[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

PELAJAR THAI LEBIH CENDERUNG MEMILIH POLITEKNIK DARIPADA UNIVERSITI, KENAPA?

Seorang pelawat website PBTM yang bergelar dirinya Ray telah menimbulkan satu persoalan mengenai pelajar Thai lebih cenderung memilih Politeknik daripada Universiti. Beliau adalah salah seorang pelajar Thai yang sedang belajar di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam bidang kejuteraan. Beliau tidak bermaksud Politeknik tidak bagus tetapi beliau berpendapat belajar Universiti lebih bagus daripada Politeknik. Beliau menyeru kepada pihak PBTM supaya melakukan sesuatu untuk menggalakkan pelajar kita memilih Universiti.

Persoalan yang dikemukakan oleh Ray telah mendapat perhatian 2 orang pelawat website PBTM iaitu Mr. Dekban dan Mr. Opat. Kedua-dua mereka menyatakan pendapat masing-masing yang menunjukkan mereka tidak bersetuju dengan pendapat Ray.

Menurut pendapat Mr. Dekban [email protected] dari Pendang, Kedah,, menyatakan bahawa pandangan Ray, seorang pelajar Thai bidang kejuteraan di salah sebuah IPTA adalah silap. Kenapa pelajar kita lebih cenderung memilih Politeknik daripada Universiti??? Saya bukan pelajar Politeknik tetapi seorang daripada adik perempuan saya adalah seorang pelajar di Politeknik. Dia telah mendapat tawaran Diploma dari UTM dan pada masa yang sama mendapat tawaran Diploma dari Politeknik. Dia memilih Politeknik, kenapa dia pilih Politeknik?? Dia pilih Politeknik adalah kerana faktor kewangan. Jadi, mungkin kalau kamu mahu lihat dari segi taraf pendidikan sahaja kamu perlu mengubah pandangan kamu.

Pandangan Webmaster adalah betul!! pelajar Politeknik boleh pergi ke tempat kamu apabila mereka tamat pengajian di Politeknik. Ray!! saya ingin tanya satu soalan, Sekiranya pengajian peringkat Diploma di Universiti memerlukan kos lebih kurang RM40,000 untuk tamat pengajiannya selama 3 tahun dan RM20,000 untuk tamat pengajian di Politeknik, yang mana satu yang akan kamu pilih?? Untuk pengetahuan kamu, saya juga seorang jurutera dan saya bukannya pelajar universiti dan juga bukan pelajar Politeknik. Saya boleh mendapatkan pekerjaan dan gaji saya juga sama seperti pelajar Politeknik atau pelajar Universiti semasa saya baru tamat pengajian. Ini bukan kerana nasib tetapi kerana kemahuan kita samada mahu atau tidak. Sawaddee... (maaflah kalau penulis silap terjemah sebab English SPM -F9).

Pandangan daripada Mr. Opat [email protected] atau [email protected] dari USM pula menyatakan bahawa kecenderungan pelajar kita melanjutkan pelajaran ke peringkat Politeknik adalah disebabkan faktor-faktor seperti kelulusan dan kewangan. Untuk melanjutkan pelajaran di Universiti di peringkat Ijazah Sarjana Muda misalnya Kementerian Pendidikan telah menetapkan syarat kemasukan adalah berdasarkan keputusan STPM. Hampir kesemua Universiti dikenakan syarat berikut kecuali Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengenakan syarat SPM.

Apa yang pasti ialah kebanyakan pelajar kita memiliki kelulusan SPM cenderung ke arah Politeknik. Tambahan pula syarat yang dikenakan oleh pihak Politeknik adalah tidak begitu ketara. Oleh demikian, kursus-kursus seperti Kejuruteraan di Politeknik kini dianggap mendapat sambutan meluas. Malah kini, hampir kesemua negeri di Malaysia mempunyai Politeknik tersendiri.

Dengan itu, peluang kemasukan ke institusi tersebut adalah tinggi. Sementara itu, bagi pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti mereka haruslah berani mencuba mengambil peperiksaan STPM. Malangnya sejak kebelakangan ini STPM dilihat sebagai sesuatu yang sukar terutama kecenderungan kita untuk takut menghadapi peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).

Masalah yang ada sekarang ialah apabila ramai pelajar kita yang sudah lulus di peringkat sijil dan diploma dari Politeknik atau institusi lain kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Masalah tersebut mungkin timbul berikutan pemikiran bahawa pendapatan yang mereka perolehi sekarang sudah agak lumayan malah adakalanya lebih daripada skel gaji lulusan Universiti.

Bagaimanapun, saya berpendapat sekiranya lulusan Politeknik tersebut meluangkan masa mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, maka secara umumnya akan meningkatkan lagi martabat bangsa kita di khalayak umum.

Tidak salah jika anda memilih untuk membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana peringkat. Apa yang penting ialah sekiranya anda sudah berjaya janganlah lupa pandang ke belakang. Masih banyak lagi perkara yang harus; diperjuangkan untuk memajukan bangsa kita.

Selepas sehari artikel ini disiarkan melalui website PBTM pada 18 Julai 2001, terdapat seorang bekas pelajar Politeknik (yang enggan namanya disiarkan) telah menyuarakan pendapat yang tak setuju dengan pendapat Mr. Opat tetapi menyokong pendapat Mr. Dekban.

Saya tertarik dengan persoalan ini. Kepada semua bekas pelajar atau yang masih digelar pelajar POLY, sudi-sudilah menyuarakan pendapat anda!! Saya rasa tiada seorang pun orang Thai yang tidak mahu masuk U. Saya tidak menyokong pendapat yang mengatakan disebabkan oleh keputusan yang kurang cemerlang punca ramai pelajar Thai memilih POLY.

Untuk pengetahuan anda sepanjang saya di POLIMAS semasa sesi memperkenalkan diri (Ruam Thai) ada pelajar Thai kita yang mendapat 7A-9A (SPM). Apabila saya membuat analisis (majalah ruam thai) boleh dikatakan pelajar Thai yang kini @ masih menuntut di U, lebih 70% adalah kerana terpaksa (maksud saya kursus yang ditawarkan tidak seperti mana yang dipohon). After graduated, ada yang tidak tahu arah atau menganggur (walaupun ada segulung ijazah). Ditanya apa yang diajar??? dijawabnya pula macam Form 6.

Untuk pengetahuan anda sekalian, skop pembelajaran di POLY juga amat mendalam dan detail. Kami juga mudah mendapat pekerjaan dan setanding dengan U walaupun digelar budak POLY. Saya sendiri walaupun standart POLY dan baru tiga tahun bekerja tetapi ramai pekerja di bawah saya adalah pelajar U yang lebih tua dari saya.

Walau bagaimanapun saya menyokong sepenuhnya faktor kewangan juga merupakan punca mengapa pilih POLY. Saya sendiri selepas graduated pernah ditawarkan memasuki U tetapi terpaksa menolak disebabkan faktor ini dan gagal mendapat pinjaman kerana tiada penjamin. Walau bagaimanapun bagi saya di mana sahaja kita belajar yang penting usaha dan arah tuju kita.

Pembetulan dari Dekban (20.7.2001)

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sependapat dengan saya tentang isu yang dibangkitkan oleh Mr. Ray, tetapi di sini saya ingin membuat sedikit pembetulan kepada apa yang diulas oleh webmaster. Terdapat 2 perkara yang saya nak pembetulkan di sini iaitu:

1. Adik saya telah dapat tawaran peringkat ijazah dari UTM dan pada masa yang sama dia juga mendapat tawaran dari politeknik peringkat diploma selepas saja menduduki peperiksaan SPM, jadi dari SPM saja dia dapat apply untuk ijazah, tidak memerlukan STPM kerana dia tidak naik ke form 6.

2. Saya bukannya engineer, saya hanya mengatakan saya juga dari engineering people saja. Walau bagaimanapun terima kasih juga kepada Mr. Ray, kalau beliau tidak mencetuskan isu ini, saya rasa kita orang Thai bila lagi kita nak membangkitkan isu pembelajaran yang dihadapi oleh orang Thai di Malaysia ini.

Khas untuk Mr. Ray dalam topik yang saya telah memberi pendapat melalui ruangan ini, kalau ada apa saja yang membuat anda rasa tidak senang hati saya sudi mendengar nasihat atau teguran dari anda.

Pandangan Sdr. Opat Rattanakchot,,, Saya amat tertarik untuk membincangkan lanjut tentang isu Politeknik-Universiti yang dibangkitkan oleh Sdri. Ray. Adalah menjadi kebiasaan bagi seseorang yang menulis sama ada di mana-mana saja mendapat maklumbalas daripada pelbagai pihak tentang perkara yang ditulisnya. Maklum balas tersebut mengukuhkan keadaan bahawa sekurang-kurangnya apa yang ditulis itu ada orang baca.

Berbalik kepada isu Politeknik-Universiti, saya ingin merakamkan terima kasih kepada Dekban dan X-Poli kerana menyatakan pendirian anda. Saya juga agak bersetuju (tetapi tidak 100%) dengan pendapat X-Poli tentang kelulusan dan sistem pembelajaran di politeknik. Saya juga mendapat tahu daripada beberapa kenalan daripada politeknik tentang perkara tersebut. Malah saya sendiri sebelum memasuki universiti juga pernah belajar di sebuah politeknik. Memang diakui bahawa sistem pembelajaran di politeknik adalah lebih berorientasikan pasaran kerja berbanding dengan universiti yang berorientasikan teoritikal (walaupun ada sesetengahnya tidak).

Tentang pendapat yang mengatakan pembelajaran di universiti kononnya sama dengan yang diajar di tingkatan 6 adalah kurang tepat. Saya rasa kenalan yang  X-Poli tanya itu tidak memberikan jawapan yang menggambarkan keadaan sebenar. Sungguhpun begitu, saya akui bahawa memang lulusan universiti ramai menjadi penganggur kehormat. Itu terpulanglah kepada mereka sama ada nak teruskan status itu atau pun tidak.

Akhir sekali, diharapkan semua pihak juga akan turut menyumbangkan pendapat, pendirian dan seumpamanya dalam ruangan ini. Dengan demikian, sekurang-kurangnya kita dapat tahu apa masalah, kekurangan, kelebihan dan cadangan mengatasi sesuatu itu. Adalah lebih ekonomik sekiranya anda dapat bersama-sama menyuarakan pendapat ini daripada berborak-borak dalam ruangan siber.

Dari Mr. Opat, USM.

RUMUSAN

Sawaddee, Ini merupakan kali pertama saya menyertai ruangan ini. Saya ingin menyumbang sedikit pendapat tentang isu U vs Poli yang dibangkitkan oleh Ray. Melalui apa yang saya lihat, saya dapati anda semua ingin menonjolkan diri dan masing-masing tidak mahu mengalah dan menganggap diri lebih baik dari orang lain. Malangnya, anda semua hanya ingin bersaing sesama orang Thai tanpa melihat kemajuan bangsa lain.

Mula-mula kita lihat Ray. Ray merupakan penuntut fakulti kejuruteraan. Katanya beliau boring kerana hanya dia keseorangan sahaja di fakulti tersebut. Saya rasa ramai lagi pelajar Thai di U tersebut (fakulti lain). Apakah pelajar dari berlainan fakulti tidak boleh bercampur? Apa gunanya kewujudan RuamThai. Saya rasa tujuannya ialah untuk merapatkan hubungan antara pelajar Thai di Universiti seluruh Malaysia malah universiti luar negara. Tidak salah untuk Ray merasa bangga kerana dia merupakan pelajar jurutera tunggal di U tersebut tetapi alasannya kurang berasas. Memang wujud ramai orang Thai yang begitu. Dari dulu lagi terdapat golongan Thai yang perasan mereka golongan elit dan hanya bercampur gaul sesama mereka sahaja. Apabila bertemu sesama sendiri tak kira di mana hanya bergaul sesama sendiri dan apabila berbicara menggunakan istilah dan bahasa yang tak boleh difahami oleh orang-orang kampung. Malangnya, apabila mereka sudah hampir pencen dari jawatan mereka atau yang dah hampir putus Haid (bagi perempuan), mereka mula mendekati orang-orang kampung. Tujuannya satu, mereka ingin menjadi pemimpin orang-orang Thai.

Reaksi Ray menyebabkan Dekban kurang puashati. Dekban yang bukan lepasan U mahupun Poli juga boleh memperolehi pendapatan lumayan. Saya setuju. Seorang jurutera lepasan UTM di Kilang Proton belum tentu lebih baik dari Ah Beng yang buka kedai pomen bawah pokok ketapang. Seorang hacker yang tak pernah masuk U adalah jauh lebih baik dari seorang jurutera komputer di sebuah jabatan kerajaan. Tapi Dekban harus faham, organisasi-organisasi besar mahupun kilang-kilang kecil memerlukan jurutera yang bukan sahaja boleh bekerja, tapi harus memiliki sijil/diploma/ijazah yang diiktiraf. Ini kerana pihak insuran tidak akan bertanggungjawap terhadap sebarang kemungkinan jika mereka menggaji jurutera yang tidak bersijil atau bertauliah.

Kenyataan Ray juga telah memanasbarankan X polistudent (XP). XP kata pelajar poli juga adalah terdiri dari mereka yang terbaik (dapat 7-9 A). Tapi XP tidak pula memberitahu yang mendapat SPM gred 3. Anak saudara saya sendiri mendapat Gred 2 (33 agregat aliran sastera) masih dapat masuk poli mengambil Sijil Teknologi Maklumat. Pada tahun 80an dulu abang saya mendapat gred 2, 31 jangankan poli, masuk tingkatan 6 pun tak dapat, terpaksa masuk sekolah swasta ambil STP. XP juga kata ada lulusan U yang lebih tua darinya tapi kerja pangkat lebih rendah darinya di tempat dia bekerja. Saya pasti mereka bukan dari lulusan kejuruteraan. Ini kerana pada pengetahuan saya, pelajar kejuruteraan biasanya mempunyai penaja tersendiri dan biasanya mendapat tawaran kerja semasa menduduki peperiksaan akhir lagi.

Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan yang ramai lulusan U (tak kira apa jurusan) yang masih menganggur. Ini kerana bilangan golongan ini semakin meningkat dari semasa ke semasa. Ini mungkin ada kaitan dengan polisi kerajaan ingin menambahkan bilangan pelajar U hingga mengabaikan kualiti lulusan U itu sendiri. Saya tidak bercakap kosong. Buktinya, beberapa tahun dulu, lepasan STPM harus mendapat sekurang-kurangnya 60 unit untuk layak ke U. Tapi sekarang ada yang dapat 46 unit tapi dapat masuk U (English dan Math SPM 9). Lepasan SPM pula ketika ini ada yang dapat semua A tapi tak dapat masuk U. Ini kerana ketika ini kebanyakan sekolah mendapat kelulusan SPM 100%, Ramai yang dapat A, menyebabkan ada yang terlepas peluang ke U selepas tapisan.

Saya harap adik-adik semua harus juga aktif dalam kegiatan ko-korikulum untuk mendapat merit supaya dapat menyokong permohonan ke U nanti. Kelulusan akademik sahaja belum tentu dapat menjamin tempat ke U. Untuk pengetahuan semua, bagi mendapatkan gred 8 dalam sesuatu mata pelajaran pada peringkat SPM, seseorang hanya perlu mendapat 15% markah sahaja. Ini bererti, dalam kertas yang mempunyai 50 soalan, seseorang hanya perlu menjawab dengan betul 8 soalan sahaja. Anda lulus. Itulah sebabnya sekarang ini kebanyakan sekolah memperolehi kelulusan 100 %. Anda semua boleh tanyakan hal ini kepada mereka yang terlibat dengan pemeriksaan kertas soalan SPM kalau tidak percaya dakwaan saya.

Akhir sekali, pesanan saya, di mana sahaja anda cubalah bergiat aktif dalam sebarang aktiviti yang berfaedah, atau sekiranya anda tekun belajar, dapatkan keputusan cemerlang dan anda harus faham apa yang anda belajar, bukan belajar untuk lulus periksa sahaja dan lulus pun hanya cukup makan sahaja. Pesanan ikhlas dari saya kpd Ray, Dekban, X-Polistudent dan semua kaum Thai: Janganlah bandingkan diri kita dengan mereka yang kurang baik dari kita, tetapi lihatlah kepada mereka yang lebih berjaya dari kita. Nasuan-Engineer koman yang tak pernah tersenarai dalam majalah Ruam Thai sebagai Mereka Yang Telah Berjaya. Dari Nasuan Sathitpraphagym E-mail: [email protected]

Ditulis oleh Manit Sripradit, Sumber: Buku Pelawat Website PBTM Tarikh: 18 Julai 2001 / diubahsuai pada 20 Julai 2001.

on 19-12-02
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.
Hosted by www.Geocities.ws

1