" + number + " is: " + "
Hosted by www.Geocities.ws

"; windowprops = "toolbar=no,width=150,height=25," + "directories=no,status=no,scrollbars=no,resize=no," + "menubar=no"; icqWindow=window.open("","displayWindow",windowprops) icqWindow.document.write(text); icqWindow.document.close(); icqWindow.focus(); } // End --> Melayu Islam & Reformasi










ANTARA KAFIR AMALAN DAN KAFIR KEPERCAYAAN

RAMAI orang Islam salah faham dan keliru tentang banyak perkataan yang terdapat dalam al-Quran. Sebagai contoh perkataan ulama yang disebut dalam al-Quran adalah bermaksud ilmuwan atau saintis secara umum, tetapi kebanyakan orang Islam di Malaysia mengistilahkannya sebagai orang berilmu dan pakar dalam bidang agama sahaja.

Begitu juga fahaman mereka terhadap perkataan kafir yang disebut dalam ayat 44 daripada surah al-Maidah yang telah dibincangkan dalam ruangan ini minggu lepas. Maksud perkataan kafir dalam ayat berkenaan pada pandangan kebanyakan orang Islam di negara ini ialah kafir yang bermaksud kafir kepada Allah atau kafir yang menyebabkan seseorang terkeluar daripada agama. Pada hal sebenarnya ia tidak begitu.

Minggu lepas juga kita telah membincangkan bahawa ayat 44 daripada surah al-Maidah yang menyebut bahawa orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah adalah merupakan ayat yang tidak muktamad kerana mempunyai tiga hukum iaitu kafir, zalim dan fasik.

Minggu ini pula kita akan membincangkan mengenai maksud perkataan kafir dalam ayat berkenaan dan ayat-ayat al-Quran yang lain. Moga-moga perbincangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang belum mengetahui dengan jelas tentang maksud perkataan kafir dalam bermacam-macam konteks seperti yang disebut dalam al-Quran itu.

Sebenarnya tidak semua perkataan kafir dalam al-Quran bermaksud kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama Islam. Ini kerana menurut al-Quran, perkataan kafir mempunyai bermacam-macam maksud dan ia digunakan dalam berbagai konteks.

Sebagai contoh, antara ayat-ayat yang menyebut perkataan kafir dan maksudnya benar-benar kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama ialah seperti yang disebut dalam ayat 106 surah an-Nahl.

Ada juga ayat-ayat lain yang menyebut perkataan yang sama, tetapi tidak bermaksud kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama, sebaliknya bermaksud menghapuskan dosa seperti yang disebut dalam ayat 8 daripada surah at-Tahrim. Ayat-ayat seperti ini tidak mempunyai sedikit pun maksud negatif kerana semua orang Islam dituntut mengkafirkan atau mentakrifkan dosa-dosa mereka, iaitu menghapuskannya dengan melakukan ibadat dan amal kebajikan.

Ada juga perkataan kafir dalam al-Quran yang membawa maksud membantah antara satu sama lain pada hari akhirat seperti yang disebut dalam ayat 25 daripada surah al-'Ankabut. Malah ada juga perkataan kafir itu dimaksudkan ingkar nikmat seperti disebut dalam ayat 40 daripada surah an-Naml dan lain-lain. Jadi perkataan kafir mempunyai maksud yang umum dan luas.

Untuk menggunakan perkataan kafir secara lebih tepat tidak ada cara lain kecuali perlu mengetahui maksudnya dan dalam konteks mana ia digunakan al-Quran. Bagaimanapun, ulama juga berpendapat bahawa terdapat dua kategori bagi perkataan kafir yang bermaksud kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama.

Pertama, kafir amalan (al-kufr al-'amali) dan kedua, kafir pegangan atau kepercayaan atau iktikad (al-kufr al-i'tiqadi). Begitulah pendapat Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qaiyyim. Kedua-dua ulama itu menuntut orang Islam supaya membezakan antara kafir amalan dan kafir pegangan kerana bimbang jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan mereka melakukan kesalahan dan dosa besar hingga menyebabkan terkeluar daripada jemaah orang Islam seperti yang terjadi kepada puak al-Khawarij.

Kafir amalan ialah seperti melakukan perkara-perkara yang dianggap dosa besar, sama ada yang disebut hukum sebagai kafir atau tidak dalam al-Quran seperti membunuh orang Islam, meninggalkan sembahyang fardu, berzina, minum dan lain-lain.

Sebagai contoh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis menyebut:

"Memaki orang Islam itu dianggap fasik dan membunuhnya dianggap kafir"

Hukum kafir dalam hadis ini tidak bermaksud kafir kepada Allah atau keluar daripada agama, tetapi bermaksud tidak mentaati larangan Allah yang menegah pembunuhan. Ia dipanggil kafir amalan kerana pembunuh yang merupakan orang Islam telah melakukan perbuatan yang dianggap dosa besar, iaitu membunuh orang Islam lain.

Bagaimanapun, terdapat kafir amalan yang boleh menyebabkan kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama seperti memaki Allah dan Rasul-Nya. Ada pun kafir pegangan pula ialah seperti percaya bahawa agama Islam itu agama palsu, al-Quran bukan wahyu Allah, Nabi Muhammad s.a.w penipu, hukum Allah tidak layak dilaksanakan pada zaman ini dan lain-lain.

Kafir pegangan inilah yang dianggap benar-benar kafir kepada Allah atau terkeluar daripada Islam. Bagaimanapun, kerana kafir pegangan berkaitan dengan kepercayaan dan keimanan yang berada dalam diri seseorang, maka tiada seorang pun dapat mengetahui siapakah yang dianggap menjadi kafir pegangan kecuali orang itu sendiri mengaku.

Apa yang dapat dirumuskan di sini ialah beberapa perkataan kafir yang terkandung dalam al-Quran itu mempunyai banyak maksud dan tidak semestinya bermaksud kafir kepada Allah atau keluar daripada agama. Maka dengan itu berhati-hatilah apabila merujuk kepada perkataan kafir dalam al-Quran. Pastikan dulu maksud yang tepat terhadap perkataan kafir itu serta kaji pula dalam konteks mana ia patut digunakan. Jika tidak, mungkin kita melakukan dosa yang amat besar terhadap orang Islam tertentu kerana menghukum mereka sebagai kafir secara tidak sah.

Perlu diterangkan bahawa ayat 44 daripada surah al-Maidah yang sering digunakan oleh puak pembangkang untuk menghukum kerajaan sebagai kafir itu sebenarnya pernah digunakan oleh puak al-Khawarij pada zaman awal Islam dulu. Kemudian puak al-Khawarij yang merupakan puak agama pertama dalam sejarah Islam yang mengkafirkan sesama Islam memperluaskan hukum berkenaan kepada semua orang Islam yang melakukan dosa, sama ada dosa besar mahupun dosa kecil.

Pada zaman moden ini muncul beberapa puak pelampau agama di negara-negara Arab yang mengambil inspirasi daripada puak al-Khawarij seperti puak at-Takfir Wal-Hijrah di Mesir yang boleh dianggap sebagai puak al-Khawarij moden. Puak at-Takfir Wal Hijrah tidak saja mengkafirkan kerajaan dan para pemimpin negara tetapi mereka juga mengkafirkan para ulama, imam, khatib, bilal, guru dan semua orang yang tidak mengikut atau menyokong mereka.

Bagi menghukumkan kerajaan dan para pemimpinnya sebagai kafir, puak at-Takfir Wal Hijrah berhujah dengan ayat 44 daripada surah al-Maidah yang terkenal itu. Bagi menghukum orang Islam lain, puak pelampau agama kumpulan ini menggunakan ayat sama dengan menafsirkan bahawa kerana orang Islam itu setuju dan rela dengan kerajaan yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka juga kafir.

Meskipun ayat 44 daripada surah al-Maidah yang diturunkan kepada kaum Yahudi itu difahamkan bahawa ia disyariatkan kepada orang Islam seperti kata sesetengah ulama, tetapi ulama-ulama itu pula menganggap bahawa orang Islam yang tidak menghukum dengan hukum Allah tidak dianggap kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama, asalkan mereka tidak mengingkarkan hukum Allah itu. Orang Islam yang cuai itu cuma dianggap melakukan dosa besar.

Oleh: ASTORA JABAT
Mingguan Malaysia 18 Februari 2001

 

Hosted by www.Geocities.ws

1