Zulkifli Chew - Budaya tradisi tetap dipegang

Bapa Prihatin

Oleh Ruhaidini Abd. Kadir


``SAYA berazam menyatukan masyarakat Islam, hidup aman dan damai di sini dan saling menghormati,'' kata Zulkifli Chew Abdullah bersungguh-sungguh.

Waktu ditemui pada satu majlis kesyukuran yang berlangsung di Masjid Hepburn Heights, Perth, Australia baru-baru ini, Zulkifli berkali-kali mengulangi kata-katanya itu.

Menurut Pengurus Projek Masjid Hepburn Heights ini, itulah tanggungjawab dan amanah yang harus dilaksanakannya sebagai seorang muslim.

``Allah mencipta manusia agar memakmurkan muka bumi ini dan itulah yang wajar saya laksanakan di sini,'' akuinya jujur.

Justeru, kata Zulkifli, 42, dia berusaha melakukan pelbagai kegiatan termasuk ceramah, seminar dan kelas agama sejak menetap di Perth.

Harapan Zulkifli cuma satu, semoga Islam di Australia Barat bernaung di bawah satu langit kesejahteraan.

Memeluk agama Islam lebih dua dekad lalu, anak kelahiran Singapura ini berkata, mendalami ilmu Islam tanpa menghayati sepenuhnya tidak akan memberi sebarang kemanisan hidup.

``Hikmah hanya terasa, sekali gus meningkat kemajuan diri apabila seseorang beramal selain menghayati ajaran Islam,'' katanya.

Hakikatnya, Islam sentiasa menyuruh hambanya berbuat kebaikan dan melaksanakan perubahan positif sepanjang hayat.

Pun begitu, katanya, asas perbuatan mestilah kerelaan hati, bukan paksaan dan jauh sekali bagi mereka yang hendak menunjuk-nunjuk.

``Menyempurnakan ibadat saban hari, siang dan malam tanpa menghayati dan membersihkan jiwa daripada perasaan riak, memusnahkan matlamat seorang muslim mencapai tahap ketakwaan yang tinggi.

``Hanya insan yang melakukan sesuatu berserta kefahaman, berjaya menyedari hikmah tersembunyi,'' katanya penuh makna.

Berhijrah ke Perth lebih dua dekad lalu selepas mendirikan rumahtangga dengan isteri tercinta, Rohani Pal, 40, Zulkifli antara individu Islam yang dianggap berjaya.

Zul's Drafting Service - syarikat miliknya yang memberi perkhidmatan dalam bidang pembinaan, dikenali masyarakat Islam wilayah berkenaan.

Mengambil contoh pengalaman sendiri, bagi bapa kepada dua cahayamata ini, Liyana, 18 dan Shahid, 10, untuk menempa kejayaan tidaklah semudah yang dibayangkan.

``Untuk mencapai kejayaan, sikap harus diperbaiki dan jangan sesekali memberi alasan.

``Ingat, sekali peluang terlepas atau masa berlalu, kita tidak boleh membayar untuk mengembalikannya,'' tegasnya.

Kejayaan bagi Zulkifli, bukan datang bergolek sebaliknya pelbagai pengalaman terpaksa ditempuhinya untuk berjaya.

Paling mustahak, untuk meletakkan diri di tempat beliau berdiri kini bukan satu pencapaian mudah sementelah terpaksa bersaing dengan anak watan Australia.

``Pengalaman yang saya tempuhi sepanjang lebih dua dekad berada di sini tidak terucap dek kata-kata.

``Pun begitu, saya bersyukur kerana ketabahan yang saya korbankan akhirnya membuahkan kejayaan,'' akuinya.

Untuk itu, kata Zulkifli, dia sering menekankan hal demikian kepada anak-anaknya dan menyedarkan mereka supaya lebih bersikap bertanggungjawab.

Kata Zulkifli, kehidupan di negara orang putih dengan amalan budaya sedemikian rupa bukan lesen untuk anak-anak berfoya-foya.

Meski berada jauh dari Singapura dan jauh dari kampung halaman isteri yang berasal dari Malaysia, budaya Melayu dan tradisi orang timur tetap menjadi amalan keluarga Zulkifli.

Jelasnya, anak-anak tidak dibiar leka mengecap kebebasan yang tiada had dan sempadan apatah lagi dibiar leka berkawan.

``Sebagai ayah, saya berhak menentukan siapa kawan-kawan anak-anak saya. Begitu juga dengan isteri saya, dia prihatin dengan kegiatan sosial anak-anak,'' jelasnya.

Bukan meletakkan prasangka yang tidak elok tetapi bagi Zulkifli, dia tidak mahu terjadi seperti kata pepatah `sudah terantuk baru hendak terngadah'.

``Sebab itulah, saya bekalkan mereka dengan didikan agama sejak kecil agar mereka mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk,'' katanya.

Anak-anak, kata Zulkifli, diajar mengaji dan menghayati al-Quran selain diterapkan dengan nilai tradisi orang Melayu.

``Biar pun dilahir dan dibesarkan di Australia, saya tidak mahu mereka hilang jati diri. Justeru, saya sering ingatkan mereka mengenai asal usul saya dan isteri,'' katanya.

Kata Zulkifli, tidak menjadi soal baginya andai anak-anak menjunjung langit di bumi mereka berpijak.

``Memang mereka sudah biasa dengan kehidupan di sini tetapi pada waktu yang sama mereka tidak boleh melupakan asal usul mereka,'' katanya.

Satu hal yang pasti, kata Zulkifli, anak-anak turut bersetuju dengan pandangannya bahawa semolek-molek bangsa, tiada yang dapat menandingi orang Melayu - kaya dengan adat dan budi bahasa.
Hosted by www.Geocities.ws

1