Mengatasi murtad di kalangan  saudara baru
oleh: Swee Lan dipetik dari Harakah

  Penghakisan aqidah atau murtad sebenarnya turut membabitkan saudara baru. Cumanya masalah ini tidak menjadi heboh dan kontroversi sebagaimana berlaku kepada umat Islam yang lain.
Masalah murtad di kalangan saudara baru dianggap sebagai satu perkara yang biasa lantaran kerapuhan aqidah dan ke'baru'an mereka di dalam ajaran Islam.

Jadi, soal ini tidak dipandang serius sebagaimana murtadnya beberapa individu Islam di negara kita. Masalah murtad dalam apa keadaan bukan sahaja tidak seharusnya dibiarkan berlaku tetapi wajib dibendung supaya ia tidak melarat dan membarah di dalam masyarakat Islam.
Selain mencerminkan kegagalan dakwah di kalangan saudara baru, masalah murtad itu juga boleh menjejaskan imej Islam di kalangan non muslim. Adalah sesuatu yang ironik kerana dalam usaha kita mengembangkan Islam, ada pula di kalangan umat Islam sendiri yang keluar daripada agama Islam apatah lagi kalau ia membabitkan para saudara baru.
Ini kerana untuk memeluk agama Islam di negara kita bukan satu perkara yang mudah. Pelbagai masalah, cabaran dan rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang sebelum ia dapat hidup sebagai seorang muslim. Jadi, apabila seseorang saudara baru itu mengambil tindakan nekad untuk murtad maka ia seharusnya mengundang dan menimbulkan pelbagai persoalan serta tanda tanya kepada kita.
Walaupun tidak dinafikan saudara baru merupakan golongan mudah terdedah menjadi murtad tetapi ini tidak bermakna masalah tersebut tidak dapat diatasi. Malahan sejarah membuktikan tokoh jahiliyyah sebelum Islam menjadi wira-wira Islam kemudiannya. Justeru itu, para saudara baru ini dapat diasuh dan dilatih untuk menjadi mukmin yang sejati jika kena cara serta gayanya.

Oleh itu, sudah sewajarnya pendakwah/pertubuhan dakwah melakukan penilaian semula terhadap gerak kerja, usaha dan modus operandi dakwah yang digunakan selama ini masih lagi relevan dengan perkembangan semasa ataupun tidak. Percambahan pesat perkumpulan dan badan dakwah serta persatuan saudara baru di negara kita menunjukkan betapa giatnya dakwah di kalangan masyarakat non muslim.
Kepesatan ini pasti tidak memberikan sebarang makna apabila tanggungjawabnya memastikan para saudara baru ini tidak terus kekal sebagai muslim sehingga ke akhir hayatnya. Usaha dan matlamat dakwah bukan sekadar untuk mengIslamkan seseorang tetapi juga mempunyai tujuan untuk membentuk keperibadian Islam di kalangan saudara baru.
Proses pemantapan aqidah kalangan sasaran perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya terhenti setelah seseorang itu memeluk agama Islam. Sekiranya itulah yang menjadi orientasi para pendakwah maka usaha dan matlamatnya untuk menyelamatkan ummah telah gagal.
Selain itu, pendakwah/pertubuhan dakwah juga perlu memastikan mereka yang telah berjaya diIslamkan itu dapat memberikan sumbangan kepada perkembangan Islam di kalangan bangsanya. Jadi, sudah sewajarnya kerajaan memberikan lebih banyak peruntukan kepada pertubuhan dakwah/persatuan saudara baru untuk melaksanakan program serta aktiviti yang memberikan manfaat kepada golongan tersebut.
Perlu diingatkan, tragedi saudara baru kembali murtad tidak mengisytiharkan kemurtadannya secara terbuka sama seperti orang Islam lainnya, khususnya orang Melayu yang turun temurun mengaku Islam tetapi majoritinya murtad dengan tidak disedari. Statistik murtad terkini walaupun tidak rasmi, sekitar 50,000, bukan mustahil pada tahun 2020 keseluruhan orang Melayu Islam hanya tinggal nama Islam dalam surat beranak. Sebaliknya saudara baru kembali kepada cara hidupnya yang lama dengan menyisihkan dirinya daripada masyarakat Islam.
Justeru itu, sewajarnya masyarakat Islam menunjukkan keprihatinan terhadap para saudara baru serta mengambil berat, membimbing dan menerima mereka dengan seadanya. Masalah murtad yang berlaku di negara kita pada hakikatnya berpunca daripada sikap masyarakat Islam yang tidak lagi peduli terhadap apa yang berlaku di persekitarannya.
Oleh itu, sudah tiba masanya umat Islam merealisasi dan menterjemahkan konsep persaudaraan Islam sepertimana kata pepatah kalau 'dicubit lengan kanan, lengan kiri pun akan terasa sakitnya'. Umat Islam dapat kita ibaratkan seperti satu 'keluarga' yang besar yang tidak mengenal perbezaan bangsa, budaya, bahasa dan persempadanan negara.
Jadi, kehadiran saudara baru tidak seharusnya menimbulkan 'canggung' di kalangan umat Islam. Sebaliknya diterima dengan hati yang senang dan fikiran yang terbuka.
Berdakwah membabitkan usaha untuk menukar hati seseorang dan sekiranya hati non muslim telah berjaya diyakinkan untuk menerima Islam nescaya mereka sekali-kali tidak mudah kembali murtad.
Hati saudara baru yang dibajai dan sentiasa disirami dengan keindahan serta kebaikan Islam dalam bentuk praktik, mereka bukan sahaja tidak akan keluar daripada Islam tetapi akan tampil ke hadapan untuk mempertahankan Islam daripada sebarang anasir untuk merosakkannya.
Dialog antara agama kendurkan konflik
Wacana Islam
Oleh Moh Shauki Abd Majid dipetik dari Utusan Malaysia 29/12/2001
Kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu sunah Ilahiah, yang merupakan manifestasi kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk tidak memikirkan satu bentuk hubungan yang harmoni. Sebagai manusia yang beragama, diwajibkan antara kedua-dua golongan masyarakat seperti Islam dan Kristian yang berbeza itu untuk saling kenal mengenali sebagai memenuhi tuntutan kehidupan.

Antara kegemilangan sejarah yang amat penting dari sudut tamadun dan kemajmukan serta toleransi beragama dalam Islam ialah penguasaan Islam terhadap Andalus, yang dilakukan oleh Musa Ibnu Nusair menjelang tahun 95H/714M. Setelah Islam bertapak di Andalus, masuk orang-orang Yahudi dari Timur, menuju ke Cordova, yang merupakan pusat kegiatan ekonomi dan politik pemerintah Islam Andalus menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka, bahkan mereka diberi jawatan penting seperti doktor dan sebagainya. Pemerintahan Islam Andalus tidak menghalang mereka mendirikan sebuah Sekolah Yahudi yang terkenal di Cordova dengan pengajian Kitab Talmudnya.
Percubaan untuk memahami hubungan antara agama bukanlah merupakan sesuatu yang baru dalam sejarah peradaban dunia. Sejarah Islam itu sendiri sudah memberikan satu bentuk hubungan yang akrab antara penganut bukan Islam dan ini dapat diperhatikan melalui kehidupan masyarakat bukan Islam dalam Piagam Madinah. Melalui Piagam Madinah yang dirumuskan pada awal abad ke-7 Masihi ini, dunia diperkenalkan kepada gagasan politik yang sangat revolusioner, beretika dan berwibawa. Piagam ini jelas mempunyai tujuan perancangan bagi terciptanya keserasian politik dengan mengembangkan toleransi sosio agama dan budaya seluas-luasnya.
Disebabkan adanya salah faham dan berbagai-bagai kemungkinan yang tidak terduga, maka sikap kritis dan terciptanya hubungan yang erat dan dialogis antara tokoh-tokoh agama, menjadi sangat penting sebagai tindakan yang bersifat pemulihan dan harus diikut serta. Bagi masyarakat yang beradab dan beragama, perbezaan pendapat yang wujud boleh dijadikan sebagai landasan yang komunikatif dan saling memahami melalui mekanisme dialog. Tentunya mekanisme dialog mestilah lahir dan dilaksanakan dalam suasana mencari kesepakatan berasaskan nilai-nilai bersama dan bukannya berdasarkan prasangka dan emosi.
Dialog yang berkesan lahir bukan berasaskan kekuatan fizikal atau fitnah, tetapi harus berlandaskan percubaan untuk memahami atau mencari kata sepakat dalam sesuatu masalah bersama dalam perspektif agama masing-masing. Ujuran itu dianggap sebagai sebuah kombinasi dan pengembaraan ilmiah yang jarang berlaku serta sangat diperlukan oleh negara kita untuk memahami perkembangan nilai kehidupan keagamaan yang semakin pluralistik.
Pentingnya dialog antara agama ini adalah untuk mengetahui sejauh manakah perlunya sikap keterbukaan bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan antara penganut agama, terutamanya Islam dan Kristian di Malaysia. Pola pemikiran tersebut menjadi sangat penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap penganut Islam terhadap agama-agama lain. Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.
Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat membantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dapat diperbetulkan. Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negatif dapat diperbetulkan. Perbuatan negatif bukanlah hak eksklusif sesebuah masyarakat atau hak orang Islam, peri laku negatif merupakan perbuatan yang melampau sempadan dan pegangan agama. Perbuatan atau peri laku negatif berlaku di mana-mana, oleh sesiapa saja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama, secara lebih praktikal dan mendalam.
Islam sering menganjurkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam bukanlah agama yang menganjurkan peri laku negatif dan melancarkan tindakan ganas. Islam turut menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian dan inti dasar Islam sebenarnya ialah membentuk peri laku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk sebagaimana tujuan sebenar manusia memerlukan agama.
Apa yang dikesalkan hari ini kejayaan Islam terus diberikan pelbagai gelaran buruk, dan sering kali disamaertikan dengan keganasan, fanatik, fundamentalis, ekstremis dan teroris. - Mohd Shauki Abd Majid ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Hosted by www.Geocities.ws

1