FITNAH WANITA
Allah telah menentukan bahawa ada perkara tertentu yang menarik
perhatian di antara lelaki dan wanita. Dan untuk itu, Allah juga
yang mengatur bentuk hubungan yang perlu dilakukan, agar di
antara mereka tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini.
Walaupun demikian, ramai juga manusia yang melanggar batas-batas
tersebut sehingga mereka tertunduk malu kerana keterlanjuran
yang mereka lakukan. Lelaki yang tidak mampu mengawal dirinya
daripada daya tarik yang ada pada wanita, pasti mudah untuk
melakukan perkara-perkara yang menjadi larangan Allah Taala.
Apabila membicarakan tentang fitnah wanita, bukan bermakna
wanita itu jahat dan sukakan keburukan. Tetapi apa yang
dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki
lupa daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan
berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini. Ini sudah pasti
apabila lelaki yang berkenaan tidak berhati-hati. Bagaikan
binatang ternak yang memakan rumput berdekatan dengan padang
larangan, adalah mudah bagi binatang itu memasuki kawasan
tersebut.
Fitnah ini boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu sebelum kedua
jenis ini berkahwin dan ketika atau selepas lelaki dan wanita
ini bernikah. Sebelum bernikah, Islam menentukan adanya mahram
dan yang bukan mahram. Antara lain, adalah untuk memudahkan
manusia mengetahui orang yang dibolehkan mereka berhubung atau
bergaul secara bebas dan yang tidak boleh berbuat demikian.
Perlanggaran pada ketentuan ini akan mengakibatkan perkara
mungkar yang berlaku.
Kebiasaannya manusia melakukan sesuatu yang tidak baik secara
berperingkat-peringkat sesuai dengan bentuk kemungkaran itu.
Bermula dari dosa kecil seperti melihat, bercakap-cakap
(berdua-duaan), berpegangan dan bersentuhan kulit dan akhirnya
melakukan dosa besar. Orang yang berzina sebenarnya tidak ada
harganya di sisi Allah, kecualilah dia bertaubat. Mengatasi
masalah zina tidak dapat diatasi hanya dengan menyediakan
rumah-rumah kebajikan bagi mereka yang telah terlanjur. Apa yang
utama ialah memberi kefahaman kepada mereka tentang panduan
agama dalam masalah ini dan dalam masalah kehidupan yang lain.
Islam dalam masalah ini, memperuntukkan hukuman yang berat
kepada penzina, kerana mereka telah bersungguh-sungguh untuk
memulakannya.
Setelah berkahwin pula, seorang suami kadangkala tidak berupaya
memimpin dengan baik dan sempurna. Ketenangan yang sepatut
dikecapi semasa bernikah, hanya menjadi impian kosong. Bernikah
dengan wanita pilihan hati rupanya tidak seindah namanya.
Sebabnya ialah proses dan matlamat perkahwinan tidak menjejaki
apa yang telah digariskan oleh Allah. Kecantikan yang menjadi
dasar pilihan itu rupanya bagaikan memetik mawar yang berduri
yang tidak ada wanginya yang harum.
"Hai orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu
dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka
berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan
dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ." (At-Taghaabun : 14)
Keadaan ini sebenar bukan suatu yang merendah-rendahkan wanita.
Andaikata mereka mendapat pendidikan yang baik serta memahami
tuntutan agama dalam perkara-perkara yang dihadapi, mereka
justeru menjadi pendorong yang digigih. Sesuai dengan kejadian
mereka seumpama daripada tulang rusuk yang bengkuk, kepemimpinan
yang baik daripada pihak lelaki akan mampu membawa mereka ke
jalan yang lurus.
Jika demikian gambaran keadaan fitnah yang dihadapi melalui
wanita, tentu lebih hebat keadaannya bilamana wanita itu aktif
dalam perkara-perkara sumbang. Kalau dalam masjid dan dalam
rumah tangga keadaan boleh menjadi tidak tenteram kerana kurang
fahamnya wanita terhadap sesuatu, tentulah lebih mencabar
jikalau keadan ini digiatkan bila berada di luar masjid dan
rumahtangga.
Rasulullah saw pernah memberi pesanan kepada para sahabat
baginda yang selalu duduk-duduk ditepi jalan agar menjaga
hak-hak jalan, iaitu menjaga pandangan, tidak mengganggu orang
yang lalu, menjawab salam serta melakukan pencegahan maksiat.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Said al-Khudry). Ini
bermakna, setiap anggota masyarakat akan menerima akibatnya
apabila suasana maksiat disuburkan khususnya melalui
wanita-wanita jahat.
Tercatit dalam sejarah Islam, bahawa ayat 1-2 Surah at-Tahrim
turun disebabkan angkara isteri-isteri baginda. Ketika baginda
habis meminum madu di rumah isteri baginda Saudah, dia berkata
bahawa ada bau yang busuk. Begitu juga ketika baginda selesai
meminum madu di rumah Aisyah, dia diberitahu bahawa ada bau yang
busuk. Lalu Rasulullah saw kerana untuk menjaga hati isterinya
telah berjanji untuk tidak meminum madu lagi. Allah lalu
menurunkan firman Nya :
"Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan
bagimu, kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri kamu?"
(at-Tahrim :1)
Perlu ditegaskan bahawa fitnah wanita tidak selalunya datang
dari arah wanita itu sendiri. Bahkan selalunya godaan nafsu
dalamlah yang menjadi pendorong bagi lelaki untuk mendekati
wanita dan melakukan maksiat. Oleh kerana itu, wanita atau
isteri bukanlah musuh yang sebenarnya yang perlu dijauhi.
Perlakuan yang berlaku adalah antara dua jenis ini adalah
gambaran umum tentang bentuk perhubungan yang diwujudkan.
Apabila masing-masingnya memberi perhatian yang wajar untuk
sama-sama membina kebahagiaan, maka mereka akan mengecapinya
dengan sempurna.
Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda :
"Sesempurna iman seseorang ialah yang paling baik budi
pekertinya,dan sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pergaulannya
terhadap isterinya." (Riwayat Tirmizi)
Dan dalam sebuah hadis dari Abdullah bin Amru al-Ash, bahawa
Rasulullah bersabda : "Dunia ini adalah perhiasan dan
sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Riwayat
Muslim)
Penegasan Islam tentang keadaan wanita dan potensi mereka untuk
samada membangunkan atau meruntuhkan umat adalah suatu kenyataan
yang perlu catitan semua pihak. Mereka perlukan bimbingan dan
pimpinan yang baik.
|