MEMERANGI MUSUH BANGSA

Pilihan raya umum akan datang akan menjadi pilihan raya yang paling dramatik dalam sejarah Malaysia. Ia adalah satu perjuangan rakyat untuk menentang kejahatan-kejahatan Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang yang bersekutu dengannya.

Marilah kita jadikan pilihan raya itu satu pertempuran di antara segenap penjuru Malaysia menentang seorang pemimpin tidak bermoral dan pengikut-pengikutnya yang sanggup menggadaikan negara ini kepada orang asing dan menyaksikan ia berpecah semata-mata kerana gila kepada kuasa.
Pilihan raya itu akan menjadi medan untuk rakyat bersatu bersama Barisan Nasional dan berusaha bersama para pemimpin UMNO bagi menghalang Malaysia daripada terjerumus ke tangan orang-orang yang tidak boleh dipercayai, hipokrit, tidak kompeten dan kumpulan yang akan meranapkan kemakmuran yang telah kita bina.

Kepura-puraan adalah topeng yang menutup wajah sebenar Anwar dan para pemimpin pembangkang. Pada muka Lim Kit Siang ada lapisan cauvinis, pada wajah Nik Aziz Nik Mat, Fadzil Noor dan Harun Din terdapat belang-belang kehitaman si pengeksploit agama. Pada Wan Azizah Ismail ada wajah isteri yang kecewa. Membenarkan mereka berkuasa adalah tanda-tanda permulaan kejatuhan bangsa kita.

Kita berhutang negara ini kepada jiwa raga anak-anak kita. Jangan kita biarkan masa depan anak-anak kita berada pada tangan orang-orang yang salah. Jangan kita lepaskan nyawa bangsa kita pada gerombolan yang memecah-mecahkan.
Memastikan masa depan anak-anak terjamin adalah satu amanah. Ia adalah satu tugas yang maha berat yang terpikul pada bahu semua rakyat Malaysia. Ini adalah tanggungjawab. Jika kita lupa ini, anak-anak kita akan berdepan dengan kecelakaan politik.

Marilah kita bersihkan hati kita, jelaskan kekusutan fikiran kita dan luruskan perjalanan politik kita. Marilah kita bakar fitnah-fitnah. Marilah kita tunjukkan kepada Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Nik Aziz Nik Mat dan sekutu-sekutu mereka bahawa cinta kita kepada Malaysia adalah lebih besar daripada pembohongan dan janji-janji mereka.

Pemimpin seperti Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tidak akan selamanya berada bersama kita. Ingatlah hakikat itu. Anak-anak kita yang bakal mewarisi tanah tumpah darah inilah yang terpaksa meneruskan kehidupan. Sama ada mereka Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban atau Kadazan, mereka tiada tanah air lain.

Demi untuk mereka, marilah kita menyokong kestabilan di negara tumpah darah kita ini.

Kembali ke laman Inspirasi Isu 2

Kembali ke laman Penerbitan Khas

Kembali ke laman utama

Hosted by www.Geocities.ws

1