat mula
menukar namanya Mak Utih, tidak lagi Datin Utih. Duit,
harta… bertimbun. Membukit. Orang gaji menyepi.
Leteran berapi, arahan berasap, membuatkan Milah,
orang gajinya membawa diri. Selama ini Milah bertahan
kerana arwah Datuk Utih banyak berjasa, Datuk Utih
penyabar dan beriman. Biarpun air mata Mak Utih
merembes, Milah tetap pergi. Rupanya anak miskin anak
yatim macam Milah bukan ahli materialistik. Milah ada
hati dan perasaan.
Sulaiman, anak sulung kebanggaannya berkelulusan luar
negara telah lama menetap di Amerika Syarikat,
berkahwin dengan Carol wanita British. Wanita yang
tidak betah berhijrah ke Malaysia membuatkan Sulaiman
tidak pernah menjenguk lagi tanah tumpah sendiri.
Salim anak kedua memilih haluan hidup sendiri terpikat
gadis Jepun. Selepas menamatkan ijazah bahagian
kejuruteraan, mengambil keputusan muktamad menetap di
Jepun walau ditentang hebat oleh Datuk Utih.
Salih berkelulusan Universiti Malaya, menetap di Kuala
Lumpur. Salih satu-satunya harapan Mak Utih untuk
bergantung hidup. Susah senang Salih ambil tahu. Tapi
kini Salih menyepi diri, isterinya terkilan, Mak Utih
suka berleter, bebelan Mak Utih menjengkelkan.
Rembesan air mata Mak Utih tidak dapat disekat lagi.
Hanya pada Imah harapannya kini. Tapi Imah tentu tak
mahu menerimanya. Imah mesti berdendam, acapkali Mak
Utih melemparkan kata berbisa.
"Imah, ibu sakit, tiada siapa jaga ibu. Kaki ibu kena
potong. Penyakit kencing manis ibu sudah parah. Orang
gaji telah lama pergi, anakku. Maafkan ibu."
"Ibu, bersabarlah. Nanti Imah datang dengan abang
Budin. Kami bawa ibu balik. Ibu tinggal dengan kami
sahaja."
Mak Utih terkedu. Jangkaannya tidak tepat sama sekali.
Debar senja Mak Utih berjawab. Imah tidak pernah
bertanya lagi. Tak mahu melukakan hati ibu yang lama
membungkam kemegahan diri. Imah redha dengan azali.
Kedatangan Budin dalam hidupnya cukup membahagiakan.
Imah tak mahu anak-anaknya Umirah dan Nadhirah
mengalami nasib yang sama.
Imah berbangga Budin juga punya hati yang pasrah.
Budin tidak membantah. Budin merangkul Imah, Umirah
dan Nadhirah juga Kasuma. Budin memeluk mesra ibu
mentua yang akhirnya merestui perkahwinan mereka.
Budin tahu kehidupan senja amat bermakna. Tanpa kasih,
tanpa sayang, debar senja penuh kebingungan. Budin
membiarkan rangkulan Mak Utih, hangat. Penuh
keinsafan. Kasih sayang dikembalikan.