| Ismail Haron Kembali 1 | kembali ke laman utama |


BERSESAK-SESAK NAK TENGOK ISMAIL HARON oleh Cyberita Singapura 23 Mei 2003

MELIHAT ribuan orang yang bersesak-sesak di pentas Singapore Expo Dewan 6A sehingga hampir tiada ruang untuk bergerak, hati tertanya-tanya mereka datang kerana siapa? Kerana diva Sharifah Aini atau lebih untuk melihat penyanyi yang telah begitu lama menghilangkan diri, tetapi baru pulang ke tanah air, Ismail Haron.

Ramai yang mengakui datang untuk melihat 'kedua-dua' penyanyi popular itu, tetapi ada juga yang mahu melihat 'macam mana keadaan Ismail Haron sekarang'. Masih boleh menyanyi ke dia? Menurut penganjur, lebih 8,000 orang pengunjung membanjiri dewan itu Sabtu lalu dengan sebahagian besar daripadanya datang untuk menonton konsert.

Apa pun, kehadiran mereka di konsert Sabtu malam lalu sempena Pameran Perdana Ekspo Perdagangan Asia dan Fiesta Makanan Halal, Pameran Ibu dan Anak anjuran RI Art International dan E-Ventions International tidak mengecewakan.

Sementara Kak Pah yang kelihatan anggun dengan jubah hitam dan tetap menghiburkan ketika membawa lagu-lagu malar segarnya seperti Bunga Tanjung dan Norul'Ein, Ismail pula menghilangkan rindu peminatnya apabila beliau mengalunkan suaranya sedikit biarpun mulanya beliau menegaskan kepada penganjur bahawa beliau tidak mahu menyanyi.

Biar sedikit, tetapi apabila Ismail menyanyikan sedikit sedutan beberapa lagu popularnya termasuk Ilham Pujangga, ternyata gegaran vokalnya masih bertenaga.

'Saya begitu gembira kerana dapat berada di pentas ini untuk bertemu anda semua. Saya pulang kerana cukup rindu dengan Singapura,' kata Ismail, 56 tahun, yang kelihatan agak gugup berada di tengah-tengah dewan penuh sesak itu. Beliau bahkan sempat ke bilik air sebelum naik ke pentas.

Apabila ditemui kemudian, Ismail menjelaskan beliau tidak dapat menyanyi sepenuhnya kerana sudah terikat dengan kontrak rakaman album baru nanti.

| Ismail Haron Kembali 1 | kembali ke laman utama |

Hosted by www.Geocities.ws

1