" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










RAMAI HARAP PAS KAJI SYARAT PERTEMUAN PERPADUAN MELAYU

KUALA LUMPUR, Isnin, 19 Februari, 2001 - Pelbagai pihak hari ini berharap Pas menilai semula syaratnya untuk berunding dengan Umno bagi membolehkan pertemuan membincangkan isu perpaduan menjadi kenyataan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Pas perlu menggantikan syarat itu dengan semangat permuafakatan sekiranya benar-benar mengutamakan kepentingan Melayu dan negara.

Beliau berkata, dengan mengemukakan pelbagai syarat dan tuntutan, Pas ternyata mahu menggunakan pertemuan itu untuk kepentingan sendiri, bukan bagi kepentingan Melayu dan negara. "Umno bersikap jujur dan ikhlas apabila mengajak Pas duduk berbincang mengenai perpaduan Melayu yang penting untuk menjurus kepada perpaduan nasional. "Apabila ada syarat nak duduk bincang, macam mana.

Eloklah perkara ini ditangguhkan atas kehendak Pas sendiri sehingga mereka dapat betul-betul terjemahkan semangat syura, perundingan dan perbincangan. "Iaitu dalam suasana yang bukan mencari keuntungan bagi parti sendiri tetapi untuk mencapai manfaat lebih luas untuk masyarakat kita, bangsa kita dan akhirnya untuk kepentingan nasional," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Wakil Khas Kerajaan Sementara Timor-Timur, Bishop Belo di Wisma Putra.

Di LUMUT, Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, khuatir jika Pas terus meletak syarat, pertemuan itu mungkin tidak dapat diadakan. Katanya, Pas tidak boleh bersandiwara mengenai isu berkenaan kerana sebarang masalah berkaitan perpaduan Melayu boleh diselesaikan melalui pertemuan itu dan bukannya sebelum perbincangan diadakan.

"Bagi saya, kalau pertemuan ini hendak diadakan, ia perlu diadakan tanpa apa-apa syarat. "Kalau kita nak letakkan syarat sebelum pertemuan diadakan, tidak mungkin perjumpaan yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Amal dan Usaha Isteri negeri Perak (Baiduri) di Dewan Majlis Daerah Manjung (MDM).

Di KOTA KINABALU, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin, berkata Pas perlu diberi lebih masa bagi menyertai rundingan yang ditaja Umno. Beliau berkata, dalam mana-mana perundingan membabitkan parti politik, biasanya ia agak lambat dan mengambil masa panjang untuk menjadi kenyataan. "Ia bukan berpunca daripada Umno kerana parti itu mempelawa Pas untuk berunding. Bila Pas menyambut tawaran berkenaan, Umno sudah bersedia sedangkan Pas yang menerima undangan belum bersedia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Anti Dadah Kebangsaan di Padang Merdeka.

DI KOTA BHARU, bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad, berkata beliau sudah menjangka Pas akan mengambil keputusan menangguhkan pertemuan itu. Katanya, Umno sepatutnya menyedari sikap Pas yang tidak pernah ikhlas dalam menyelesaikan sesuatu isu demi kebaikan rakyat walaupun berbeza fahaman politik.

Sebagai bekas ahli Pas dan antara pengerak parti itu, beliau tidak pernah yakin parti berkenaan sedia duduk semeja dengan Umno jika isu terbabit boleh menjejaskan kepentingan politiknya. "Kalau Umno nak berjumpa dengan Pas, saya cadangkan cari jalan lain... saya cukup kenal Pas yang mendakwa parti Islam kerana saya pernah menyertainya lebih 35 tahun," katanya.

Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia Negeri Kelantan, Yaakub Muhammad, pula berkata pertemuan itu memerlukan keterbukaan sikap semua pihak tanpa perlu dikenakan syarat yang boleh menggagalkannya.

Katanya, kegagalan pertemuan itu menghampakan rakyat semua kaum yang ingin melihat intergrasi nasional terbentuk bagi mengatasi masalah perpecahan yang berlaku sebelum ini. "Kegagalan pertemuan itu merugikan orang Melayu dan umat Islam ketika negara sedang menyaksikan perkembangan buruk melanda sesetengah negara Islam, termasuk pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq dan Palestin," katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Saifudin Abdullah, juga mahu kedua-dua pihak berjumpa dulu dan berbincang mengenai perpaduan tanpa meletakkan sebarang syarat. "Dalam pertemuan itu pelbagai perkara boleh dibincangkan dan sebarang penangguhan boleh menghilang momentum untuk menjadikan perbincangan berkenaan satu kenyataan," katanya.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta Umno dan Pas mengadakan gencatan senjata politik dengan menghentikan sementara kegiatan yang boleh menjejaskan pertemuan. Dalam kenyataan itu, Abim turut menyarankan Umno menunjukkan kesungguhan dengan mengembalikan semula tuntutan Pas, yang tidak akan merugikan sesiapa.

Oleh Zulkofli Jamaludin, Wan Hazmir Bakar, Muhd Yusuf Abu Bakar, Veena Rusli, Kamarulzaman Pid, Azman Mahmood, Torek Sulong dan Juliet N
Source: Berita Harian 20 Februari 2001

Hosted by www.Geocities.ws

1