RAKYAT KELANTAN BANGKIT
TENTANG KEKOLOTAN
(Sumbangan Shukor Rahman)
TENGKU Razaleigh Hamzah tidak perlu diperkenalkan
dalam arena politik tanah air. Beliau pernah memegang jawatan
Menteri Kewangan (1976-84) dan Menteri Perdagangan dan Industri
(1984-87). Pada pilihan raya umum 1978, Tengku Razaleigh disifatkan
sebagai arkitek UMNO yang menawan Kelantan daripada Pas.
Beliau mewakili kerusi Parlimen Gua Musang (dulu Ulu Kelantan)
sejak tahun 1974 dan berjaya membawa banyak pembangunan di kawasan
tersebut.
Pada pilihan raya umum kali ini beliau akanmempertahankan kerusi itu sekali lagi. Dalam wawancara dengan ASKIAH ADAM, Tengku Razaleigh mahu rakyat Kelantan bangun menen-tang kekolotan yang merugikan. Ikuti pandangan beliau berikutnya.
S: Apakah yang Tengku anggap faktor paling penting dalam kempen pilihan raya kali ini?
J: Saya rasa sudah sampai masanya rakyat Kelantan bangkit dan menentang segala fahaman kolot yang sememangnya merugikan. Jadi peluang yang baik untuk rakyat Kelantan bersatu menentang fahaman ini adalahuntuk memilih Barisan Nasional sekali lagi berkuasa di Kelantan. Tambahan pula perpecahan yang melanda masyarakat kita begitu teruk. Dalam keadaan kita ketinggalan dalam berbagai bidang, kita berpecah pula. Kalau Barisan berkuasa dan sesudah berkuasa Barisan akan menyatukan seluruh rakyat supaya segala keretakan yang menimpa masyarakat di Kelantan ini dapat diperbaiki dan kita akan membina kekuatan yang dilahirkan dengan perpaduan. Jadi inilah perkara yang saya rasa amat penting kerana tanpa perpaduan mungkin kita tidak dapat mengecapi pembangunan yang perlu dilakukan selepas ini.
S: Apakah bentuk pembangunan yang akan Tengku bawa ke Kelantan?
J: Pembangunan ini bukan sahaja pembangunan fizikal atau pun pembangunan material. Pembangunan rohani juga mesti mengimbang pembangunan material. Inilah satu perkara yang perlu dilakukan di Kelantan dan sekiranya kita dapat melakukan ini dengan jayanya, ini dapat menjamin masa depan yang cerah bagi seluruh rakyat di negara ini. Tetapi kalau kita masih berpeluk tubuh dan membiarkan fahaman sempit, fahaman kolot, menguasai kita ia akan memberi jalan kepada golongan (kolot) ini menguasai seluruh alam Malaysia yang sudah tentu akan menggencat (dan) menekan segala kemajuan yang wajib kita capai bersama. Kalau tidak orang Melayu akan merasa tempang kerana sebahagian besar orang Kelantan tidak dapat menikmati kemajuan yang sepatutnya dirasai oleh mereka. Ini problem yang besar kerana kalaulah orang Melayu di Kelantan ini tidak dapat bersama dengan aliran atau arus pembangunan nasional, maka ini menyebabkan orang Melayu sendiri tidak dapat bergerak maju setanding dengan orang lain di peringkat nasional. Kerana orang Melayu berpotensi dan di sini orang Melayu ramai. Jadi jika orang Melayu di sini dikongkong jiwanya dan oleh kerana Pas tidak boleh menjamin fahaman keterbukaan (yang diperlukan), selama-lamanya kita akan ketinggalan.
S: Jadi adakah Tengku berasa telah berjaya menghakis atau mengikis sikap kolot merugikan ini di kalangan pengundi Kelantan setakat ini dalam kempen Tengku, dan golongan manakah yang menjadi sasaran utama Tengku?
J: Saya rasa masih belum berjaya kerana pusat-pusat yang diguna sebagai base untuk penyebaran fahaman ini dikuasai oleh orang-orang yang sememangnya hard-core Pas seperti di pondok-pondok, masjid-masjid di mana imamnya taksub dengan perjua-ngan yang dikatakan perjuangan Islam yang dibawa oleh pemimpin Pas. Dan selagi kita tak dapat mempengaruhi orang-orang ini, pengikut mereka, murid-murid mereka tetap akan sanggup dipengaruhi oleh guru-guru agama setempat mereka.
Apa yang saya cuba lakukan adalah menyekat
pengaruh seumpama ini daripada berleluasa. Dan kalau orang yang
disifatkan sebagai golongan berpengaruh di Kelantan ini dapat
disedarkan bahawa masa depan kita amat berbahaya jika kita (terus)
mengizinkan diri kita dipengaruhi oleh pendapat ini, bukan sahaja
kerana keadaan berpecah-belah (akan berterusan), tetapi (juga)
kita akan semakin mundur.
Oleh kerana Pas mengguna orang-orang ini bagi menjalankan kerja untuk kepentingan parti mereka, jadi tekanan kuat diberi kepada orang seumpama ini. Itu golongan pertama. Nombor dua golongan yang kecewa dengan UMNO kerana tidak dapat tempat dalam UMNO dan telah merajuk dan menyertai Pas. (Dalam golongan) ini orang cerdik pandai pun ada yang cuba hendak bersama dengan UMNO tetapi mungkin kerana closed door policy dalam UMNO atau sengaja dipinggirkan mereka tidak mendapat tempat dalam UMNO. Mereka ini sememangnya boleh memberi sumbangan dalam semua bidang. Jadi kerana itu UMNO kehilangan pengaruh.
Kumpulan ketiga pula, orang yang memikir gerak-geri
sesetengah pemimpin kerajaan mengecewakan. Pada hal apa yang dilakukan
oleh kerajaan boleh dan patut
diterima oleh semua pihak. Tetapi kerana tidak faham apa yang
dilakukan oleh kerajaan, dan ini juga berkaitan dengan apa yang
saya telah katakan tadi, (mereka ini) pun membawa diri dan langsung
menolak golongan yang berkuasa di negara ini.
Itulah dia tiga golongan yang saya rasa boleh
menyulitkan. Tetapi sama ada saya berjaya mempengaruhi mereka
atau tidak ini akan dibuktikan oleh keputusan pilihan raya.
S: Adakah peranan yang dimainkan oleh bekas keahlian Pas yang
sekarang ini menyertai UMNO berkesan,misalnya Profesor Madya Mohd.
Nor Idris, calon UMNO di Pengkalan Chepa?
J: Tentu sekali dia merupakan aset kepada UMNO
terutama mereka yang telah berusaha keras menawan hati pengikut
mereka dan sebab itu mempunyai pengaruh luar
biasa. Ini bermakna dia akan terus laku.
Profesor Mohd. Nor sebenarnya sudah lama tidak begitu aktif dalam arena politik tetapi baru-baru ini dia aktif semula dan kita berterima kasih kepada dia kerana sanggup bersama-sama kita. Kita telah memilih dia sebagai calon untuk menguji kekuatan Pas itu sendiri kerana dia orang dalam Pas dan boleh mengemukakan perkara-perkara dalaman Pas yang kita sebagai orang luar tidak tahu-menahu untuk dipertimbangkan oleh rakyat.
S: Satu kumpulan yang saya nampak sangat tertarik kepada segala kata-kata Tengku adalah kaum wanita. Adakah mungkin Tengku berasa bahawa kaum wanita merupakan kelompok yang harus menjadi sasaran untuk menukar arus haluan fikiran semakin kolot ini?
J: Saya menaruh harapan tinggi kepada kumpulan wanita di Kelantan kerana bukan sahaja mereka telah dipisahkan daripada golongan yang patut diberi perhatian tetapi juga kerana mereka telah dianaktirikan oleh pihak yang telah berkuasa di sini. Mereka pun, dari segi psikologinya, seolah-olah orang yang boleh dicampak ke mana-mana dan tak berguna lagi kepada masyarakat.
Orang perempuan tak mahu kepada perbedaan,
jadi kehadiran kita pada masa ini semata-mata hendak meyakinkan
kumpulan wanita bahawa mereka boleh bergantung kepada kita. Kita
akan berusaha untuk membela nasib mereka supaya mereka tidak
rasa terhina
lagi, mereka tidak akan rasa terbuang. Dan sekiranya kita diberi
mandat kita akan bela nasib mereka dan kita akan letak mereka
di martabat yang sewajarnya.
Saya hendak melatih mereka sehingga mereka menjadi kumpulan yang paling mahir di bidang-bidang yang menjadi pilihan mereka. Dan kita akan tingkatkan mental capacity dan gaya mereka berfikir. Sememangnya mereka ini paling berpotensi dan kita mesti beri peluang kepada mereka. Di mana-mana kita tengok, orang perempuanlah di Kelantan ini yang begitu aktif dan agresif sekarang ini dalam banyak lapangan. Saya rasa sayang sekali kalau kita izinkan Pas terus berkuasa kerana kita tahu Pas tidak akan memberi peluang kepada tenaga manusia yang melebihi 50 per sendi Kelantan ini. Ini merugikan orang Melayu, merugikan Islam, merugikan negara kerana sikap ini menidakkan segala hak perempuan.
S: Memandangkan pendirian Tengku ini, adakah Tengku bercadang untuk mengguna tenaga wanita sebagai pemangkin kepada pembangunan yang Tengku akan membawa kepada Kelantan jika BN diberi mandat memerintah semula?
J: Jawabnya mudah sahaja. Ya! ... asalkan penglibatan wanita itu setimpal dengan kebolehannya dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak bertentangan dengan budaya kita. Tak ada... tak ada halangan... saya akan guna sepenuhnya.
S: Antara isu yang diperjuangkan oleh kumpulan wanita adalah penyertaan wanita di tahap paling tinggi iaitu sebagai pemimpin di bidang politik, korporat dan pentadbiran negara. Cara yang dilaung-laungkan oleh aktivis wanita adalah sistem kuota atau affirmative action. Adakah Tengku berpendapat sistem ini dapat membawa kesan baik kepada negeri Kelantan?
J: Tidak perlu kepada kuota. Siapa yang layak patut diberi peluang dan apa yang ada sekarang adalah akibat prejudis semata-mata. Saya rasa di mana-mana kita lihat di Malaysia sekarang peluang memang sedia terbuka, dari segi persekolahan, dari segi kerja... yang tinggal lagi (adalah) prejudis sesetengah orang yang berkuasa yang tidak mahu memberi wanita naik. Tetapi saya rasa lama kelamaan prejudis itu akan hilang apabila orang sebegini sedar yang ini adalah sikap sempit yang berpandangan singkat. Kita akan membuka peluang ini asalkan tidak bertentangan dengan agama kita.
S: Jumlah ibu tunggal dan kepala keluarga wanita di Kelantan lebih tinggi daripada di negeri-negeri lain oleh sebab penghijrahan keluar lelaki mencari kerja. Apakah langkah-langkah jangka pendek yang Tengku akan lakukan untuk menentukan peningkatan taraf hidup golongan ini?
J: Dengan fahaman terbuka yang kita akan guna
untuk membangunkan negeri ini sememangnya ibu tunggal atau ibu
tidak tunggal sekali pun akan mendapat tempat sewajarnya. Jadi
apa yang kita mesti lakukan adalah menjana ekonomi kita dengan
berbagai aktiviti.