|
AKHLAK MUSLIM
"Jagalah dirimu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda
menjadi manusia yang paling 'abid, dan terimalah dengan penuh
kerelaan akan pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada
anda nescaya anda akan menjadi manusia yang paling kaya,
berbudilah kepada jiran anda, nescaya anda menjadi mu'min yang
sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai anda
untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi
seorang muslim yang sebenar, dan janganlah
banyak ketawa kerana banyak ketawa itu akan mematikan hati.
(diriwayatkan
oleh Imam Ahmad dari abu Hurairah)
Tujuannya :
Dalam hadis
ini dibentang kepada kita beberapa garis panduan akhlak muslim
yang kita perlu hayati dan laksanakan dalam kehidupan agar dapat
satu bentuk hidup yang luhur, yang penuh kedamaian dan
kesejahteraan.
1. Menjauhi
perkara-perkara yang diharamkan
Untuk mencapai
darjat para muttakim, siddiqin, a'bidin dan solihin, seseorang
itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari
terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan haram seperti
makanan, minuman, perbuatan, tutur kata, .pendengaran,
penglihatan dan tindakan.
Usaha bagi
menghindari perkara-perkara ini amatlah rumit kerana ia biasanya
begitu hebat mempersonakan keinginan dan kecenderungan hati.
2. Relakan
pengurniaan dari Allah
Untuk mencapai
ketenteraman jiwa, seseorang muslim itu haruslah membentuk
sifat-sifat qanaah(berpada) sifat tidak tamak dan haloba dalam
memenuhi keperluan hidup apabila ia merasa cukup dan rela serta
bersyukur maka ia merasa dirinya selaku orang yang paling kaya
didunia.
3. Hubungan
baik dengan jiran
Untuk mencapai
ketenteraman sosial setiap Muslim haruslah menjalankan hubungan
yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah
kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli
keluarga yang lain.
4. Cintakan
orang lain
Islam adalah
agama kasih sayang dan damai dari kekusutan hidup. Oleh itu
setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih sayang terhadap orang
lain sama dengan perasaan kasih terhadap dirinya sendiri. Apa
yang tidak disukainya berlaku kepada dirinya harus pula tidak
disukainya berlaku pada orang lain.
5. Jangan
banyak ketawa
Ketawa pernah
disifatkan sebagai "ubat jiwa". Akan tetapi sesuatu ubat akan
berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan
seseorang itu tidak serius dalam kerja dan kehidupannya dan
membuatkan hati nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya
tidak tajam dengan banyak ketawa. Barangsiapa banyak ketawa
didunia dia akan menangis di akhirat dan barangsiapa menangis di
dunia dia akan ketawa di akhirat.
.............................
|