" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










PAS BUAT SYARAT KERANA TERSEPIT

Oleh: AZMAN ANUAR

PAS membuat keputusan menangguhkan pertemuan penting bagi umat Melayu pada Isnin, 19 Februari lalu kerana parti itu mahu UMNO dan kerajaan memenuhi permintaan dan syarat-syarat yang ditetapkannya terlebih dahulu.

Antara syarat terbarunya ialah Pas mahu penerbitan Harakah dikembalikan dua kali seminggu dan bayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu dipulangkan. Selain itu Pas mahu cadangan UMNO untuk menggugurkan perkataan Islam pada parti itu ditolak.

Pertemuan UMNO dan Pas adalah penting dan tidak boleh berhenti di pertengahan jalan. Sebab itu sungguhpun Pas meletakkan beberapa syarat sebelum pertemuan itu, UMNO tetap mahu berunding.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berharap pemimpin Pas dapat meneruskan semangat mereka untuk bertemu UMNO demi kepentingan orang Melayu.

Pas menggunakan alasan bahawa perpecahan orang Melayu tidak wujud tetapi orang Melayu bersatu menolak UMNO. Pas juga kini beranggapan bahawa mereka berada dalam pihak yang kuat, sebab itu mereka meletakkan pelbagai syarat.

Bagaimanapun jika dikaji syarat-syarat yang diminta oleh Pas itu, jelas ia berat sebelah dan cuma memihak kepada parti itu sahaja.

Latar belakang faktor inilah antara sebab kenapa Pas meletakkan pelbagai syarat untuk bertemu dengan UMNO bagi membincangkan soal perpaduan Melayu.

Pertemuan UMNO-Pas sudah pun tertangguh atas permintaan Pas. Banyak suara mengatakan Pas cuba berdolak-dalik untuk bertemu dengan UMNO bagi menyelesaikan masalah perpecahan umat Melayu.

Dengan perkataan lain Pas mempunyai kepentingan dan cuba mendapatkan keuntungan politik. Menurut Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Shamsul Amri Baharuddin, sebenarnya UMNO dan Pas sama-sama mempunyai kepentingan politik.

Walaupun nampaknya Pas yang meletakkan beberapa syarat, tetapi UMNO yang tidak meletakkan sebarang syarat itu juga boleh dilihat mempunyai `syarat'.

Kata Shamsul Amri, fokus sekarang ialah kepada UMNO. Bagaimana parti itu hendak menjayakan pertemuan UMNO-Pas itu menjadi kenyataan akhirnya.

Dalam politik, katanya, keadaan di mana pihak terlalu menjaga kepentingan masing-masing adalah lumrah. Ada pemerhati melihat Pas tidak akan rugi apa-apa.

Bagi Shamsul Amri, pergelutan politik Melayu sekarang adalah untuk menentukan aras yang kedua, iaitu apakah UMNO dan Pas boleh duduk di meja perundingan ataupun tidak. Inilah mekanisme yang perlu dicari oleh kedua-dua parti.

Exco Pemuda UMNO, Dr. Zambry Abdul Kadir tidak bersetuju dengan pandangan Shamsul Amri bahawa UMNO juga meletakkan `syarat' kerana ia agak mengelirukan.

Menurut Zambry, sebenarnya pertemuan UMNO-Pas itu pada asalnya adalah jemputan daripada pihak UMNO kepada pemimpin parti Melayu untuk mengadakan muzakarah bagi membincangkan masalah orang Melayu.

``Sebab itu UMNO tidak menggunakan istilah perundingan tetapi menggunakan perkataan perbincangan. Perbincangan bagi membincangkan persoalan yang dihadapi oleh orang Melayu, khususnya dalam konteks perpaduan dan perpecahan,'' jelas Zambry.

Melalui kaedah perbincangan ini tentunya tidak timbul soal syarat itu dan ini yang mesti diberikan dan ditunaikan. Dengan meletakkan syarat tersebut, Pas cuba memberi gambaran bahawa parti itu sudah kuat dan UMNO adalah pihak yang terdesak.

Menurut Zambry, pada UMNO bukan sangat hendak melihat pihak mana yang kuat atau lemah tetapi ia menjurus pada persoalan perpaduan dan perpecahan orang Melayu itu sendiri secara yang lebih besar.

Pas harus melihat soal utama tentang perpecahan di kalangan umat Melayu dan Islam negara ini sekarang berbanding soal UMNO harus melayani tuntutan Pas sebelum duduk berbincang.

Idea UMNO membuka jalan perbincangan adalah soal perpaduan Melayu berdasarkan keperluan pada masa kini dan masa akan datang. Ini kerana UMNO melihat masalah perpecahan di kalangan orang Melayu kini, jika tidak ditangani dengan cara yang paling baik dan bijak, maka orang Melayu akan menghadapi ancaman bukan sahaja daripada kaum bukan Melayu tetapi juga tekanan globalisasi.

Menurut Zambry, UMNO bukan sahaja hendak mempertahankan kaum Melayu tetapi juga agama Islam. Ini kerana orang Melayu terlalu simbiotik dengan agama Islam. Oleh sebab itu implikasi daripada perpecahan orang Melayu juga akan menyebabkan agenda-agenda agama tidak dapat dilaksanakan akibat pertikaian di kalangan orang Melayu.

Perpecahan orang Melayu bukan hanya akan bersifat kepartian tetapi juga lebih menjurus pada persoalan agamanya apabila agama turut diheret dalam pertembungan UMNO-Pas.

Kata Zambry, kesan yang cukup berbahaya pada orang Melayu ialah perpecahan yang berpanjangan. Pas seharusnya menilai kembali kesan tindakan mereka menangguhkan pertemuan itu kepada umat Islam di negara ini.

Sungguhpun Pas mengatakan tidak timbul perpecahan Melayu tetapi majoriti rakyat Malaysia mengakui berlaku krisis politik dan perpecahan di kalangan orang Melayu pada masa sekarang.

Perpecahan berlaku di mana-mana sahaja sama ada di peringkat bawahan hingga atasan yang melibatkan keseluruhan masyarakat Melayu.

Ramai orang Melayu terlalu inginkan supaya detik pertemuan kedua-dua parti ini diadakan segera bagi menyatukan semula orang Melayu.

Dakwaan sama ada benar atau tidak bahawa penangguhan pertemuan ini disebabkan pemimpin Pas menerima tekanan daripada pihak dalam parti itu sendiri ataupun parti-parti pakatan pembangkang, tidak sepatutnya timbul.

``Pas seharusnya mengambil satu tindakan yang berani, penuh berhikmah serta bersikap untuk melihat kepentingan Melayu pada jangka panjang,'' kata Zambry.

Jika disebabkan oleh desakan kelompok kecil atau pihak tertentu dalam parti itu sendiri yang mahu menggagalkan usaha ke arah perbincangan perpaduan Melayu ini, tentu ia memberi kesan yang tidak baik dalam proses kepimpinan parti Pas sendiri.

Ini kerana keputusan pemimpin Pas sebelum ini mahu bertemu dengan UMNO tetapi tidak dapat dilakukan kerana kepelbagaian pandangan dan pertikaian dalam parti itu sendiri.

Jika penangguhan ini berterusan dalam jangka masa yang lama, pimpinan Pas akan dianggap tidak mampu mengemudi satu keputusan yang jitu dan baik untuk umat Melayu.

Mungkin juga Pas beranggapan keputusan mereka menangguhkan pertemuan dengan UMNO adalah berhikmah dan bijaksana tetapi itu hanya dalam konteks partinya sahaja dan tidak kepada kaum Melayu dan Islam pada keseluruhannya.

Sementara itu, Presiden Pusat Perunding Kepimpinan, Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berpendapat Pas meletakkan beberapa syarat kerana menjangkakan UMNO akan mengatakan `tidak' kepada tuntutan Pas tersebut. Pas mungkin berpendapat UMNO akan menolak permintaan mereka kerana sebelum ini Pas sudah banyak membuat ceramah yang mengutuk dan menghentam pemimpin UMNO.

Tetapi apabila UMNO terus mengajak Pas bermuzakarah, sudah tentu pemimpin parti itu terkejut dengan pendekatan UMNO ini. Oleh sebab itu, kata Fithri, Pas cuba meletakkan bermacam syarat terutama isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Parti itu menjangkakan dengan isu Anwar dijadikan syarat pertemuan, maka UMNO sudah tentu akan menolak mentah-mentah pertemuan itu.

Pas barangkali sudah membuat kaji selidik di peringkat bawahan parti UMNO yang dilihat tidak bersetuju dengan empat syarat awal Pas, sebaliknya Presiden UMNO terus memberi reaksi positif untuk bersetuju berbincang tentang apa juga syarat sekalipun.

Sikap pemimpin UMNO inilah yang Pas tidak dapat jangkakan. Sekiranya tuntutan dalam syarat Pas ditolak oleh UMNO, ini hanya akan menampakkan keburukan UMNO sahaja dan orang Melayu akan bertambah membenci UMNO.

Menurut Mohd. Fithri, Pas kini tersepit apabila UMNO terus mahu berbincang dengan parti itu demi perpaduan Melayu.

Pas bimbang jika parti itu tidak mahu berbincang, ia akan menjadi tidak popular. Sebaliknya jika Pas sedia untuk bertemu dan berbincang mengenai perpaduan Melayu ataupun nasional, kumpulan ekstrem dalam Pas berasa khuatir, parti mereka sudah tunduk kepada apa yang UMNO mahu.

Pas kini bagaikan dalam situasi `ditelan mati emak diluah mati bapa'. Kini masyarakat sedang melihat hidayah yang diterima oleh Dr. Mahathir.

Perdana Menteri sudah membuka pintu hatinya untuk membincangkan soal perpaduan Melayu kerana beliau berpandangan jauh setelah melihat kesan yang dihadapi oleh orang Melayu selepas pilihan raya umum 1999.

Dr. Mahathir ingin melihat, penyatuan Melayu itu kukuh dan mantap apabila beliau meninggalkan parti dan kerajaan kelak.

Dalam hal ini, kata Mohd. Fithri, Perdana Menteri tidak melihat penyatuan Melayu dalam konteks politik seperti penggabungan antara parti-parti politik Melayu tetapi lebih kepada kedudukan perpaduan orang Melayu keseluruhannya.

Beliau tidak mahu orang Melayu hanya mengaku sebagai tuan di negara ini tetapi pada hakikatnya adalah hamba kepada orang lain.

Hosted by www.Geocities.ws

1