![]()
BUMIPUTERA BERGANTUNG PADA PROGRAM KERAJAAN
Masyarakat Melayu-Islam di Malaysia terhutang
budi kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Komitmen kerajaan kepada
dasar itu telah menghasilkan langkah-langkah efektif yang telah
mengubah rupa bentuk masyarakat di negara ini.
Pendapatan purata isi rumah Bumiputera misalnya
telah meningkat 10.2 peratus setahun daripada RM940 pada tahun
1990 kepada RM2,038 pada tahun 1997.
Pendapatan isi rumah bukan Bumiputera adalah
lebih tinggi.
Pada tahun 1990, pendapatan isi rumah bukan Bumiputera ialah RM1,513,
meningkat kepada RM3,483 pada tahun 1997.
Statistik itu menunjukkan dalam tempoh tujuh tahun pertama dekad
90-an, Malaysia telah berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah
penduduk negara ini sebanyak sekali ganda.
Menurut satu laporan yang disediakan oleh kerajaan
sempena Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat pada bulan September
lalu, kecenderungan menabung Bumiputera masih rendah berbanding
bukan Bumiputera.
Laporan itu menyebut bahawa cabaran terbesar orang Melayu-Islam
ialah bagaimana untuk mengorak langkah baru selepas kita berjaya
keluar daripada kemelesetan ekonomi yang bermula pada tahun 1997.
Analisis kesan-kesan kemelesetan ekonomi menunjukkan kegawatan
lebih dirasai oleh Bumiputera. Berikut ialah beberapa petunjuk
berkaitan:
l Nilai pasaran pegangan ekuiti Bumiputera di Bursa Saham Kuala
Lumpur (BSKL) berkurangan 54 peratus berbanding dengan bukan Bumiputera
sebanyak 50 peratus dan pelabur asing 47 peratus. Ini menyebabkan
hakmilik saham Bumiputera jatuh daripada 29 peratus pada Jun 1997
kepada 27 peratus pada Februari 1998.
* Bumiputera terpaksa melepaskan kepentingan
pelaburan kerana kemelesetan ekonomi. Nilai penjualan semula bersih
saham Bumiputera melalui FIC ialah RM144.6 juta pada tahun 1998
dan sehingga bulan Mei 1999, saham-saham bernilai RM400 juta terpaksa
dijual.
Dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat, kongres itu mengenal
pasti beberapa faktor Bumiputera ketinggalan dalam bidang ekonomi.
Antaranya kerana golongan Bumiputera paling lewat menyertai sektor
ekonomi negara.
Ini menyebabkan Bumiputera menghadapi pelbagai kekurangan dan
halangan untuk bertapak terutama dalam bidang pembuatan, pembinaan
dan kejuruteraan. Bilangan dalam industri teknologi tinggi juga
kecil.
Kemajuan usahawan-usahawan Bumiputera bergantung kepada bantuan
dan program kerajaan. Usahawan Bumiputera didapati masih memerlukan
kepada alat-alat dasar daripada kerajaan.
Sifat terlalu bergantung kepada kerajaan, seperti
untuk mendapatkan tender-tender kerajaan masih menjadi agenda
utama mereka. Ini disebabkan beberapa kelemahan seperti:
* Masih kurang pengalaman yang berkaitan dengan
keperluan kemahiran teknikal dan pengurusan dalam sektor yang
mereka ceburi.
* Kekurangan modal terutamanya disebabkan oleh kesukaran mendapatkan
pinjaman daripada institusi kewangan.
* Kesukaran menerokai pasaran akibat saingan daripada syarikat-syarikat
yang sudah lama bertapak.
* Sukar untuk memiliki premis perniagaan yang strategik terutama
di kawasan-kawasan bandar.
* Sikap ingin cepat kaya tanpa bekerja lebih lama. Sifat ini membantut
pertumbuhan daya tahan di kalangan Bumiputera.
Walaupun sudah ada tanda-tanda perubahan dari segi sikap dan nilai
terhadap perdagangan dan perindustrian tetapi darjah perubahan
sehingga kini belum memadai.
Proses perubahan adalah lambat berbanding dengan
perubahan persekitaran. Ini membantut keupayaan Bumiputera untuk
terlibat dan menguasai bidang-bidang ekonomi secara sinifikan.
Sumber: Kertas kerja Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Dr. Samsudin Hitam. Kertas kerja itu dibentangkan
dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat (KEB4) di Kuala Lumpur
pada 10-11 September 1999.
Kembali ke laman Inspirasi Isu1