kembali

Berita Harian : Agama


Empat sifat lambang Muslim takwa
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi



TAKWA adalah lambang seorang Muslim sejati yang benar-benar beriman kepada Allah. Dalam al-Quran dan hadis, sifat takwa kerap dikaitkan sebagai antara sifat mukmin yang berjaya dan berbahagia pada akhirat kelak.

Allah berfirman yang maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah dan sesiapa yang mengagungkan syiar agama Allah, maka dialah orang yang bertakwa kerana sesungguhnya perbuatan itu satu daripada sifat takwa hati orang mukmin." � (Surah al-Haj, ayat 32).

Selain itu, Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya:"Bertakwalah kamu di mana saja berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji." � (Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan nas itu, dapatlah disimpulkan betapa takwa adalah sifat yang mendasari mukmin yang tunduk dan patuh kepada Allah. Ia tidak dapat dipisahkan sama sekali daripada setiap detik kehidupan seseorang mukmin. Malah, takwa adalah lambang ketebalan iman dan simbol keteguhan Islam yang terpahat pada hati Muslim.

Begitu pun, ada umat Islam belum memahami pengertian sebenar takwa dan kepentingannya dalam kehidupan ummah.

Pengertian takwa tersingkap dalam firman Allah bermaksud: "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat, dan segala malaikat, segala kitab, sekalian nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya (sedangkan dia menyayanginya) kepada kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, orang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang yang meminta, untuk memerdekakan hamba abdi; dan mengerjakan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang yang sabar dalam kesempitan dan dalam masa kesakitan, juga dalam masa bertempur dalam perjuangan Perang Sabil. (orang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah orang yang bertakwa." � (Surah al-Baqarah, ayat 177).

Rasulullah saw juga ada mendefinisikan takwa dengan bersabda maksudnya :"Sesiapa yang menyebut kalimah tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dengan ikhlas, nescaya dia dapat masuk syurga. Kemudian baginda saw ditanya : Apa maksud dengan ikhlas itu? Lantas baginda saw menjawab: Iaitu kamu memelihara diri kamu daripada melakukan larangan Allah.� � (Riwayat At Tabarani)

Ringkasnya, takwa mengikut pengertian al-Quran dan hadis ialah menunaikan segala amalan yang difardukan Allah dan meninggalkan segala yang diharamkan-Nya. Inilah pengertian umum bagi takwa yang sekurang-kurangnya perlu diketahui dan dihayati oleh umat Islam supaya dapat dilaksana dan diterjemahkan dalam kehidupan.

Selain al-Quran dan hadis, ulama tidak ketinggalan dalam menjelaskan pengertian takwa dalam skop lebih luas.

Antaranya, Ibnu `Abbas pernah menyatakan bahawa "orang bertakwa itu ialah mereka yang sentiasa beringat akan seksaan Allah apabila meninggalkan segala perintah-Nya, oleh itu mereka tidak akan meninggalkannya dan sebaliknya melaksanakan perintah-Nya dengan penuh kepatuhan dan ketulusan serta sentiasa mengharapkan rahmat-Nya dan keredaan-Nya dalam semua urusan yang diperintahkan-Nya."

Pada ketika lain, Saidina Umar Al Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka'ab akan pengertian takwa. Lantas Ubay pun mengemukakan soalan kepada Umar kembali dengan berkata: �Pernahkan tuan melalui jalan yang penuh berduri? Jawab Umar: �Tidak pernah.� Lalu Ubay memberikan penjelasan dengan berkata: �Sudah tentulah kita akan cuba mengelakkan diri daripada terpijak duri apabila melalui jalan itu. Begitulah makna takwa dengan kita mengelakkan diri daripada melampau batasan Allah.�

Khalifah Ali bin Abi Talib pula ada memberikan tafsiran yang begitu menarik mengenai takwa iaitu "takutkan kepada Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan berasa cukup dengan keadaan yang sedikit dan bersiap sedia pada setiap masa untuk menghadapi hari kematian."

Ringkasnya, definisi itu merangkumkan empat sifat utama yang melayakkan seseorang Muslim sebagai hamba yang benar-benar bertakwa kepada Allah.

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa takwa itu lebih kepada maksud pemantapan dan mengukuhkan akidah yang ikhlas kepada Allah, semata-mata, istiqamah dan iltizam dalam menjunjung segala titah perintah-Nya.

Selain itu, ia memelihara diri daripada terjerumus ke kancah kemaksiatan kepada-Nya dan pengisian jiwa dengan perhiasan akhlak terpuji lagi luhur.

Ini bermakna bahawa ia bukan tugas mudah untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh setiap Muslim. Sebaliknya hanya hati yang disuluhi dengan sinaran takwa yang mampu merentasi segala kepayahan dan dugaan dalam menuju kepada keredaan Ilahi.

Takwa juga sumber kekuatan tersembunyi dalam diri Muslim hingga mampu menempatkan dirinya dalam kalangan insan bertakwa kepada Allah.

Maka tidak hairan sahabat Rasulullah saw mampu merentasi padang pasir kering kontang hingga melakarkan sejarah gemilang Islam di persada dunia ketika itu. Mereka juga berjaya mencipta kejayaan demi kejayaan cemerlang dalam perjuangan jihad menegakkan kalimah Allah.

Di sini letaknya rahsia keunggulan sahabat yang menerajui umat Islam dalam merintis kejayaan dan kegemilangan pada ketika itu.

Rahsia itu tidak lain tidak bukan kerana ketakwaan yang bertapak dan tersemat kukuh dalam sudut jiwa mereka.

Pendek kata, takwa sebenarnya adalah kekuatan atau pemangkin yang mampu melonjakkan umat Islam ke arah kejayaan dan kecemerlangan dalam segala lapangan hidup.

Meninjau keadaan umat Islam kini, ternyata mereka berada dalam keadaan cukup menyedihkan dengan kehinaan dan kemunduran yang melingkari setiap ruang lingkup hidup mereka. Umat Islam kini begitu mudah ditindas oleh musuh Islam, lantaran kepupusan sifat takwa dalam jiwa mereka.

Perlu diingat bahawa kekuatan sesuatu umat bukannya diukur dengan kekuatan ekonomi, ilmu, ketenteraan dan sebagainya, sebaliknya dengan pengisian jiwa dengan sifat luhur lagi terpuji.

Oleh itu, kemunduran dan kelemahan umat Islam kini berpunca daripada tipisnya rasa takwa dalam hati mereka. Justeru, musuh Islam dapat menyaingi umat Islam bukannya kerana kekuatan yang ada pada mereka, sebaliknya kelemahan yang membelenggu hidup umat Islam.

Sehubungan itu, umat Islam semestinya menginsafi dan menyedari betapa pentingnya sifat takwa dijana dan dipertingkatkan kembali. Ini bagi membebaskan diri daripada belenggu kelemahan dan kemunduran.

Umat Islam mesti menyusun langkah dengan semangat waja bagi memartabatkan imejnya sebagai umat terbaik dan terunggul dalam segala lapangan hidup sebagaimana dirintis oleh generasi Rasulullah saw dan sahabat terdahulu.

Semua pihak perlu menghiaskan diri mereka dengan sifat takwa dengan matlamat untuk melahirkan sebuah institusi keluarga bahagia; masyarakat harmoni serta negara aman damai dan sejahtera.

Pembinaan takwa kepada segenap lapisan masyarakat ini perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

Mudah-mudahan, kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi menjadi milik umat Islam jika takwa menjadi teras utama dalam kehidupan mereka sepanjang masa
Hosted by www.Geocities.ws

1