" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










MENGUTAMAKAN NILAI HIDUP ISLAM

MUSTAHIL seorang manusia yang benar-benar percaya kepada Tuhan dan ingin memperolehi rahmat-Nya akan dengan sengaja mencorak kehidupannya dengan menjadi pencetus kepada kerosakan di bumi ini.

Ini kerana orang beriman diajar bahawa Tuhan menciptakan segalanya dengan baik berdasarkan keadilan dan peraturan alam tertentu.

Perkara ini diterangkan dalam firman Allah yang bermaksud: Janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi, sesudah baiknya. Mintalah kepada-Nya dengan ketakutan dan harapan. Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat dari orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah al-Araf, ayat 56)

Seorang yang beriman kepada Tuhan adalah orang yang sentiasa berusaha menjadi seorang manusia baik sebelum tempohnya di bumi ditamatkan.

Orang seumpama ini adalah mereka yang akan berusaha melakukan kebaikan dan menyokong sebarang kegiatan bagi menggalakkan kebaikan.

Mereka tidak akan membabitkan diri dengan sebarang kejahatan atau menggalakkan sebarang kejahatan. Kita perlu ingat bahawa kebaikan dan kejahatan adalah perkara amat luas pengertiannya dan suatu kerugian jika ia disempitkan kepada pengamalan atau peninggalan upacara semata-mata.

Keseluruhan kehidupan seseorang adalah suatu peluang untuk mengabdikan dirinya kepada Tuhan dalam segenap kegiatannya. Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud:

Katakanlah: Sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, semuanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. (Surah al-Anaam, ayat 162)

Sebagai contoh, jika kita meneliti maksud ayat 205 surah al-Baqarah, tidakkah jelas bahawa perbuatan memusnahkan alam sekitar adalah perbuatan yang diharamkan oleh Allah dan tindakan jahat atau mungkar atau kafir?

Terjemahan ayat 205, surah al-Baqarah diperturunkan di sini untuk penelitian: Apabila dia berpaling, dia berusaha di bumi untuk membuat kerosakan padanya, dia memusnahkan tanam-tanaman, dan binatang ternakan; dan Allah tidak menyukai kerosakan.

Dilihat dari sudut ini, tidakkah menjadi tanggungjawab orang yang beriman kepada Allah untuk peka kepada kesan ke atas alam sekitar akibat pembangunan tidak seimbang atau kerosakan kepada flora dan fauna.

Sepatutnya orang Islam yang perlu menjadi perintis atau alim (berilmu) dalam sains alam sekitar serta pengkajian dalam teknologi pencegahan pencemaran alam sekitar.

Kita perlu melakukan muhasabah diri dan bertanya bagaimana umat yang memiliki kitab Allah, iaitu al-Quran, terkebelakang atau tidak tertonjol langsung dari segi sumbangan dalam bidang ini. Di mana letaknya keIslaman kita dalam hal sedemikian

Sebelum kita mahu mengklasifikasikan perkara seperti ini kepada yang wajib, sunat, makruh, fardu kifayah, fardu ain dan sebagainya, kita perlu berpandu kepada amaran Allah yang bermaksud:

Kemudian kamu ini, kamu membunuh sesama sendiri dan mengusir segolongan kamu daripada tempat tinggal mereka, dengan bantu-membantu terhadap mereka dalam dosa dan permusuhan, dan jika mereka datang kepada kamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka walaupun pengusiran mereka telah dilarang.

Adakah kamu mempercayai sebahagian al-Kitab, dan kamu tidak percaya kepada sebahagian yang lain? Maka apakah balasan ke atas orang daripada kamu yang berbuat demikian itu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat, dikembalikan kepada azab yang paling keras, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Baqarah, ayat 85)

Prinsip yang terpakai dalam surah di atas (yang ketika itu ditujukan kepada Bani Israel) ialah janganlah tindakan kita mengklasifikasikan tuntutan Allah atau sebarang tindakan lain, menjadikan kita manusia beriman kepada sebahagian dan mengetepikan sebahagian ajaran Allah yang lain.

Sudah tentu semua ajaran Allah dalam al-Quran adalah penting kerana Allah tidak melakukan sesuatu yang sia-sia atau yang remeh. Allah sendiri mengajar kita supaya mengajak diri serta orang lain kepada cara hidup yang dianjurkan oleh-Nya.

Ini bermakna mengajak manusia hidup dengan kaedah terbaik dan praktikal berasaskan kepada prinsip hidup yang diajar oleh Allah (sila rujuk surah an-Nahl, ayat 125)

Apakah cara hidup yang disyorkan oleh Tuhan ini? Jawapan yang lengkap boleh didapati dalam al-Quran dan agak panjang untuk dihuraikan dalam satu rencana. Secara pastinya ia bukan cara yang diajar oleh ulama agama palsu yang cuba merumitkan kehidupan manusia dengan pelbagai ajaran khayalan dan zalim.

Cara hidup atau ad-din anjuran Allah secara ringkasnya merangkumi penganutan nilai positif seperti menyembah hanya satu Tuhan, iaitu Tuhan saja (Surah al-Isra, ayat 22), membantu sanak-saudara dan mereka yang lemah (Surah al-Baqarah, ayat 177), menggunakan minda dan mengamalkan sikap yang kritis (Surah al-Isra, ayat 36), berbudi bahasa dan menggunakan kaedah berkesan dalam berdakwah (Surah an-Nahl, ayat 125) dan cekap mengendalikan belanjawan (Surah al-Isra, ayat 26-27).

Jelas bahawa nilai ini bukanlah seperti ajaran mistik dan kompleks seperti yang diajar oleh ulama palsu, kononnya sebagai agama. Sebagai contoh, dalam banyak perkara wajib yang pernah kita dengar, hampir jarang ditekankan atau diajar bahawa kita wajib mempunyai sikap yang tidak mahu berputus asa.

Sikap putus asa adalah sikap kufur seperti firman Allah yang bermaksud: Orang yang kafir (ingkar) akan ayat-ayat Allah, dan (ingkar) akan menemui-Nya, mereka itu berputus asa daripada rahmat-Ku, dan untuk mereka itu, seksaan yang pedih. (Surah al-Ankabut, ayat 23) Dalam kehidupan yang penuh dengan pelbagai cabaran, sikap yakin diri berasaskan kepercayaan penuh kepada Allah adalah sangat penting. Ini kerana Allah tidak membebankan sesiapa pun melebihi apa yang boleh dihadapinya.

Oleh itu, kita tidak perlu berputus asa dalam menghadapi sebarang masalah kerana ia boleh diatasi dengan kecekalan, usaha dan penuh kesabaran. Apa yang perlu kita curiga terhadap hakikat ini apabila Allah sendiri berfirman yang bermaksud:

Allah tidak membebani sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Baginya apa yang ia mengusahakan, dan ke atasnya apa yang ia mengusahakan.

Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau mempertanggungjawabkan kami jika kami lupa, atau membuat kesilapan.

Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau membebankan kami yang berat sebagaimana Engkau telah membebankan orang yang sebelum kami.

Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau membebankan kami melebihi apa yang kami ada kekuatan untuk memikul, dan maafkanlah kami, dan ampunilah kami, dan kasihanilah kami; Engkau Pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya (kafir). (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Ajaran Allah dalam al-Quran adalah reformis sementara ajaran ulama palsu tidak lebih daripada cerita yang direka untuk melekakan umat daripada menghadapi kenyataan ujian Allah dalam kehidupan harian.

Ujian ini perlu untuk membezakan mereka yang sebenarnya beriman dan yang hanya mengambil agama sebagai satu tabiat atau kebudayaan tanpa memahami asasnya.

Inilah sebabnya ulama palsu kerap dipanggil sebagai penglipur lara kerana bahan ceramah serta gaya persembahan mereka sengaja dirancang untuk mempengaruhi bukan minda seseorang tetapi emosinya. Malangnya hiburan mereka menjadi berbahaya apabila mereka yang jahil kepada ad-din Allah mudah terpengaruh dengan dakyah mereka.

Perkara ini masih berlaku sejak zaman Nabi Muhammad saw dan akan terus berlaku kerana akan sentiasa ada manusia yang tidak mahu beriman kepada ayat Allah. Masyarakat yang mempunyai kepercayaan kepada nilai seperti yang terkandung dalam al-Quran dan mengamalkannya akan menjadi masyarakat maju dan berperikemanusiaan.

Masyarakat seperti ini sudah tidak akan begitu sibuk dengan label Islam kerana tindakan, budi pekerti, pemikiran serta cara hidup mereka akan ditiru oleh orang lain kerana ia mendatangkan faedah kepada manusia amnya. Orang lainlah yang akan mengiktirafnya sebagai gaya hidup Islam tanpa perlu kita sogokkan label ini ke atas sesiapa.

Malangnya, kini kita mendapati bahawa pelbagai kaedah pemikiran serta pelbagai teknologi ditiru daripada Amerika Syarikat serta negara lain yang maju yang dikatakan sebagai negara bukan Islam.

Kita tidak boleh memejamkan mata kepada fakta ini dengan memujuk diri kita bahawa negara ini hanya akan dapat dunia. Mana kita tahu bahawa pasti akan mendapat kejayaan di akhirat walhal belum dikaji secara jujur sejauh mana sumbangan kepada diri sendiri serta masyarakat atau dunia sebagai seorang yang beriman kepada Allah

Kebanyakan kita pula mengamalkan Islam yang diajar oleh orang lain, bukan daripada keyakinan kita yang lahir daripada pembacaan al-Quran itu sendiri. Lagipun, bukankah Allah berfirman bahawa Dia yang mengetahui siapa beriman dan siapa berpura-pura seperti firman-Nya yang bermaksud:

Demi Allah mengetahui orang yang beriman dan mengetahui pula orang yang munafik. (Surah al-Ankabut, ayat 11)

Oleh itu, sebelum kita khayal dengan tindakan meletakkan diri sendiri pada tahap suci (Surah an-Najm, ayat 32), perlu kita berani lakukan muhasabah diri yang jujur.

Pengakuan yang jujur dan merendah diri bahawa kita menghadapi masalah adalah langkah pertama dalam menyelesaikan masalah itu. Tidak ada sesuatu yang perlu kita malu dalam pengakuan sedemikian jika tujuan kita untuk mencari penyelesaian dan keredaan Allah.

Bukankah lebih berfaedah kita mempelajari kepincangan negara yang dianggap Islam serta kekuatan negara yang dianggap bukan Islam daripada hanya bergembira dengan label yang kita lekatkan pada negara itu. Mungkin, kesilapan kita yang pertama ialah dengan membenarkan label ini mempengaruhi penilaian kita. Sebagai seorang beriman kepada Allah, kita perlu menjelajah keluar daripada tempurung kita untuk melihat perkembangan di sekeliling termasuk di negara lain. Dengan cara ini kita dapat mempelajari tanda Allah di muka bumi ini.

Sudah tiba masanya kita mengkaji dengan mendalam dan jujur mengapa negara yang dikatakan sebagai Islam itu bukan saja berada di tahap kemajuan yang rendah dari segenap segi, iaitu kebendaan (sebagai contoh keperluan asasi) dan bukan kebendaan (hak-hak asasi manusia), namun sering dikaitkan dengan ketidakstabilan politik, sosioekonomi, dan pertelingkahan sesama sendiri.

Lihat saja Pakistan, negara di Timur Tengah dan benua Afrika. Adakah ini contoh negara teladan yang mahu kita turuti. Kita perlu menilai perkara yang berlaku di sekeliling dengan pengukur atau Al-Furqan yang diberikan oleh Allah iaitu al-Quran. Bagaimanakah kita mahu menjelaskan perkara yang berlaku di negara ini dalam konteks firman Allah yang bermaksud:

Barangsiapa mengikuti Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah serta bertakwa, mereka itulah orang yang menang. (Surah an-Nur, ayat 52)

Tidak mungkinkah negara ini mengalami pelbagai kesulitan kerana walaupun mereka digelar sebagai negara Islam, mereka sebenarnya tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Allah seperti terkandung dalam al-Quran. Ini mungkin berlaku kerana walaupun mereka beriman (percaya) tetapi tidak berilmu dan tidak beramal atau lebih malang, mungkin mereka menyangka mereka beriman.

Mungkin juga wujudnya keadaan yang mereka lebih mengikuti fahaman ajaran ulama palsu daripada beriman terus kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya. Sebaliknya, walaupun negara yang digelar sebagai bukan Islam tidak beriman kepada Allah, namun mereka mungkin mengamalkan sebahagian daripada ajaran Allah. Ini menambahkan ilmu mereka dan amalan ilmu ini mendatangkan hasil.

Oleh Jahamy

Hosted by www.Geocities.ws

1