
Hamster2k
Jam masih menunjukkan pukul 1.30 tengah hari, kelaspun sudah tamat. Murid-murid sibuk berkemas-kemas untuk pulang. Sarah senyum lega. Dia boleh pulang ke rumah untuk rehat dan tidur. Berbeza dengan Latifah, apabila pulang nanti dia dan adiknya terpaksa menolong ibunya menjaja kuih dengan menaiki basikal di kawasan rumahnya.
"Sarah, aku balik dulu!" kata Latifah sambil menunggang basikal bersama adiknya yang muda setahun daripadanya. Sarah melihat Latifah berlau pergi sambil mengangguk kepala. Kemudian dia berjalan menuju ke perhentian bas yang berhampiran dengan sekolahnya. Ramai murid sedang menunggu bas. Bila bas datang, mereka berebut-rebut naik. Sarah malas hendak berebut, justeru dia mengambil keputusan untuk menunggu bas yang lain.
Sarah duduk di bangku yang disediskan. Dia menyeluk sakunya untuk mengira tambang bas.
Tetapi alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bahawa sakunya kosong! Duitnya sudah hilang! Sarah mula panik. Dia terus meraba-raba saku bajunya tetapi masih juga kosong! Matanya mencari-cari ke sekeliling tempat duduknya kerana mungkin duitnya tercicir.
Sarah semakin cemas. Dia memandang sekeliling. Perhentian bas sudah lengang. Sarah tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Wang satu sen pun dia tak ada; ingin berjalan kaki, jarak antara rumahnya dengan sekolah agak jauh. Mahu meminjam, kawan-kawannya semua sudah pulang.
Sarah melihat jam tangannya- sudah pukul 5 petang. Sudah tiga jam lebih dia duduk tercegat di situ. Sekali-sekali Sarah bangun dan berjalan mundar-mandir sambil mengeluh kecil.
Tiba-tiba dari jauh, Sarah nampak Latifah sedang mengayuh basikal bersama adiknya. Mungkin mereka sedang menjaja kuih, detik hati Sarah lega.
"Sarah! Kenapa kau masih belum balik lagi?" tanya Latifah kehairanan.
"Latifah, duit tambang aku hilanglah. Mungkin jatuh dari poket aku semasa sedang makan di kantin tadi. Aku tak sedar duit tu tak ada!" Sarah mula mengadu. Latifah merenung muka Sarah. Dia tahu kawannya itu sedang sedih bercampur bingung. Latifah menyeluk sakunya dan mengeluarkan syiling sepuluh sen. Itu duit Sarah yang terjatuh ke dalam longkang semasa semasa di kantin sekolah pagi tadi. Syiling milik Sarah yang dikutipnya itu diberikan semula kepada Sarah.
"Sarah, ini syiling sepuluh sen yang kau tak nak kutip pagi tadi. Nah, kau ambillah... sekarang duit ini amat penting buat kau. Duit ni boleh bawa kau pulang ke rumah," kata Latifah.
Sarah memandang Latifah dan mula ketawa, "Macam mana duit sepuluh sen ini boleh bawa aku balik ke rumah aku yang jauhnya 10 kilometer dari sini?!"
"Sarah, kau nampak pondok telefon tu?" kata Latifah sambil menuding jarinya ke arah pondok telefon berhampiran.
"Ambil duit sepuluh sen ini dan kau telefonlah ibu kau, minta dia jemputmu sekarang."
Sarah terdiam. Air matanya tiba-tiba menitis. Rupa-rupanya, duit sepuluh sen yang tidak dipandangnyalah yang dapat membantunya pada saat-saat genting seperti itu.
"Sudahlah Sarah, jangan menangis. Apa yang berlaku kita jadikan pengajaran. Kau jangan menghina rezeki dengan membazir dan tidak menghargainya walaupun nilainya kecil. Susah payah ayah dan ibu kau mendapatnya, patut kau hargainya. Sudahlah, Sarah, semua orang buat silap.Yang penting, jangan kita ulanginya lagi," pujuk Latifah sambil menasihati Sarah.
"Terima kasih Latifah, aku tahu aku yang salah. Aku berjanji tak akan mengulangi lagi kesilapan yang sama," kata Sarah lantas pergi ke pondok telefon.
Syiling sepuluh sen dimasukkan dan Sarah terus mendail nombor telefon rumahnya. Sayup-sayup kedengaran suara ibunya menjawab. Hati Sarah berasa lega. Setengah jam kemudian kelihatan sebuah kereta menjamput Sarah.
Mulai hari itu Sarah kesal, kejadian itu mengajar Sarah supaya tidak membazirkan wangnya, sebaliknya menghargai setiap pemberian ayah dan ibunya tanpa mengira nilainya kecil atau besar. Sebagai orang tua, ayah dan ibu Sarah amat gembira dan bersyukur dengan perubahan sikap anak mereka.
Original Story by Hamster 2K(2000)
Edited by MFN
This story is not based on any true story. The writer's responsible to any similarity in the story with his personal life.
Send your comments here
Get to know Hamster2k.
MFN's Art & Fiction Site
MFN 2003 Homepage.Best viewed using IE4 or higher. Created by MFN. This page is not to be copied or distributed in any ways without the permission of MFN himself. For more information about Copyright/Disclaimer of this homepage, click here.