Utusan Melayu, 18 October 2002

 

Belanjawan 2001 dipercayai mesra rakyat, perniagaan

 

KUALA LUMPUR 17 Okt - Belanjawan 2001 akan dibentangkan 27 Oktober ini dipercayai bukan sahaja mesra rakyat malahan mesra perniagaan dengan penurunan cukai korporat dan insentif-insentif lain.

Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA), Dr.PHS Lim berkata, cukai korporat sebanyak 28 peratus kini dijangka diturunkan satu hingga dua peratus untuk menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata, kemasukan FDI ke Malaysia sejak lebih setahun lalu agak kurang berbanding sebelum kegawatan eonomi 1997/98. "Kemungkinan cukai korporat akan diturunkan antara satu dan dua peratus sebagai pemangkin kepada kemasukan FDI," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam membayangkan Belanjawan 2001 akan bersifat mesra rakyat di samping mengalami sedikit lebihan.

Menurut Dr. Mahathir, ia akan menunjukkan bahawa kerajaan berjaya menguruskan ekonomi dengan baik yang diiringi dengan pertumbuhan yang semakin baik selepas mengalami kegawatan.

Dr. Lim menambah, walaupun cukai korporat Malaysia lebih tinggi berbanding Hong Kong dan Singapura namun faktor-faktor seperti harga tanah dan tenaga kerja yang lebih murah menjadikan negara ini kekal berdaya saing.

Menurutnya, FDI penting untuk negara terus mencatat pembangunan ekonomi dan sosial kerana ia membawa modal, kepakaran, pemindahan teknologi dan peluang kerja kepada rakyat tempatan.

"Malaysia mempunyai segala fundamental yang sesuai untuk kemasukan FDI dan penurunan cukai korporat akan menjadi satu lagi kelebihan untuk menggalakkan syarikat asing terus memilih negara ini sebagai destinasi pelaburan mereka," katanya.

Beliau menambah, penurunan cukai korporat juga dapat membantu syarikat-syarikat tempatan yang telah terjejas sebelum ini ekoran kegawatan ekonomi.

Menurutnya, penurunan cukai korporat dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan tidak sekali-kali bermakna pungutan hasil kerajaan akan berkurangan.

"Penurunan cukai akan melihat peningkatan pelaburan dan aktiviti ekonomi yang akan merancakkan pembangunan ekonomi," katanya.

 

Back to content page

Hosted by www.Geocities.ws

1