http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Rencana/20020111235227/Article/

Skop: Terjemahan tidak jelas timbulkan pemahaman salah


SALAH tafsir adalah masalah utama masyarakat Islam dan bukan Islam dalam memahami konsep Islam dan keistimewaannya. Kesilapan mentafsir sesuatu makna dalam bentuk ilustrasi atau lukisan mungkin memberi kesimpulan yang negatif bahawa hukum Islam membabitkan perundangan terlalu keras. Lukisan yang mengelirukan bukan saja menimbulkan salah faham malah menjejaskan maksud sebenar. Wartawan Hatipah Ahmad, Hasliza Hassan dan Khairul Anwar Rahmat mengupas perkara ini.

KEBENARAN dalam menceritakan evolusi kemanusiaan dan sejarah umpamanya perkembangan Islam adalah penting tetapi masih perlu ditapis supaya tidak disalahgunakan.

Umpamanya hukum dan undang-undang bagi setiap peraturan lama seperti Hukum Kanun Negeri Melaka.

Mengambil contoh ilustrasi hukum potong dan mencelup tangan di minyak panas bagi kesalahan mencuri atau perbalahan, ia perlu dikaji semula supaya tidak dimanipulasi golongan yang tidak bertanggungjawab atau mempunyai niat tersendiri.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Sejarah Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam, berkata banyak perkara lain yang lebih baik dan dilihat lembut boleh diketengahkan dalam Hukum Kanun Negeri Melaka.

Katanya, perkara ini dapat membantu masyarakat memahami undang-undang Islam yang diguna pakai pada zaman Kesultanan Melaka dengan mudah dan tidak melihatnya dalam perspektif menggerunkan.

�Jangan tonjolkan hukuman bersifat keras seperti mencelup tangan dalam minyak panas disebabkan perbalahan kerana hukuman itu sebenarnya mempunyai kaitan tersendiri dengan elemen budaya dan pengaruh luar berbanding Islam sendiri.

�Memang dalam hukum Kanun Negeri Melaka bagi fasal jenayah mencatatkan mereka yang berbalah perlu menjalani ujian mencelup tangan dalam minyak panas.

�Ini sebenarnya untuk memaksa kedua-dua pihak berfikir kembali atau berdamai. �Ini kerana jika dilihat daripada perspektif lain pula, hukuman itu boleh diputarbelit dan dimanipulasi secara serius oleh golongan yang berniat tidak baik, walaupun hakikatnya pihak bertanggungjawab berniat mulia,� katanya.

Dr Ramlah berkata, sebenarnya banyak juga fasal dalam Hukum Kanun Negeri Melaka yang baik dan boleh ditonjolkan supaya tidak memberi tafsiran negatif terhadap Islam sendiri.

Antaranya dalam fasal jenayah bagi hukuman untuk orang berhutang tetapi gagal membayar iaitu terpaksa bekerja dengan si pemiutang hingga lunas hutangnya; hukum minum arak bagi seorang hamba ialah rotan 20 kali tetapi bagi orang merdeka 40 kali.

�Moralnya di sini ialah hukuman akan dikurangkan untuk rakyat yang berkedudukan lebih rendah daripada tuannya atau orang merdeka lain.

�Tetapi tidak dinafikan memang sifat manusia suka pada yang sensasi, jadi hukum itu yang mendapat perhatian, walaupun niatnya adalah untuk memberi peringatan kepada masyarakat,� katanya.

Dr Ramlah berkata, Hukum Kanun Negeri Melaka diperkenalkan ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah yang mentadbir negeri itu bermula pada 1424 hingga 1444.

Hukum itu kemudian diperbaiki semula dan ditambah oleh pemerintah zaman kemudiannya. Ia juga menjadi rujukan dan teks asas kepada Hukum Kanun Negeri Pahang, Johor dan Riau.

Ia mempunyai 44 fasal atau undang-undang. Antaranya kuasa raja, jenayah, perdagangan, jual beli dan nikah kahwin.
Katanya, bangsa Melayu tidak sebesar bangsa Rom, Cina dan India. Jadi proses ketamadunannya agak lambat dan diperbaiki dengan secara mengubah suai daripada budaya lain.

Sebelum kedatangan Islam, budaya hidup orang Melayu dipengaruhi secara total oleh pengaruh Hindu dan amalan budaya lama ini diteruskan hingga sebati dalam kehidupan masyarakat.

Dr Ramlah berkata, bukan semua orang dapat melepaskan pemahaman ini dan sedikit sebanyak dapat dilihat dalam Hukum Kanun Negeri Melaka yang peraturannya ada yang bercampur aduk dengan Islam dan elemen lain serta Hinduisme.

Katanya, sejarah adalah disiplin mengajar atau memberitahu evolusi manusia dan pencapaiannya.

Ketika zaman prasejarah yang tidak ada rekod bertulis, cara mengajarkannya adalah menerusi cerita rakyat atau lisan yang disampaikan dari satu generasi ke generasi lain hingga akhirnya ia menjadi dongeng atau hiburan semata-mata.

Ilustrasi juga melahirkan pelbagai kesimpulan kerana pandangan orang ramai mengenai sesuatu lukisan atau keterangan yang disertakan berbeza berdasarkan pemahaman mereka terhadap topik itu.

Apatah lagi jika ilmu dan gambaran yang ingin disampaikan itu adalah sesuatu yang baru serta asing kepada orang ramai yang melihatnya.

Justeru, terjemahan mengenai fakta peristiwa atau maklumat jelas perlu disertakan supaya tidak timbul salah faham atau kekeliruan.

Pakar bahasa, Dr Awang Sarian, berkata selain menguasai bahasa sumber (bahasa yang ingin diterjemahkan) dan bahasa sasaran, syarat penting dalam penterjemahan ialah memahami maksud topik yang ingin diterjemahkan.

Katanya, terjemahan dalam bentuk terus jika tidak jelas bukan saja menimbulkan salah faham, malah tidak akan menjelaskan maksud sebenar.

Sehubungan itu, katanya, untuk menterjemahkan ilmu atau maklumat, penterjemah perlu mengambil daya usaha mendalami isi kandungan bahan yang ingin diterjemah dan jika tidak yakin hendaklah merujuk kepada pakar dalam bidang berkenaan.

�Gaya bahasa dan terjemahan yang kaku masih lagi boleh diterima jika jelas maksudnya tetapi jika terjemahan itu tidak tepat dari segi makna, ini boleh memberi gambaran salah seterusnya menimbulkan salah faham,� katanya.

Beliau berkata, penjelasan lanjut atau keterangan tambahan juga harus ada bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang bukan saja lengkap, malah tepat dari segi fakta.

Bagaimanapun katanya, keterangan lanjut itu selalunya bergantung kepada keperluan kerana seperti kisah sejarah ia memerlukan penjelasan terutama latar belakang sesuatu peristiwa.

Begitu juga dengan konsep yang hanya difahami oleh pihak tertentu dan asing kepada pihak lain seperti undang-undang serta kepercayaan mengikut agama yang dianuti dan adat resam.

�Contohnya ilustrasi yang menggambarkan hukuman potong tangan ke atas pencuri yang begitu abstrak dan tanpa penjelasan boleh menimbulkan gambaran salah seolah Islam itu kejam kerana sanggup memotong tangan,� katanya.

Dr Awang berkata, terjemahan maklumat sama ada untuk penyebaran ilmu, pameran, pendidikan sewajarnya dilaksanakan mengikut peraturan yang betul dan memenuhi syarat penterjemahan.

Beliau berkata, daripada pengamatannya bidang penterjemahan negara tidak menunjukkan kemajuan terutama terjemahan ilmu ke dalam bahasa Malaysia, sedangkan salah satu cara mengembangkan ilmu ialah menerusi terjemahan.

�Bidang terjemahan sepatutnya dijadikan agenda penting negara dan dimasukkan dalam ukuran untuk kenaikan pangkat di institusi pengajian tinggi dengan menjadikan hasil terjemahan sebagai syarat utama kepada pakar akademik.

�Tanggungjawab itu kini terletak di bahu Institut Terjemahan Negara Malaysia yang dilihat gagal memainkan fungsinya.

�Sepatutnya selepas lima tahun penubuhannya, ITNM sudah menghasilkan satu koleksi terjemahan tamadun yang besar dan hebat berpadanan matlamat kewujudannya,� katanya.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Siti Esah Ishak, berkata sesiapa saja yang menguasai bahasa mampu menjadi penterjemah tetapi tidak semestinya terjemahan mereka tepat.

Beliau berkata, kelemahan yang dapat dilihat dalam bidang penterjemahan ialah ia tidak dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar atau arif mengenai perkara yang ingin diterjemahkan.

Katanya, sekiranya sesuatu terjemahan dilakukan oleh mereka yang pakar atau mereka yang mempunyai latar belakang ilmu penterjemahan, salah faham dapat dielakkan kerana maklumat yang diberi adalah jelas.

�Bukan bermakna jika seorang itu tiada latar belakang ilmu ekonomi tidak boleh menterjemah topik berkaitan ekonomi tetapi dia mesti mempunyai kefahaman asas dalam ilmu penterjemahan.

�Ini kerana ada kalanya, perkataan bahasa Melayu yang ingin diterjemahkan tidak ada dalam bahasa Inggeris, jadi hendaklah dicari maksud yang paling hampir.

�Apa yang penting setiap maklumat perlu jelas dan tidak menimbulkan persoalan kerana apabila ada tanda tanya, itu menandakan penterjemah gagal menyampaikan maksud fakta dengan tepat,� katanya.
Hosted by www.Geocities.ws

1