Home
Personal Corner
Inner Voices
Poetry Lane
Music Box
Web Links
Sign and View my Guestbook
E-mail Me!
 
 
 
 

 


Garis Biru Kedamaian

12/10/00
Pada yang tidak mungkin mengerti....
Diriku lebih menghargai,
Tamparan dari tangan kenyataan.
Bukan dalih kata seindah madah,
Yang hanya ingin menindas kepura-puraan di dada.

Di dalam diam, 
Engkau telah mengupas kulit yang membaluti isi hatimu,
Engkau telah memberi sebahagian pendapat ikhlas mu,
Tentang diri ini.
Sayangnya ia hanya terlerai di belakang tabirku,
Walaupun aku sentiasa sedia bertentangan,
Dengan kelemahan diri sendiri.

Pada yang tidak bisa mengenali..
Kegigihan ku bukan untuk mementingkan diri.
Keresahan ku jauh sekali membawa erti di mana
Setiap gerak geri mu aku ingin memerhati.
Aku bukan seperti sangkaanmu....
Diri masih mempunyai pendirian dan kesedaran,
Di mana keimanan adalah benteng teguhnya segala harapan.

Ketika di dalam kerungsingan,
Tidak mengerti tindak tanduk kelakuan,
Nurr Ilahi menyerlah dari celah.
Menerangi kegelapan dalam kedaifan.
Pengertian akhirnya ku terima dari kenyataan,
Untuk membalut keresahan dalam kejahilan.

Pada engkau yang tidak dapat memahami...
Aku tidak lagi dahagakan,
Setitik kebenaran di gayung santapan mu,
Yang mengalir dari takungan kenyataan telaga isi hati mu.
Penjelasan berjela yang kau hidangkan kemudian,
Singgah hanya suatu janturan.

Permulaan garis biru dari ukiran mu,
Telah ku sambut untuk meneruskan perjalaran.
Tiada mungkin ukiran garis itu akan dikaburi
Oleh terbangan debu-debu jalanan
Yang kekadang memedihkan penglihatan.

Hanya kedamaian yang ku inginkan kini.
Aku ingin terapung jauh dan tenang di awangan
Biarkan sahaja aku lenyap..
Ketika meraup kesejukkan embun pagi,
Demi meredakan kerinduan di hati.

Tangkapilah maksud ku ini, teman...
Walaupun tiada jelas lahirnya sebuah keadilan,
Segala lafaz kasih bukan suatu mainan.
Perasaan ku bukan sebagai barang perdagangan.
Kedamaian yang ku hulurkan untuk menghormati diri mu,
Tiada tersembunyi sebarang kecacatan.
Tinggalkan aku bersendirian walaupun seketika cuma,
Untuk kita bersama menikmati keindahan
Garis Biru Kedamaian ini...



Rose's Web Directory
Home | Poetry Lane | Music Box | Inner Voices| Personal Corner  | Web Links | Guest book | Mail Post
 
Hosted by www.Geocities.ws

1 1