kembali

utusan malaysia 9 Apr 2002

Hak rakyat Islam AS dirampas
Pentas Dunia oleh BADRUL AZHAR RAHMAN

Kesan daripada serangan 11 September masih menghantui masyarakat Islam di Amerika Syarikat (AS). Terlalu banyak yang telah diperkatakan tentang tekanan yang dihadapi oleh masyarakat Islam di sana tetapi setelah lebih enam bulan berlalu, nasib mereka masih terumbang-ambing. Yang paling merasakan tekanan ialah warga AS yang beragama Islam khususnya mereka yang berdarah Arab atau Pakistan.

Baru-baru ini sekumpulan masyarakat Islam di Washington meluahkan rasa tidak puas hati mereka berhubung serbuan yang dibuat oleh pasukan penguat kuasa terhadap beberapa pejabat dan kediaman orang Islam. Tempat-tempat ini diserbu atas nama kempen antikeganasan.

Seorang imam masjid di Washington, Johari Abdul Malik menyifatkan serbuan itu sebagai satu tragedi bukan saja kepada masyarakat Islam di AS malah kepada rakyat Amerika secara khususnya.

Antara pertubuhan yang menjadi sasaran pihak berkuasa AS ialah Institut Kefahaman Islam, Liga Dunia Islam, Majlis Feqah Amerika Utara, Sekolah Graduan Islam dan Sains Sosial Leesburg.

Serbuan itu juga seolah-olah menunjukkan kerajaan AS mahu menggunakan situasi sekarang ini sebagai alasan untuk menceroboh masuk ke bangunan-bangunan milik pertubuhan Islam. Apa sebenarnya yang mereka cari dan cuba buktikan tidak diketahui tetapi serbuan ini yang dibuat atas nama operasi Green Quest disertai oleh ejen serta pegawai dari perkhidmatan hasil dalam negeri (IRS), perkhidmatan kastam, imigresen, perisikan dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Mereka menyerbu masuk dan menggeledah tempat-tempat tersebut tanpa menghormati sama sekali hak asasi individu atau pemilik bangunan itu. Pihak berkuasa AS mengaku ada merampas beberapa bahan sebagai bukti tetapi apa yang mereka cari dan apa yang mereka rampas tidak dimaklumkan kepada pemiliknya. Ada juga bangunan yang disita atas perintah mahkamah.

Pengalaman yang dilalui oleh masyarakat Islam ini sudah tentu menakutkan tetapi apakan daya mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantah. Kebanyakannya adalah rakyat Amerika yang amat berbangga menjadi warga negara itu tetapi perubahan sikap kerajaan dan tekanan yang mereka hadapi selepas 11 September, meletakkan mereka dalam dilema.

Seorang ibu menceritakan bagaimana pasukan penguat kuasa merempuh masuk ke rumahnya dan mengacukan senjata ke arah beliau dan anak perempuannya serta mengarahkan mereka mengangkat tangan. Rumahnya diserbu dan digeledah kerana suaminya dikatakan bekerja di Institut Kefahaman Islam.

Seorang guru wanita mendakwa, pasukan penguat kuasa merampas pasport keluarganya, komputer dan buku banknya hanya kerana dia menjadi sukarelawan di sebuah pertubuhan Islam.

Tekanan demi tekanan yang dialami oleh masyarakat Islam Amerika sudah tentu menyukarkan kehidupan harian mereka. Walaupun mereka adalah warga AS tetapi kerana warna kulit dan agama yang dianuti, mereka dipandang serong dan dilayan seperti pendatang asing.

Umum memahami serangan pada 11 September lalu benar-benar menggemparkan AS dan memaksanya bertindak tegas terhadap apa juga kegiatan yang cenderung ke arah keganasan. Bagaimanapun ini tidak bermakna mereka boleh sesuka hati mengorbankan hak dan kebebasan rakyat Islam Amerika serta menanamkan bibit-bibit permusuhan dengan masyarakat tersebut.
Hosted by www.Geocities.ws

1