|
6 TIPS
'JANGAN'
BAGI PEMIMPIN
Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz seringkali menangis di malam hari
sepanjang tempoh beliau menjadi khalifah. Apabila khadamnya
bertanyakan hal tersebut beliau menjawab, "Bukan engkau yang
akan berhadapan dengan Tuhan di Akhirat kelak. Seluruh anggota
tubuh serta apa sahaja yang menjadi milikku, Tuhan akan
perhitungkan. Itu pun belum tentu aku akan selamat. Betapalah
kini seluruh urusan umat tertanggung di atas bahu aku."
Begitulah sikap pemimpin yang bertaqwa. Taqwa itulah kelayakan
paling utama sebagai pemimpin. Taqwa itulah modal utama beliau
melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan benar-benar
tepat menurut kehendak Allah SWT dan RasulNya. Bermodalkan taqwa
itulah maka beliau memiliki anugerah Allah SWT yang sangat
mahal. Anugerah itu disebut oleh Allah SWT di dalam Al Quran
dengan maksudnya:
"Dengan sebab merekalah maka orang lain dibantu. "
"Dengan sebab merekalah maka orang lain diberi rezeki. "
Ertinya bukan terhenti pada dirinya saja dibantu oleh Tuhan
dalam segala urusan, malah orang lain turut mendapat rahmat,
bantuan dan pertolongan dari Tuhan.
Selepas era salafussoleh, persoalan taqwa sudah tersisih dari
kehidupan para pemimpin. Tamadun manusia semakin berkembang
tetapi kepentingan taqwa dalam kepimpinan semakin tidak
dipedulikan. Apabila keadaan demikian terjadi, pemimpin semakin
renggang dari Tuhan, semakin jauh dari Rasulullah SAW. Akibatnya
syariat semakin terbarai dan semakin rosak, kasih sayang semakin
pupus. Masyarakat sudah tidak terdidik. Sudah tidak lagi
terbangun insaniah, dalam ertikata tidak lagi memiliki rasa
kehambaan dan rasa bertuhan.
Di zaman salafussoleh di mana tamadun rohani masih tinggi,
masyarakatnya rata-rata masih baik, mereka amat takut dengan
jawatan dan pangkat khususnya dalam kepimpinan umat. Sesiapa
yang berada di tampok kepimpinan, merekalah yang paling cemas
dan bimbang. Merekalah yang sentiasa kecut hati berhadapan
dengan keagungan dan kebesaran Tuhan. Kebesaran Tuhan itu
benar-benar menjadikan hati mereka sentiasa bergelombang dengan
ketakutan. Takut, kerana Maha Besarnya Tuhan itu dengan segala
sifat 'Maha'-Nya boleh memusnahkan alam semesta ini dengan
sekelip mata saja. Sama saja di sisi Tuhan dalam hendak
menjadikan seluruh alam ini dengan berkata, "Jadilah!", maka
terjadilah segala-galanya.
Keadaan kepimpinan di zaman salafussoleh itu sudah tidak terjadi
lagi di zaman di mana masyarakat serba rosak ini kepimpinan
sudah menjadi idaman dan sebutan. Rata-rata golongan yang sangat
'ambitious' kepada kepimpinan itu sudah tidak lagi merasa takut
kepada kebesaran Tuhan. Sudah tidak mempedulikan soal Hari
Perhitungan. Sudah melupai akan risiko dan beban berat yang
bakal ditanggung. Kepimpinan sudah menjadi lubuk kesenangan,
kemewahan dan populariti. Keinginan duniawi sangat jelas
terbukti di kalangan pemimpin itu sendiri yang kepentingan diri,
keluarga dan suku-sakatlah yang sangat diutamakan berbanding
khidmat menyelesai dan memenuhi urusan masyarakat.
Sebagai pemimpin, Tuhan menjanjikan ganjaran yang amat istimewa
seperti disebut oleh Rasulullah SAW dengan maksud, tujuh
golongan yang memperolehi naungan Arasy, yang salah satu dari
tujuh golongan tersebut ialah pemimpin yang adil. Dalam
keterangan Hadis yang lain, Rasulullah ada menyebut dengan
maksud bahawa keadilan sesaat menyamai ibadah enam puluh tahun.
Berdasarkan keterangan Hadis tersebut, terlalu besar perhatian
Tuhan terhadap golongan pemimpin. Namun di atas keistimewaan itu
perlu diingat bahawa bukan mudah untuk mencapainya.
Syarat-syarat yang perlu dipenuhi amat ketat. Betapa besarnya
janji Tuhan bagi mereka yang berjaya, begitulah juga berat dan
keras pula ancaman Tuhan bagi mereka yang gagal dalam
kepimpinan.
Banyak perkara jangan yang mesti dihindari oleh para pemimpin.
Perkara-perkara 'jangan' itu tidaklah dipandang berat oleh Allah
SWT andainya dilakukan oleh masyarakat biasa atau rakyat jelata.
Dengan kata lain, adalah amat cacat sekiranya perkara-perkara
ini dibuat oleh para pemimpin. Di kalangan masyarakat yang
bertaqwa, pemimpin tidak punya apa-apa keistimewaan malah mereka
terpaksa mencapai kedudukan: �kebajikan bagi orang-orang abrar
itu (orang soleh) itu merupakan dosa bagi orang mugarrabin(orang
yang dekat dengan Tuhan)."
Sebab itulah perkara-perkara 'jangan' bagi pemimpin mesti dijaga
agar kedudukannya terus kekal berbeza dengan rakyat biasa.
Antara perkara-perkara jangan itu ialah:
PERTAMA:
Pemimpin jangan dengan mudah merasa selamat. Di hadapan rakyat,
seorang pemimpin itu sentiasa diperhatikan kerana pemimpin itu
adalah tempat rujukan dan ikutan rakyat. Manakala di sisi Allah
SWT pula, bukan saja manusia, terabai tanggungjawab terhadap
haiwan pun memungkinkan dipersoalkan oleh Allah SWT.
Rasa selamat itu ertinya sudah lupusnya rasa kehambaan.
Sedangkan seorang hamba itu, hendaklah sentiasa merasai berdosa
walaupun dalam keadaan tidak berdosa. Betapalah kalau memang
berdosa. Mengekalkan rasa kehambaan yang mendalam itulah yang
mendorong seorang pemimpin sentiasa merintih dan mengadu kepada
Tuhannya agar sentiasa memberi petunjuk dan pimpinan.
Rasa kehambaan juga menjadikan seorang pemimpin itu sentiasa
bertaubat memohon keampunan. Taubat itu pula merupakan salah
satu saluran bantuan Allah SWT. Selain itu, yang lebih penting
ialah seorang pemimpin bertanggungjawab membawa manusia kepada
Tuhan. Membawa manusia merasai rasa kehambaan dan rasa bertuhan.
Tanggungjawab atau peranan itu tidak akan berkesan kecuali
pemimpin itu sendiri memiliki rasa kehambaan dan rasa bertuhan.
KEDUA:
Pemimpin jangan tercabar dengan sebarang kritikan. Anggaplah
sebarang kritikan umpama ada orang yang memberitahu bahawa dalam
baju kita ada lipan. Sekalipun pemimpin tidak bersalah,
terimalah lebih dahulu sebarang kritikan. Wibawa seorang
pemimpin akan jatuh sekiranya awal-awal lagi sudah memberi
reaksi sembrono, gopoh dan melenting.
KETIGA:
Pemimpin jangan mudah merajuk. Sedari dan fahamilah bahawa
masalah manusia tidak akan selesai dunia Akhirat. Bertambah
tidak selesai, bertambah kusut dan buntu andainya pemimpin
membawa diri kerana merajuk. Masalah akan terus terbiar
sekiranya pemimpin memilih untuk lari dari masalah.
KEEMPAT:
Pemimpin jangan menutup pintu perbincangan, muzakarah atau
berkongsi idea, buah fikiran dan pandangan. jangan sekali-kali
bersikap tidak menerima perbezaan pendapat, jangan timbul rasa
tidak senang terhadap mereka yang memberi pendapat yang
bertentangan. Lebih-lebih lagi pantang sama sekali seorang
pemimpin itu mencari jalan menghapuskan mereka yang tidak
sependapat, ertinya menyama-tarafkan mereka sebagai musuh.
KELIMA:
Pemimpin jangan suka diampu. Sikap begini akan menjadikan
seseorang pemimpin itu di kelilingi oleh pengampu. Pengampu
bukan bererti penyokong dan pengampu juga seringkali tidak
jujur. Mereka mempunyai muslihat untuk kepentingan diri. Laporan
dari para pengampu ini seringkali kurang tepat. Sekiranyaseorang
pemimpin itu membuat keputusan dan bertindak atas laporan tidak
tepat dari puak pengampu maka akan timbul berbagai fitnah di
dalam masyarakat.
KEENAM:
Pemimpin jangan hanya bersedia terhadap orang atau sesuatu
keadaan yang menyenangkan saja, yakni kalau tidak selesa mudah
menarik muka dan menarik diri. Kalau tidak sesuai dengan selera
dan keselesaan diri maka ditolaknya. Pemimpin yang bersikap
begini adalah pemimpin yang lemah, yang tidak berupaya
menanggung risiko. Kalau pemimpin tidak mahu mengambil risiko,
betapalah rakyat biasa.
Mana-mana pemimpin yang ada pada dirinya perkara-perkara yang
tersebut di atas maka dia adalah pemimpin yang ego dan tidak
memenuhi syarat sebagai seorang pemimpin. Pemimpin yang begini
pasti tidak mendapat pertolongan Tlihan dalam urusan
kepimpinannya. Ini kerana dia tidak menghayati tugas dan peranan
pemimpin.
Seorang pemimpin itu mestilah dengan penuh sedar bahawa
tanggungjawab dan amanah Allah itu hendaklah dilaksanakan dengan
sebaik mungkin. Dalam melaksanakan urusan kepimpinan itu Tuhan
mahu melihat sejauh mana kesabaran dan pergantungan kita kepada
Tuhan. Manakala kejayaan dalam urusan itu terserah kepada Allah
SWT. Terdapat contoh sejarah di kalangan para rasul yang Tuhan
tegur lantaran sikap kurang sabar, merajuk dan kurang bergantung
kepada Tuhan.Contohnya, ialah Nabi Yunus a.s. Sedikit sikap
merajuk atau kurang sabar Nabi Yunus itu bukanlah sampai
terjatuh ke tahap dosa. Hanya sedikit rasa kurang selesa dengan
kaumnya yang degil dan menyanggah seruannya. Lantaran itulah
maka Nabi Yunus a.s. ditegur oleh Allah SWT. Teguran Tuhan itu
didatangkan dalam bentuk Allah timpakan kesusahan kepada Nabi
Yunus yang mana beliau ditelan oleh ikan. Kejadian itu menyedar
dan menginsafkan Nabi Yunus. Lantas Nabi Yunus bertaubat tidak
putus-putus.
Apabila taubat Nabi Yunus itu diterima dan Nabi Yunus kembali
berserah kepada Tuhan, maka Tuhan keluarkan beliau dari perut
ikan tersebut. Sewaktu kaumnya menemui Nabi Yunus terdampar di
sebuah pantai, keadaan tubuhnya amatlah lemah. Kaumnya menerima
Nabi Yunus dan memulihkannya. Kaumnya telah mengalami perubahan
yang amat ketara. Perubahan kaum Nabi Yunus itu berlaku ketika
Nabi Yunus masih berada di dalam perut ikan. Ertinya perubahan
yang berlaku itu tanpa diusahakan oleh Nabi Yunus, dan tanpa
sebarang penentangan.
Iktibar penting dari peristiwa Nabi Yunus dengan kaumnya itu
ialah betapa sedikit saja tersilapnya seorang pemimpin maka
Allah datangkan kifarah atau denda sebagai penebus dosa. Dan
apabila seorang pemimpin itu bersungguh-sungguh membaiki diri,
mendekatkan diri kepada Tuhan, bertaubat, memohon ampun,
merintih, merayu dan menyerah diri kepada Tuhan; tanpa
diusahakan, Tuhan jadikan masyarakat berubah, betapalah kalau
disertakan dengan usaha. Adakalanya kedegilan umat, ingkarnya
umat, keras kepada, tidak mahu patuh, itu adalah merupakan
signal dari Tuhan bahawa pemimpin itulah yang sangat perlu
membaiki dirinya. Apabila 'Whan sudi memandang dirinya maka
Tuhanlah yang berhak menunaikan janjiNya melalui Tuhan lakukan
perubahan kepada masyarakat.
......................
|