" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










MUAWIYAH PENCETUS SISTEM PUAK

Di sebalik kepelbagaian intrik, sesetengahnya menjurus kepada kezaliman menguasai dunia politik Islam sejak zaman khalifah pertama, Saidina Abu Bakar as-Sidek.

Peristiwa itu dicatat dengan panjang lebar oleh semua penulis sejarah, sama ada pada umat Islam sendiri atau orientalis yang memang mencari jalan untuk memperkecil dan menghina Islam.

Antara tokoh paling popular ialah Muawiyah Ibnu Abu Sufyan, pengasas dinasti Umaiyah (661-680 Masihi). Malah, tidak berlebihan dijelaskan Muawiyah adalah orang pertama yang merombak sistem keadilan sosial dan politik Islam dengan tujuan untuk populariti dirinya dan kerabatnya.

Muawiyah mula menonjolkan diri dalam kancah politik sebaik dilantik menjadi gabenor di Sham oleh khalifah ketiga, Saidina Osman Ibnu Affan.

Kehebatannya menonjol selepas kewafatan Saidina Osman. Ketika itu umat Islam di Madinah sedang berusaha untuk mencari ganti khalifah keempat. Beberapa puak berebut-rebut mencalonkan puak masing-masing. Tetapi apabila Saidina Ali terpilih menjadi khalifah, Muawiyah sengaja melewat-lewatkan sokongannya. Perbuatannya itu adalah sebahagian daripada helah (intrik) yang diatur untuk melemahkan Ali dan seluruh pengikutnya di Madinah.

Dalam usahanya itu, dia berjaya dan Ali dipencilkan. Antara rombakan sosiopolitik yang dilakukan Muawiyah ialah menggantikan sistem pemilihan khalifah yang menjadi asas demokrasi kepada pemilihan keturunan. Gelaran khalifah diganti dengan gelaran Amir atau Raja.

Dengan menggunakan kepintaran berfikir dan intrik yang tinggi, Muawiyah berjaya mempengaruhi umat Islam untuk membuktikan bahawa sistem politik yang dijalankannya adalah yang paling berkesan. Beliau memahami keadaan umat Islam ketika itu adalah buta huruf. Mereka hanya belajar, terutama bidang agama, menerusi orang perseorangan, terutama daripada Rasulullah sendiri dan sahabat baginda.

Institusi pendidikan pada ketika itu belum wujud. Suasana dan persekitaran begitu dapat membantu Muawiyah mencapai cita-citanya. Sebagai anak seorang bangsawan dan tokoh perniagaan terkenal Quraisy, Abu Sufyan, Muawiyah mempraktikkan intrik bapanya untuk berkuasa dan kepentingan kaumnya.

Sistem yang dijalankannya adalah sistem pecah dan perintah (divide and rule) dan sistem ini kemudiannya dipraktikkan oleh penulis ketatanegaraan terkenal, Niccolo Machiaveli dari Florence, Itali dalam bukunya The Prince pada abad ke-15. Terjemahan ke dalam bahasa Inggeris dilakukan pada 1640.

Dalam The Prince, Machiaveli memperkenalkan 'tindakan menghalalkan cara' (The end justified the means). Seperti Muawiyah yang melihat sistem kekhalifahan satu halangan untuknya berkuasa sepenuhnya, Machiaveli yang dilahirkan pada 1469 juga terbabit dengan kancah perpecahan Itali. Ketika dia dilahirkan, Itali dipecahkan mengikut jumlah bandar tetapi dikuasai oleh lima kuasa besar, iaitu Florence, Venice, Milan, Naples dan Papacy.

Perpecahan politik di Itali ketika itu begitu meruncing, terutama ketika Raja Charles VIII dari Sepanyol mengetuai tentera untuk mengisytiharkan wilayah Naples sebagai jajahan takluknya. Muawiyah pula menuntut takhta kekhalifahan dengan mengatur pelbagai strategi, termasuk pembunuhan Saidina Ali Abi Talib (598-661 Masihi).

Walaupun intrik yang digunakannya tidak begitu ketara, namun sebaik khalifah ketiga, Saidina Osman Ibnu Affan (644-656) terbunuh, Muawiyah semakin lantang. Dalam Peperangan Jamal dan Siffin, Muawiyah mengatur gerakan ketenteraan yang paling besar, termasuk menggunakan isteri Nabi Muhammad saw, Saidatina Aisyah ra (dalam Peperangan Jamal), dan beberapa sahabat Nabi yang terkemuka.

Beliau juga mengintrik Saidina Ali dan pengikutnya dengan meletakkan al-Quran di hujung tombak masing-masing dalam Peperangan Siffin. Walaupun Saidina Ali tahu perbuatan itu hanya helah atau tipu daya (intrik) Muawiyah, baginda tidak berdaya untuk menahan tenteranya yang mulai tawar hati untuk berperang.

Perbuatan menjunjung al-Quran di hujung tombak itu dilakukan atas arahan Amr Ibnu 'As dan dipersetujui oleh Muawiyah. Padanya apa saja taktik yang boleh membantunya mencapai cita-cita hendaklah diguna pakai sepenuhnya.

Tetapi bagi pengikut Saidina Ali, al-Quran adalah kitab suci yang tidak boleh dipermain-main dan dihina. Taktik dan intrik Muawiyah berjaya bukan saja menghentikan peperangan dengan Saidina Ali, malah mencatatkan sejarah pembunuhan dan perampasan kuasa paling ngeri dalam sejarah Islam. Berpuluh-puluh ribu umat Islam, termasuk beribu-ribu orang hafiz al-Quran, terkorban.

Ahli akademik Islam yang terkenal, Afzalul Rahman dalam Encyclopedia of Seerah (1988) menjelaskan, Muawiyah diangkat menjadi khalifah bukanlah atas kehendak umat Islam ketika itu tetapi jawatan itu dicapainya hasil strategi dan intrik yang cukup tinggi dan gagal diatasi oleh Saidina Ali.

Kelebihan Muawiyah ialah dia berjaya memperdayakan seluruh minda umat Islam ketika itu menerusi intrik yang teratur, termasuk menggunakan kekayaan dan pelbagai lagi. Sebaik peperangan itu tamat dengan kekalahan moral kepada Muawiyah, Saidina Ali berkata kepada pengikutnya: "Aku kenal siapa mereka. Mereka pada waktu kecilnya hanyalah anak nakal dan pada waktu besarnya pula menjadi lelaki yang cukup jahat." (Lihat Sejarah Umat Islam oleh Prof Dr Hamka, 1950).

Menurut Hamka, Ali hanya kalah disebabkan pengikutnya yang tidak setia dan kebanyakan mereka adalah penyokong Muawiyah yang menyeludup masuk ke dalam kem Saidina Ali. Selain itu, Muawiyah juga mempergunakan sepenuhnya kelemahan Saidina Ali yang tidak mahu mendengar nasihat daripada sahabat rapatnya. Misalnya Abdullah Ibnu Abbas, Mughirah Ibnu Shibah yang melarang Ali memecat gabenor wilayah yang dilantik oleh khalifah ketiga, Saidina Osman Ibnu Affan, termasuk Muawiyah di Sham.

Intrik paling besar yang berjaya dilakukan oleh Muawiyah ialah ketika permesyuaratan pengesahan khalifah Ali selepas Saidina Osman mati dibunuh. Peristiwa itu berlaku selepas Peperangan Siffin selesai.

Dua puak besar umat Islam mengingini penyelesaian yang sempurna dan cuba mengelakkan pertumpahan darah berpanjangan. Puak Muawiyah dan puak Ali bertemu di Damatul Jandal untuk memutuskan secara muktamad siapakah yang paling berhak menjadi khalifah. Muawiyah melantik Amr bin 'As menjadi ketua perunding. Bagi pihak Ali pula diwakili Abu Musa al-Ash'ari, iaitu seorang ahli ilmu pengetahuan yang bijak tetapi sudah berumur.

Dalam perbincangan itulah, Abu Musa melakukan kesilapan besar dengan menyatakan bahawa dia menggugurkan Saidina Ali dan Muawiyah daripada jawatan khalifah. Perkataannya itu disambut dengan cepat oleh Amr bin 'As yang menyatakan dia sebagai wakil Muawiyah menerima penolakan Ali dan melantik dengan rasminya Muawiyah sebagai khalifah baru.

Umat Islam ternyata tertipu tetapi nasi sudah menjadi bubur. Diplomat tua yang megah dengan asa lamanya dikalahkan oleh diplomat muda yang cerdik dan tinggi intriknya.

Mengkaji semula sejarah perpecahan umat Islam pada kurun awal kemajuannya, ternyata terlalu banyak kepincangan yang timbul akibat warisan keganasan jahiliah. Misalnya gerakan menghidupkan semula sistem bani-bani (puak) dalam masyarakat Arab ketika itu ternyata melanggar nasihat Rasulullah supaya bersatu di bawah panji-panji agama Islam yang suci.

Penggerakan semula sistem puak itu adalah intrik paling berjaya yang dilakukan oleh Muawiyah sehingga ia mengekalkan Dinasti Umaiyah berkurun lamanya. Akibat daripada pelbagai strategi memperkukuh intrik itu, sistem keadilan yang disemai dan subur pada zaman Rasulullah dan khalifah pertama, Saidina Abu Bakar as-Sidek, dan khalifah kedua, Saidina Umar Ibnu Khattab, berkubur.

Dalam pelaksanaan intrik minda itu, Muawiyah seolah-olah melupakan dirinya sebagai seorang Islam. Apa saja cara yang difikirkannya sesuai untuk mencapai matlamatnya, akan dilakukannya. Perbuatannya itu direkodkan dalam sejarah dan sebahagian besar pengkaji sejarah, terutama orientalis menganggungkannya sebagai pemimpin paling berjaya. (Rujuk Encyclopedia Of Islam, London) Prof Hitti dalam bukunya Islamic History menganggap Muawiyah sebagai pembaharu kegiatan masyarakat Islam pada zaman itu.

Tetapi pada hakikatnya, Muawiyah adalah pembawa perpecahan besar dan merombak sistem masyarakat Islam sehingga kini. Walaupun begitu, jasanya kepada perluasan wilayah Islam memang diakui.

Pada zamannya ia berjaya menakluki Mesir, Ainut Tamr, Anbar, Mada'in, Hijaz, Yaman dan Basrah. Tetapi dari segi moral sejarah, Muawiyah tetap tercatat sebagai pemula perpecahan ummah dan memulakan sistem beraja serta memperkenalkan sistem kroni dan nepo dalam Islam.

Walaupun beliau seorang yang bijaksana, ia sudah melakukan dosa yang besar dan mewariskannya kepada masyrakat umum Islam. Sama ada dipersetujui oleh pengkaji sejarah terkini atau tidak, kita merasakan umat kini perlu memuhasabah diri, mencari sebab kelemahan yang wujud dalam tatanegara Islam di seluruh dunia sekarang.

Muawiyah sudah meletakkan intrik minda dan sosial untuk berkuasa dan apakah yang perlu kita lakukan untuk kembali mewarnai kemajuan dunia sekarang? Tepuk dada tanyalah selera!

Oleh Maarop Md Noh
Berita Harian 20 Februari 2001

Hosted by www.Geocities.ws

1