" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










KENAPA SAYA DIPISAH DARIPADA PAS

PELUANG terbesar Pas untuk berkuasa ialah dalam pilihan raya 1969. Orang Melayu menampakkan rasa tidak puas hati kepada kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang dianggap sebagai memberi muka kepada orang bukan Islam secara keterlaluan. Sedangkan mereka tidak nampak nikmat kemerdekaan itu dapat dirasai oleh orang Melayu. Tidak banyak perubahan berlaku ke atas orang Melayu selepas satu dekad negara mencapai kemerdekaan.

Walaupun UMNO menerima pukulan hebat dalam pilihan raya itu, rakyat tetap memberikan kemenangan kepada UMNO.

Pas gagal merebut tampuk pemerintahan negara. Pas akhirnya menerima prinsip pembahagian kuasa dan menyertai UMNO dalam Barisan Nasional (BN) pada awal tahun 70-an.

Malangnya, keyakinan Pas kepada konsep pembahagian kuasa di negara ini tidak begitu kukuh. Akibat kepentingan peribadi, Pas mengambil tindakan yang bertentangan dengan konsep pembahagian kuasa serta etikanya. Pas tersingkir daripada BN.

Pada saat Pas tersingkir daripada BN inilah munculnya young Turks di kalangan ahli-ahli Pas termasuk penulis yang merupakan salah seorang daripadanya.

Golongan ini muncul untuk membuat perubahan di dalam Pas bagi memenuhi cita-cita dan mood anak-anak muda pada waktu itu yang sedang dibakar dengan semangat kebangkitan Islam.

Kami adalah orang dakwah yang secara langsung terlibat dalam menggerakkan kesedaran Islam di kalangan generasi muda pada tahun 70-an.

Kami tidak banyak pengalaman politik, walaupun saya pada ketika itu adalah salah seorang ahli Biro Agama UMNO. Penyertaan saya dalam Pas adalah keputusan jamaah dan saya mematuhinya sebagai langkah memangkinkan perjuangan Islam di negara ini.

Saya terpaksa berkorban untuk mewujudkan keseimbangan dalam politik, kerana jika kekuatan pembangkang Melayu terhapus, UMNO akan kehilangan kuasa tawar-menawar dengan orang bukan Islam dan sekali gus UMNO juga akan turut lupa daratan dalam kedudukannya tiada lagi ada persaingan.

Sekurang-kurangnya inilah yang difikirkan oleh mereka yang meminta saya menyertai Pas dan mengambil alih barisan kepimpinannya. Oleh kerana kurang pengalaman politik, kami tidak dapat membezakan antara pendekatan yang sesuai untuk dakwah dan politik.

Kami terpengaruh kepada pendekatan dakwah yang kami telah lama berkecimpung di dalamnya. Di sinilah kesilapan yang dibuat oleh young Turks di dalam Pas yang inginkan perubahan.

Lama-kelamaan saya mempelajari bahawa pendekatan yang sesuai dalam politik ialah kemanusiaan, bukan pendekatan akidah. Jika ada di kalangan young Turks dalam Pas yang mengambil alih kepimpinan daripada Asri berpengalaman dan memberikan keutamaan kepada pendekatan kemanusiaan, Pas akan menjadi saingan UMNO yang kuat.

Di atas kesedaran inilah saya mula mengubah pendekatan Pas dan mengemukakan pendekatan kemanusiaan dengan menonjolkan keadilan Islam sebagai asas.

Islam yang adil menjadi teras kepada penerangan Pas terutamanya kepada orang bukan Islam. Orang bukan Islam mula berminat kepada ceramah-ceramah Pas. Tetapi langkah yang saya ambil kurang disenangi oleh pemimpin-pemimpin Pas lain yang akhirnya memisahkan saya dengan mereka.

Sejak kekalahan teruk Pas dalam tahun 1986 hingga sekarang Pas masih belum menemui pendekatan politik yang sesuai dan parti-parti pembangkang keseluruhannya masih mencari-cari formula untuk melahirkan barisan alternatif di kalangan mereka.

Pas pernah mengadakan pakatan dengan Semangat 46 dalam tahun 90-an tetapi pakatan ini bukan suatu formula politik yang diyakini sepenuhnya. Ia diwujudkan antara percaya dan tidak percaya, kerana mereka sebenarnya belum menemui formula yang benar-benar meyakinkan.

Hal yang sama berlaku dalam hubungan antara Pas dengan parti-parti lain seperti DAP dan keadilan. Adalah lumrah bagi parti-parti politik yang kalah untuk sentiasa mengubah pendirian dan pendekatan politik bagi mencari ubat paling mujarab bagi mendapatkan kemenangan dan kuasa.

Kelumrahan inilah yang sedang dialami oleh parti-parti pembangkang yang tidak pernah mencapai kemenangan besar bagi mengambil alih kuasa pemerintahan di negara ini.

Kemenangan di satu atau dua negeri belum dapat dijadikan ukuran dalam hal ini. Tetapi keadaan seperti itu tidak berlaku kepada pihak parti yang menang, kerana formula itu menunjukkan kemampuannya untuk mencapai kemenangan berterusan.

Apa yang dilakukan oleh parti pemerintah ialah memperkemaskan formula yang telah disokong oleh rakyat negara bermasyarakat majmuk ini.

Formula politik yang teruji ini memberikan kekuatan kepada UMNO dan tidak lagi perlu bagi UMNO mencari formula politik yang baru bagi menjalin kerjasama erat antara parti komponen Barisan Nasional bagi meraih sokongan semula kaum di negara ini.

Dalam situasinya sekarang, Pas sebenarnya belum dapat menemukan identitinya sendiri dan haluan politik yang harus dilaluinya. Kebolehan para pemimpin Pas membaca ayat-ayat al-Quran di dalam ucapan-ucapan politik tidak bermakna Pas telah dapat mengenali hakikat perjuangannya dan memahami kaedah dan hala tujunya yang sebenar.

Oleh: MOHD. NAKHAIE AHMAD
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Mingguan Malaysia
25 Februari 2001

Hosted by www.Geocities.ws

1