|
LELAKI PEMIMPIN WANITA
...............
Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah
pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita
bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala
kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau
sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia
ini sepanjang zaman. Dalam ayat lain pula Allah berfirman,
bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api
neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi
ketua sesebuah keluarga.
Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan
ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum.
Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang
dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga
si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak
sebaliknya dipelihara oleh orang gaji.
Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah
sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan
tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu.
Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika
itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh
anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu.
Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah
tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang
kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.
Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita
tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak
berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya.
Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak
gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja.
Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji
lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan
dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor,
jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang
ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara
di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan
sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan.
Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam
berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita
melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja.
Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan
menyebabkan berlakunya pengangguran di kalangan kaum lelaki.
Mereka akhirnya terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Wanita
bekerja terutama yang berpendapatan tinggi bertambah ramai yang
hidup membujang. Pemuda yang menganggur sukar mencari wang
untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala keruntuhan
akhlak di kalangan muda-mudi.
Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak
yang berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang
berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai
ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya. Sebagai penutup
sayugianya kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan
martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan untuk memimpin
ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya. Wallahualam.
|