kembali Wahyu cahaya menerangkan kegelapan akal Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali AKAL adalah anugerah Ilahi terbesar kepada manusia. Akal juga membezakan manusia dengan makhluk lain. Dalam al-Quran kata dasar akal disebut sebanyak 49 kali seperti kalimah ta�qilun sebanyak 24 kali, ya�qilun sebanyak (22 kali), �aqalu, na�qil dan ya�qil masing-masing disebut sekali. Sebahagian besar ayat itu mengandungi makna penekanan terhadap penggunaan akal dan didatangkan dengan pertanyaan seperti �afala ta�qilun (apakah kamu tidak menggunakan akal) yang disebut sebanyak 13 kali. Pendekatan ayat sebegini umumnya perbandingan di antara kehidupan dunia dan akhirat serta manifestasi kemurkaan Tuhan kepada kaum terdahulu. Ia untuk dijadikan iktibar kepada umat manusia kini. Firman Allah bermaksud: Dan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang bertakwa, maka tidakkah kamu memikirkannya? (Surah Yusuf, ayat 109). Firman Allah lagi bermaksud: ...dan sesungguhnya kamu (wahai penduduk Makkah) benar-benar akan melalui (bekas) mereka pada waktu pagi dan malam. Maka apakah kamu tidak memikirkannya? (Surah ash-Shaafat, ayat 137-138). Sementara perkataan ya�qilun (orang berfikir) banyak membicarakan mengenai renungan terhadap alam sebagai tanda kekuasaan Allah. Firman Allah bermaksud: ...dan pada penggantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkan-Nya dengan air hujan itu bumi selepas matinya dan pada perkisaran angin ada pula tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berakal. (Surah al-Jaatsiyah, ayat 5) Al-Quran tidak pernah menggambarkan akal sebagai sesuatu bertentangan dengan agama. Dalam al-Quran golongan yang menggunakan akal dirujuk sebagai mereka yang cenderung kepada nilai keagamaan dan perkara ukhrawi. Mereka adalah golongan yang dapat mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat. Mereka sentiasa mengambil peringatan daripada al-Quran dan merenung kekuasaan Tuhan. Sebaliknya menurut al-Quran, mereka yang tidak berakal sentiasa menyalahgunakan pengetahuan dengan melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam, mempunyai akhlak buruk dan tidak menggunakan nikmat pancaindera untuk mende katkan diri kepada Allah. Allah amat mencela orang yang tidak menggunakan akalnya, orang yang terikat fikirannya dengan kepercayaan dan fahaman yang tidak berlandaskan kepada syariat Allah. Islam melarang umatnya bertaklid buta kepada fahaman dan iktikad yang tidak berdasarkan kepada wahyu nyata. Firman Allah bermaksud: �Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta dipertanggungjawabkan. (Surah al-Isra�, ayat 36). Oleh itu, umat Islam diwajibkan menggunakan akal untuk memikir ayat al-Quran supaya mengerti dan memahami maknanya. Ini kerana al-Quran diturunkan untuk orang yang mahu berfikir dan mengambil manfaat daripadanya. Dalam Islam, akal mendapat tempat mulia. Akal tidak ditindas, melainkan digunakan dan diberi panduan untuk manfaat manusia keseluruhannya. Akal adalah kekuatan tersembunyi yang dengannya segala sesuatu dapat diserap. Ia adalah anugerah samawi, dalam pancarannya kita dapat membezakan di antara benar dan batil, bersih dan kotor, bermanfaat dan mudarat, baik dan buruk, baik kekuatan tersembunyi itu akan dinamakan akal, hati (al-Qalb atau al-Fu�ad) mahupun ilmu. Ibn �Arabi berpendapat bahawa akal itu adalah ilmu iaitu sesuatu sifat yang dengannya persepsi ilmu dapat dihasilkan. Akal adalah kekuatan yang tersembunyi akan tetapi sinarnya menembus langit dan bumi, mencari pengetahuan, meneropong rahsia alam dan misteri kehidupan. Abu Bakar Muhammad al-Razi dalam al-Tibb al-Ruhani menyebutkan bahawa Tuhan Pencipta memberi kita akal untuk memperoleh dan mencapai kemanfaatan dunia akhirat. Ia anugerah Allah terbesar dan paling bermanfaat bagi kita. Dengan akal kita melebihi haiwan tidak berakal. Dengan akal kita mengetahui sesuatu yang dapat mengangkat darjat dan sesuai dengan kehidupan serta mencapai apa yang diinginkan. Tanpa akal kita seperti haiwan, anak kecil atau orang gila. Oleh itu, pandangan al-Quran terhadap akal ialah akal pada asalnya mempunyai fitrah yang baik yang mengakui keesaan Allah dan menjadi sumber kebaikan. Selain itu, fungsi akal bukan sekadar fungsi akal nazari, tetapi merangkumi fungsi lebih luas seperti menganggap makna yang lebih mendalam terutama aspek kerohanian dan keagamaan. Begitupun, kebebasan akal itu juga terikat dengan kepemimpinan wahyu. Akal mempunyai ruang lingkup terhad. Akal tidak berkuasa mutlak untuk mengetahui atau mencapai semua perkara. Oleh itu, hubungan akal dan wahyu seharusnya dilihat bersifat saling memerlukan daripada sifat bertentangan. Imam al-Ghazali dalam bukunya Penyelamat Daripada Kesesatan menyebutkan bahawa akal tidak mampu untuk menganggap apa yang boleh dijangkau oleh cahaya kenabian. Akal menyerahkan kita kepada kenabian seperti kita memimpin si buta untuk diserahkan kepada pemandu. Sampai di sinilah saja fungsi yang dapat dijalankan oleh akal. Di luar sempadan ini akal tidak boleh berbuat apa-apa, selain memahami apa yang disampaikan oleh nabi kepadanya. Oleh itu, akal sangat memerlukan wahyu sebagai cahaya yang membantunya berjalan meniti lorong kehidupan dan memantapkan lagi langkah secara berani. Tanpanya, akal mungkin akan tersesat dan menyimpang dari kebenaran. Akhirnya akal menjadi kekuatan yang kejam, merosak dan menghancurkan. Dalam Islam wujud faktor yang mendorong penganutnya untuk hidup bermasyarakat dengan budaya tinggi yang dikenali sebagai potensi budaya. Potensi ini amat banyak tetapi antara yang penting ialah: Pertama Islam menghormati akal, kedua Islam mewajibkan penganutnya menuntut ilmu, ketiga Islam mendorong umatnya berusaha dan keempat Muslimin dilarang bertaklid, menerima sesuatu sebelum diperiksa kebenarannya. Daripada keempat-empat perkara itu, jelas bahawa Muslimin yang benar-benar memenuhi tuntutan agamanya, akan terdorong untuk menggali rahsia alam yang akan membuahkan ilmu pengetahuan dan pada gilirannya akan menumbuhkan kebudayaan yang maju. Pada zaman kegelapan Barat, mereka mengharam menggunakan penyelidikan dengan akal dan melarang penganutnya membaca kitab agama lain. Mereka memasukkan kitab itu dalam daftar bacaan berbahaya bagi penganutnya. Sebaliknya khalifah Islam memerintahkan supaya menterjemah kitab daripada pelbagai agama dan mazhab yang ada pada waktu itu untuk dibaca, diketahui dan diperiksa oleh ahli fikir Islam. Itulah antara sebab kunci kejayaan tamadun Islam. |