kembali Rencana Darah Palestin dan Kompleks Masada Yahudi Ruang Dan Waktu oleh Adam A. Kadir PAGI Isnin kelmarin saya diajak berbincang dalam MHI (Malaysia Hari Ini) di TV3 berkenaan dengan kedudukan Palestin dan Israel. Sebenarnya memang tidak banyak yang boleh diperkatakan dalam masa 15 minit. Dua orang lagi yang diajak serta ialah dari kalangan tenaga pengajar universiti. Nyata sekali kesan yang tinggal pada saya ialah perihal Palestin-Israel ini sentiasa dipandang dari pelbagai sudut. Sejarah lama, sejarah baharu, realiti semasa dan tidak kurang pula penekanan terhadap political will atau kudrat politik seperti yang dipakai oleh salah seorang ahli akademik itu. Apabila disebut Yahudi, apa yang terbayang dalam kepala saya ialah beberapa orang yang pernah saya dekati. Salah seorang guru saya di peringkat menengah ialah Yahudi. Seorang pensyarah saya di Universiti Malaya pada tahun-tahun enam puluhan juga seorang Yahudi, walaupun namanya Jerman. Sekurang-kurangnya empat orang menjadi rakan sekelas saya di Harvard University: Dua dari Israel, seorang dari New York dan seorang lagi dari Colombia, Amerika Selatan. Ini belum disebut Einstein dan Henry Kissinger, apalagi Charlton Heston yang berlakon sebagai Nabi Musa dalam filem The Ten Commanments atau Sepuluh Rukun. Pernah duduk di sebelah saya dalam pesawat untuk ke Chicago dari New York ialah seorang pemuda Yahudi. Beliau berkupiah kecil di kepalanya dan membaca sesuatu dalam tulisan Yahudi. Bentuk muka dan kulitnya tidak berbeza dengan kebanyakan orang Amerika berkulit putih. Apa benar kata orang, Yahudi dan Arab itu dari satu rumpun, tanya saya bersahaja kepada pemuda Yahudi itu. ``Benar. Kalau anda percaya Arab adalah dari keturunan Ishmael dan Yahudi dari Isaac, kedua-duanya anak Abraham,'' jawabnya bagaikan tak pada sahaja. Jawapan beliau itu mengingatkan saya kepada konsep korban dalam Islam yang dikaitkan dengan Nabi Ibrahim a.s. (atau Abraham) yang bersedia hendak mengorbankan puteranya dalam menyahut ujian ketabahan dan keimanan daripada Tuhan. Menurut pengamatan saya, beliau telah pergi ke suatu perjumpaan agama di New York di mana terdapat lebih dua juta orang Yahudi. Kini, Datuk Bandar New York yang baharu dipilih ialah seorang Yahudi, pengusaha stesen TV Bloomberg. Tokoh yang dianggap paling berpengaruh di Amerika Syarikat (AS) selain daripada Presiden negara itu ialah orang Yahudi juga, iaitu Allen Greenspan, ketua Federal Reserve Bank iaitu bank negara AS. Ini belum dikira jumlah mereka dalam kabinet Presiden Bush, Dewan Senat dan Dewan Perwakilan dalam Kongres (Parlimen) AS. Segalanya memberikan satu mesej: Bukan senang hendak menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan dengan Israel. Walau air mata darah pun terkeluar dari mata setiap orang Palestin, orang Yahudi tetap berpegang kepada hakikat bahawa bumi yang didudukinya kini ialah bumi asalnya daripada pemberian Tuhan. Mereka terbungkis dari buminya itu 1500 tahun dahulu kerana bala dari perbuatan manusia tetapi atas kekayaan Tuhan, menurut kepercayaan mereka, maka mereka berpijak semula di bumi itu. Dalam tahun 1971, Stewart Alsop, seorang kolumnis majalah Newsweek, menyatakan bahawa Yahudi Israel mempunyai Kompleks Masada. Sebab itu, mengapa sebarang rundingan untuk mencapai sesuatu persetujuan adalah amat sukar dan amat pahit. Kompleks Masada merujuk kepada satu tragedi kira-kira 1500 tahun dahulu apabila tentera empayar Rom menghambat sekumpulan pejuang Yahudi, termasuk orang-orang tua dan anak-anak kecil, ke puncak bukit Masada. Apabila terkepung, mereka sanggup membunuh diri sehingga tidak seorang pun yang tinggal. Oleh itu Kompleks Masada membawa erti: Biar mati, menyerah, tidak sama sekali. Apabila Perdana Menteri Israel ketika itu, Golda Meir (seorang wanita), menjadi tetamu wartawan-wartawan di Washington pada tahun 1973, Alsop terkejut kerana dibahasakan oleh pemimpin Israel tersebut. ``Ya, Mr. Alsop. Kita ada macam-macam kompleks, termasuk apa yang tuan kata, Kompleks Masada,'' kata Golda Meir. Rujukan kepada Nabi Musa a.s. yang memimpin kaum Yahudi lari daripada kekejaman Firaun di Mesir, melalui Laut Merah yang terbelah, kira-kira 3,500 tahun dahulu dan akhirnya berjumpa dengan bumi yang dijanjikan Tuhan, merupakan satu rujukan yang tidak dilupai oleh Yahudi. Begitu juga kelebihan Nabi Daud a.s. membentuk kerajaan agung Yahudi di situ kemudiannya. Saya pernah berkunjung ke tepian Laut Mati dan memerhati dari jauh tempat pendudukan orang Palestin di tebing barat laut itu. Tentunya setiap pengunjung yang perihatin tertanya-tanya: Bilakah segalanya itu akan berakhir? Segala-galanya itu bererti hakikat menjalani hidup sebagai pelarian dan pertempuran yang tidak berkesudahan, apalagi percanggahan sikap dan pendirian antara pemimpin Palestin dengan pemimpin Israel. Pastinya ada asas maka Yahudi dibenci dan diburui di segenap tempat dalam sejarah. Kebencian begini terdapat dalam karya Shakespeare, pengarang agung dunia Inggeris. Dalam The Merchant of Venice (Saudagar Venice), Shakespeare menceritakan bagaimana seorang saudagar Yahudi meminjamkan wang dengan mengenakan bunga terlalu tinggi. Syarat jaminannya ialah seketul daging paha peminjam akan dilapah kalau pinjaman tidak dibayar. Apabila tidak terbayar, daging paha peminjam itu hanya terselamat apabila saudagar itu dikenakan syarat: boleh melapah tetapi tidak boleh mengeluarkan darah, menurut hujah peguam. Inilah salah satu contoh sifat Yahudi yang membuatkan rata-rata orang Eropah memusuhi mereka suatu ketika dahulu. Oleh itu rejim Hitler mengambil kesempatan membunuh berjuta-juta orang Yahudi dalam Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, Yahudi belajar dari masa. Mereka membetulkan diri supaya tidak dibenci lagi, melalui kekayaan dan ilmu, sehingga kini menjadi golongan paling kaya dan berpengaruh di AS, iaitu tempat bergantung negara-negara besar dunia Arab: Mesir, Arab Saudi, Maghribi, Tunisia, Amiriah Arab Bersatu dan Jordan. AS dan Britain tentunya tidak membiarkan Israel terhapus. Ini kerana Britain bertanggungjawab membawa pulang Yahudi ke bumi Palestin melalui Perisytiharan Balfour tahun 1917. AS pula merupakan penaja penubuhan Israel tahun 1948. Itulah latar belakang sokongan AS dan Britain kepada Israel. Dunia Arab tidak boleh membuat apa-apa untuk mengubah pendirian kuasa-kuasa besar itu. Oleh itu Palestin patut bersedia merendahkan sedikit harapan dan kurangkan syarat-syarat untuk memungkinkan wujudnya sebuah negara baharu Palestin yang berdaulat dan diterima semua. Sikap begini adalah munasabah. Dalam tiap-tiap perang Arab-Israel (1948, 1967, 1973) Arab sentiasa kalah. Suka atau tidak suka, pihak yang kalah tidak logik mengenakan banyak syarat. Demi masa, Yahudi akan mengulangi kesilapannya dan sikap kuasa-kuasa dunia akan turut berubah. |