" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










MENCONTOHI JATI DIRI NABI IBRAHIM

DALAM Islam, Raya Haji atau Aidiladha dikenali juga sebagai Hari Raya Korban.

Ini kerana bagi yang berkemampuan digalakkan berkorban, yakni dengan menyembelih bintang ternakan tertentu, sama ada unta, lembu, kambing atau sebagainya.

Islam menuntut umatnya supaya berkorban pada tanggal 10 Zulhijjah dan tanggal hari Tasyrik iaitu tanggal 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

Ibadah korban adalah bentuk ibadah yang tersendiri yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap Allah swt yang banyak mengandungi hikmah tertentu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami anugerahkan kepadamu dengan kebaikan yang bagus. Maka bersolatlah untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (berkorbanlah)".

Meskipun ulama sepakat bahawa hukum berkorban itu sunat (mandub), tetapi sunatnya adalah jenis sunat yang amat dituntut, apa lagi bagi yang kelapangan rezeki.

Sebab Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud: "Barang siapa berkemampuan, lalu dia tidak korban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Hadis di atas mengandungi semacam satu penekanan, seakan-akan hukum korban itu menjadi wajib. Walaupun berkorban hukumnya tetap sunat, tetapi hadis ini setidak-tidaknya dapat dijadikan panduan bagi umat Islam yang mampu (memiliki kelebihan), tetapi tidak mahu berkorban, bahawa Allah sangat murka kepada mereka yang tidak mahu berkorban, pada hal ada kelapangan rezeki.

Kalaulah kita mengkaji secara saksama, kita dapati banyak hikmah yang terkandung dalam ibadah korban itu. Bagi yang berharta dan memiliki kesedaran, tentulah amat beruntung, kerana di samping akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah di akhirat lantaran berkorban, juga dapat menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah yang sentiasa memberi nikmat dan rahmat.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: "Besarkan kamu (baikkan kamu) korban kamu, sesungguhnya (nanti) korban kamu itu menjadi tunggangan kamu di akhirat melalui sirath".

Tetapi apa yang penting, Islam menganjurkan berkorban adalah untuk memperingati peristiwa sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as dan juga sebagai menghayati sunnah dalam syariat Nabi Muhammad saw.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim sudah menunjukkan teladan ibadah korban iaitu dengan mengorbankan satu-satunya anak kesayangannya yang bernama Ismail. Waktu itu Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Sarah sudah berusia tua, namun Allah belum menganugerahi mereka walau seorang anak pun.

Nabi Ibrahim terus menerus berdoa ke hadrat Allah swt tanpa perasaan putus asa. Doanya berbunyi: "Rabbi habli minas-salihin (wahai Tuhanku, berilah kepadaku anak yang salih) iaitu anak yang bermanfaat buat agama, keluarga dan masyarakat."

Sikap putus asa tidak wujud dalam diri Nabi Ibrahim. Doa tetap dan terus saja dipanjatkan kepada Allah supaya Allah mengurniakan seorang putera kepadanya, walaupun tabib (ahli kesihatan/doktor) sudah membuat kesimpulan bahawa Siti Sarah tidak akan dapat memberikan keturunan (kerana mandul).

Di sini kita dapat mengambil petunjuk, iaitu walaupun di hadapan kita banyak sekali rintangan dan kadang kala yang berat serta menjadi penghalang yang kuat sehingga tidak memungkinkan lagi sesuatu yang kita cita-citakan akan tercapai. Namun kita tidak boleh lekas berputus asa. Contohilah sifat tabah Nabi Ibrahim yang tidak mengenal istilah putus asa untuk mendapatkan seorang putera kerana beliau yakin bahawa bagi Allah tidak ada yang sulit, segalanya mudah.

Apabila Allah bermaksud kepada sesuatu, cukup Allah mengatakan sepatah kata: "Kun (jadilah kamu), maka akan terjadilah sesuatu itu."

Demikian pula dengan soal anak yang setiap orang mendambakan kehadirannya dalam sesebuah keluarga. Siti Sarah yang disahkan oleh tabib (doktor) tidak boleh melahirkan (mandul), ternyata dengan sepatah ungkapan dari Allah: "Kun" (jadilah kamu), maka Siti Sarah dapat melahirkan seorang putera bernama Ishak yang kemudian diangkat menjadi Rasul (utusan) Allah.

Memang Maha Besar kekuasaan Allah. Siti Sarah yang sudah tua mampu melahirkan anak, dapat menurunkan keturunan yang baik lagi salih iaitu yang menjadi Rasul di kemudian hari. Sebelum Siti Sarah, terlebih dulu isteri kedua Nabi Ibrahim bernama Siti Hajar melahirkan seorang putera yang salih bernama Ismail yang juga menjadi Rasul (utusan) Allah swt.

Tetapi kemudian dikisahkan bahawa setelah Ismail berusia remaja atau dewasa, Ibrahim bermimpi yang dia diperintah dalam mimpinya supaya menyembelih puteranya, Ismail sebagai korban.

Ibrahim menganggap bahawa mimpinya itu hanya sekadar godaan pada mulanya. Tetapi apabila ia berlaku berturut-turut selama tiga malam, Ibrahim menilai yang ia bukan lagi godaan, tetapi benar-benar perintah daripada Allah swt.

Oleh itu beliau menyampaikan berita itu kepada anaknya Ismail untuk meminta pendapatnya mengenai mimpi untuk menyembelih Ismail.

Ternyata dengan kemantapan iman dan takwa, setelah Ibrahim meminta pendapatnya, Ismail tanpa diduga menjawab: "Lakukanlah ayah. Laksanakan mimpimu itu, Insya Allah, ayah akan melihat sendiri bahawa aku tabah dan sabar menghadapi peristiwa itu."

Demikian jawapan Ismail yang dirakam oleh Allah dalam surah As-Saffat, ayat 102. Kelegaan hati menyelimuti diri Ibrahim bila mendengar jawapan puteranya yang amat dicintai bahawa dia bersedia disembelih sebagai korban.

Ibrahim dan Ismail pun lalu bertawakal kepada Allah. Ismail ditelentangkan, pisau yang sudah diasah diletakkan ke leher Ismail sambil dengan mengucapkan nama Allah, Ibrahim tanpa berlengah terus mahu menggesekkan pisaunya yang berada di leher puteranya Ismail.

Pada saat yang mencemaskan itu Allah lantas berseru: "Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu membenarkan mimpi itu" (Surah As-Saffat, ayat 104-105).

Kemudian Allah terus menunjukkan kekuasaan dan kerahiman-Nya, apabila yang disembelih pada waktu itu bukanlah Ismail tetapi seekor kibas yang secara ajaib tiba-tiba saja muncul bagi menggantikan leher Ismail. "Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar". (Surah As-Saffat, ayat 107).

Maka terselamatlah Ismail daripada maut. Kegembiraan menyelimuti hati Ibrahim dan Ismail, lalu kedua-duanya berpelukan sebagai tanda bersyukur kerana dapat melakukan ibadah baktinya kepada Allah swt.

Di sini dapat kita lihat betapa tingginya nilai ketaatan dan kepatuhan Nabi Ibrahim terhadap perintah Allah. Beliau diperintah supaya menyembelih puteranya, lalu disembelih tanpa rasa sangsi atau bimbang.

Memang, perintah itu cukup berat kalau difikirkan. Menyembelih putera yang paling disayangi yang sudah lama dinanti-nanti kelahirannya, lalu apabila besar diperintah supaya disembelih.

Siapakah barangkali yang rela atau sanggup mengerjakan perintah sedemikian itu, selain orang yang mantap iman dan tebal keyakinannya.

Dari sinilah bermula sejarah ibadah korban itu. Ia adalah syariat Nabi Ibrahim, kemudian berlanjutan kepada Nabi Muhammad saw dan umat Islam sehingga sekarang.

Pada mulanya hikmah terbesar ibadah korban itu dapat kita katakan bahawa Allah ingin melihat siapakah yang paling teguh imannya.

Dengan kata lain, apakah seseorang itu sanggup mengorbankan sesuatu yang paling disayangi apabila keadaan menghendaki, seperti kisah Ibrahim as.

Sebab itulah dalam hal berkorban dewasa ini, kita disuruh agar memilih binatang ternak yang terbaik untuk dijadikan korban yakni binatang yang gemuk, sihat serta tanpa ada cacat cela.

Walaupun ibadah korban hukumnya sunat, tetapi bagi yang mampu alangkah beruntungnya bila dilakukan kerana dapat dijadikan nilai tambah amal kebajikan, disebabkan umat Islam berkeyakinan bahawa segala amal perbuatan akan ditimbang di yaumil mahsyar kelak, apabila sesiapa timbangan amal kebajikannya lebih banyak dan lebih berat daripada amal keburukannya, maka hidupnya akan sentosa dan damai yakni akan mendapat tempat yang penuh nikmat di syurga.

Demikian pula sebaliknya, sesiapa yang amal kebajikannya lebih ringan daripada amal keburukan, dia akan memperolehi tempat yang buruk di neraka.

Allah menjelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Maka ada pun orang yang berat timbangan amal kebaikannya, maka di akan mendapat kehidupan yang diredai Allah. Dan ada pun orang yang ringan timbangan amal kebaikannya, akan mendapat tempat hawiyah" (neraka).

Oleh yang demikian, marilah kita berlumba-lumba melakukan amal kebaikan kerana hidup ini hakikatnya adalah kesempatan untuk berbuat baik.

Teruskan usaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah, kerana orang yang paling mulia di sisi Allah itu ialah yang paling bertakwa kepada-Nya.

Hendaknya apa yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim dalam ibadah korban menjadi iktibar, agar hati kita tidak tergugat untuk mengorbankan apa yang kita miliki dan sayang, demi untuk mencari keredaan Allah.

Ketakwaan, keteguhan iman serta keikhlasan Nabi Ibrahim dan Ismail perlu kita teladani dalam usaha menumbuhkan semangat pengabdian kepada Allah swt.

Hosted by www.Geocities.ws

1