" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










BERDAKWAH TUGAS SETIAP MUSLIM

PENGERTIAN umum dakwah bermaksud panggilan, seruan atau ajakan. Maksud ajakan di sini ialah menyeru manusia mengakui kebesaran Allah Yang Maha Kuasa serta perlunya manusia hidup berlandaskan peraturan yang ditetapkan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Perkara itu adalah inti pati dakwah bagi membina manusia yang bertakwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar dan seluas-luasnya.

Dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya kehidupan umat Islam, dakwah mempunyai kedudukan yang amat penting. Dengan dakwah, dapat disampaikan serta dijelaskan mengenai ajaran Islam kepada masyarakat dan umat sehingga sasaran dapat mengetahui perkara yang benar (haq) atau perkara yang salah (batil).

Peranan dakwah bukan setakat dapat membezakan tetapi dakwah juga dapat mempengaruhi masyarakat untuk menyukai perkara yang baik serta dapat menolak apa saja yang tidak betul yang berlaku dalam masyarakat. Sekiranya ini dapat diwujudkan dalam masyarakat Islam, sudah tentu hasrat kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat dapat dicapai.

Sesungguhnya dakwah mempunyai kedudukan yang amat penting. Secara asasnya, hukum dakwah menjadi satu kewajipan yang perlu dilaksanakan dan oleh setiap individu Muslim. Banyak ayat al-Quran dan hadis menyaran atau menyeru setiap individu Muslim melaksanakan tugas dakwah ini.

Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 125 bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu dengan cara yang lebih baik), sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat di jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."

Firman Allah dalam surah Ali-Imran 104 pula bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya."

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman."

Sabda Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan dari Bukhari dan Tirmizi yang bermaksud: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." Individu Muslim yang melaksanakan usaha dakwah mengikut kemampuan atau bidang yang mampu dilakukan oleh dirinya, akan mendapat ganjaran atau kelebihan tertentu yang akan diberikan oleh Allah swt. Antara ganjaran yang bakal diterima ialah: l Memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah dengan ditempatkan dalam kelompok yang terbaik.

Memperolehi pahala yang besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: "Barang siapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, maka akan diberi pahala sama seperti orang yang melakukan." (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi) Usaha dakwah yang dilakukan dengan tulus ikhlas dan rela, menggambarkan keimanan dan peribadi seseorang. Ini adalah kerana usaha dakwah yang dilakukan itu tentunya tidak bertentangan dengan sifat atau peribadi seseorang. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah As-Saff ayat 2-3 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu yang memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya?"

Memperolehi keuntungan, kemuliaan dan keberkatan dalam hidup sama ada di dunia di akhirat. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya."

Terhindar daripada laknat atau bala dari Allah. Ini seperti yang telah dijanjikan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 78-79 yang bermaksud: "Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibnu Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Dan mereka sentiasa tidak berlarangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan."

Memperolehi rahmat dan keampunan daripada Allah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah maha kuasa lagi maha bijaksana." Dalam usaha melaksanakan dakwah, ada tahap yang perlu difahami dan diperhatikan. Ini penting bagi memastikan usaha itu berkesan serta dapat mencapai matlamat yang diharapkan. Sheikh Mustaffa Masyhur dalam bukunya yang berjudul Tariq Fi Ad-Dakwah (Jalan-Jalan Dakwah) menyebut tiga tahap dakwah, iaitu:

Taarif (penerangan/pengenalan) -
tahap ini adalah untuk memperkenalkan, menyampaikan idea, gagasan atau untuk menggambarkan kepada khalayak atau sasaran tentang dakwah yang hendak disampaikan.

Takwin (pembinaan/pembentukan) -
tahap pembentukan, pembinaan pendakwah dan pemantapan mesej yang disampaikan.

Tanfiz (pelaksanaan) -
tahap beramal, berusaha dan melaksanakan dakwah bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Berdasarkan tiga tahap yang dinyatakan oleh tokoh ilmuwan itu, ternyata dakwah adalah perjalanan yang panjang dan berliku. Untuk itu, petugas dakwah atau individu yang bergerak dalam usaha-usaha dakwah atau organisasi yang melaksanakan kerja dakwah perlu menyiapkan diri atau organisasi masing-masing pada tahap yang maksimum dan bersedia bukan pada tahap ala kadar atau sambil lewa kerana dakwah akan menghadapi pelbagai rintangan dan ujian yang tidak terduga atau kadang-kadang di luar jangkaan manusia.

Dalam situasi masyarakat masa kini yang mengharungi pelbagai cabaran dan dalam era globalisasi, dakwah perlu digerakkan sebagai membimbing manusia ke jalan yang betul. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim perlu berganding bahu untuk sama-sama melaksanakan usaha dakwah, menyampaikan ajaran Islam serta memberi kesedaran mengenai ketinggian Islam bagi mewujudkan masyarakat Muslim yang terbaik.

Kata lainnya, dakwah adalah satu kaedah yang penting bagi membetulkan masyarakat yang tempang ke arah masyarakat yang lebih Islamik serta menghayati nilai-nilai Islam dalam seluruh masyarakat dan kehidupan.

Untuk itu, setiap Muslim perlu sedar dan perlu membabitkan diri dalam dakwah, sesuai dengan potensi atau keupayaan diri masing-masing. Terbinanya diri, keluarga dan masyarakat yang Islamik merupakan matlamat utama dalam dakwah.

Matlamat dan harapan ini tidak dapat dicapai sekadar menerusi ceramah dan khutbah tetapi melalui pelbagai bidang serta potensi yang ada. Oleh itu, perlu kita sedar bahawa segala potensi dan kemampuan yang kita ada atau miliki, perlu digunakan untuk kepentingan Islam dan dakwah Islamiah.

Oleh Mejar Burhanuddin Abdul Jalal
Berita Harian 20 Februari 2001

Hosted by www.Geocities.ws

1