|
5 PERKARA ELOK
DISEBUT
5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi
kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi
Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang
kelima-lima perkara ini iaitu:
1) Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji
orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita
terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah
berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan
menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit
kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan
kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita
dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah
hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini
hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
2) Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di
dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa
kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat
dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan
kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya
orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD)
hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik
ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham
Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah
Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum
malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu
perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul
keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
3) Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada
hal-hal kehidupan
Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi
jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati
adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi
diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan
yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat
banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia
ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia
ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan
ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah
terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat
sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang
jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil
dan bergelumang dengan dosa?
4). Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan
menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa
mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita
lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat
amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu
macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa
bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah
menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini
ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang
kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga
diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai
sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu
unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati
supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita
kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik
yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah
yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada
Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada
mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang
mengurniakan kebaikan itu.
5). Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau
keburukan diri orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu
menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan
orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga
terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak
kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di
depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat
kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki
kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak
betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri
tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu
jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri
kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita
lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita
melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain.
Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak
rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu
dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu
kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak
kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula,
lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah
berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan
syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk
menjerumuskan kita ke dalam api neraka.
Demikian tazkirah minggu ini. Semoga 5 perkara yang disebutkan
di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita
seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan
Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin..
.......................
|