[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

PENJELASAN ISTILAH THAI DAN SIAM

Pihak kami memohon maaf kerana memulakan isu ini. Pihak kami terpaksa melakukannya kerana ada segelintir pemimpin kita fanatik kepada istilah Siam dan mempertikaikan keputusan PBTM menggunakan istilah Thai. Pihak kami dianggap sebagai pendatang, pelancong asing, warga Thailand dan sebagainya. Sebenarnya istilah Siam atau Thai adalah merujuk kepada bangsa yang sama.

Dalam percakapan harian kita (dalam bahasa Thai), kita gunapakai istilah Thai tetapi apabila kita bertutur dalam bahasa Melayu dengan bangsa lain, kita gunapakai istilah Siam. Ini adalah hakikat sebenar yang mesti kita terima. Jangan terlampau fanatik kepada mana-mana istilah tersebut. Kedua-dua istilah tersebut berasal dari Thailand dan jangan anggap orang Siam adalah orang Malaysia dan orang Thai adalah orang Thailand. Taraf warganegara seseorang tertakluk kepada Perlembagaan Negara bukannya penggunaan istilah tersebut.

Punca masalah ini adalah berpunca daripada istilah yang terdapat dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu dengan istilah yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merujuk kepada bangsa kita di Malaysia adalah berbeza. Dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu terdapat istilah Siam. Kebanyakkan masyarakat kita takut mengguna istilah Thai secara terbuka. Mereka khuatir tidak mendapat peluang memiliki Tanah Rizab Melayu dan mereka juga khuatir tanah yang sedia ada ditarik balik oleh kerajaan sekiranya menggunakan istilah Thai. Pada pendapat saya, kita tak perlu khuatir tentang masalah ini. Kerajaan belum mengeluarkan surat secara rasmi mengatakan penggunaan istilah Thai tidak boleh memiliki tanah rizab Melayu. Ini hanyalah andaian kita sahaja, seolah-olah masalah ini wujud.

Satu lagi pendapat, kenapa para pemimpin kita fanatik kepada istilah Siam. Pendapat mereka mengatakan penggunaan istilah Siam boleh membezakan antara warga Thailand dengan masyarakat kita di Malaysia. Sekiranya menggunakan istilah Thai, mereka khuatir peluang dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada masyarakat kita di Malaysia terjejas seperti kelonggaran menyertai Parti UMNO, peluang melabur dalam ASB/ASN dan sebagainya.

Sejak penggunaan komputer dalam proses pengeluaran sijil kelahiran, JPN telah mengkategorikan bangsa kita sebagai bangsa Thais. Sebelum ini (dalam bahasa Inggeris) bangsa kita dikenali sebagai siamese, sekarang ditukarkan kepada   Thais dan digunapakai di peringkat global. Oleh itu, bagi selaras dengan penggunaan ICT di seluruh dunia maka istilah Thais menjadi pilihan JPN. Sebelum ini, kebanyakan sijil kelahiran ditulis dengan tangan dan istilah yang digunapakai ialah Siam. Setelah penggunaan komputer sejak pertengahan tahun 1990-an, istilah Thais digunapakai.

Memang benar dalam kebanyakan sijil kelahiran masyarakat kita tertulis bangsa Siam termasuk sijil kelahiran saya. Sementara sijil kelahiran sekarang dicetak dengan komputer, secara automatik kategori bangsa kita dicetak Thais seperti yang telah diprogramkan dalam komputer. Kita sewajarnya perlu pandang ke hadapan bukannya menoleh ke belakang. Berbagai-bagai masalah akan timbul sekiranya kita fanatik terhadap salah satu istilah tersebut. Lebih-lebih lagi Kad Pengenalan Pelbagaiguna Kerajaan (KPPK) atau MyKad seperti kad kredit akan dilancarkan. MyKad ini mengandungi semua maklumat mengenai biodata pemegang termasuk istilah bangsa kita. Kita mesti menggunakan kedua-dua istilah ini mengikut keadaan dan kesesuaian supaya tidak timbul masalah. Mungkin juga istilah Thais digunapakai oleh Jabatan Perangkaan Negara dalam tugas bancian penduduk tahun 2000 yang lepas. Kalau benar, ini menunjukkan tiada orang Siam yang disenaraikan dalam bancian penduduk Malaysia tahun 2000, hanya orang Thais disenaraikan (sebagai renungan).

Penggunaan nama persatuan seperti Persatuan Siam Malaysia (PSM) dan Persatuan Belia Thai Malaysia (PBTM), tidak menjadi kesalahan. Kedua-dua nama persatuan tersebut telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Walaupun istilah yang digunapakai berbeza, namun ia bukannya menunjukkan masyarakat kita berpecah-belah. Masyarakat kita masih bersatupadu. Lainlah sekiranya satu lagi persatuan yang mewakili masyarakat kita ditubuhkan sebagai contoh Persatuan

Siam Semenanjung (belum ditubuhkan dan tidak akan ditubuhkan). PSM dan PBTM mempunyai prinsip yang berbeza dan wajar dikekalkan demi kemajuan masyarakat kita. Sebagai contoh tidak berlakunya perpecahan, setiap majlis yang dianjurkan oleh PSM, ahli PBTM akan dijemput dan begitu juga sebaliknya. Mesyuarat Perwakilan Dwi Tahunan PSM yang akan diadakan pada 18 Mei ini, semua Ahli Jawatankuasa Pusat PBTM turut dijemput sebagai pemerhati.

Saya harap semua pengunjung lamanweb ini, jelas dengan penjelasan saya ini dan diminta supaya berhenti daripada berdebat mengenai isu ini. Tindakan sedemikian tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada kita. Kita harus bekerjasama memberi pandangan, bagaimana hendak memajukan masyarakat kita yang masih mundur. Kepada para pemimpin masyarakat, jangan terlalu fanatik kepada salah satu istilah bangsa...masyarakat kita sendiri yang akan menjadi mangsa. Kepada anda semua, fikirlah sendiri yang mana sesuai dan yang mana tidak sesuai. Jangan mengkritik orang lain apabila pendirian mereka bercanggah dengan pendirian kita.

Sekian, sawaddee...

-Oleh Manit Sripradit

on 19-12-02
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.
Hosted by www.Geocities.ws

1