Kegiatan orientalis wujud di Malaysia



PUTRAJAYA, Jumaat: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan kewujudan kumpulan orientalis untuk melemahkan umat Islam serantau, termasuk di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Mohamad Shahir Abdullah, bagaimanapun berkata ketika ini gerakan kumpulan itu tidak begitu serius sehingga membahayakan keselamatan negara.

�Kita sedar ia sudah lama wujud di negara ini. Tugas mereka adalah mengelirukan umat Islam secara halus mengenai ajaran Islam. Jika tidak menyebabkan akidah umat Islam berubah, mereka mengubah kepercayaan terhadap Islam,� katanya kepada pemberita selepas majlis tandatangan surat Akujanji Jakim di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai lebih 400 kakitangan dan pegawai Jakim menandatangani surat Akujanji secara beramai-ramai.Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Mohamad Said dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Che Min Che Ahmad.

Beliau mengulas laporan Berita Harian hari ini bahawa Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) mendakwa wujud kumpulan orientalis ala Singapura yang didukung pegawai kerajaan untuk melemahkan umat Islam republik itu.

Laporan itu memetik Setiausaha Agung PKMS, Mohd Rahizan Yaacob sebagai berkata perkara itu bukan saja berlaku di Singapura tetapi cuba berkembang di rantau ini terutama Malaysia.

Mohamad Shahir berkata, kumpulan orientalis di negara ini dikesan menggunakan media tertentu dan menyebar risalah serta menerbit buku yang kandungannya boleh mengelirukan umat Islam.

�Justeru, tugas Jakim adalah memastikan kebenaran Islam terpelihara daripada diperalatkan oleh golongan ini,� katanya.

Beliau meminta umat Islam yang mengetahui mengenai pergerakan kumpulan itu supaya membuat laporan kepada Jakim dan jabatan agama Islam negeri bagi lehkan siasatan dan tindakan diambil.

Katanya, Jakim bekerjasama dengan agensi kerajaan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Majlis Fatwa Kebangsaan dalam membanteras gejala itu.

�Kita melihat perkara ini dari aspek keselamatan dan kesucian ajaran Islam. Jika memerlukan keputusan fatwa, kita akan merujuk kepada majlis fatwa. Jika didapati mengelirukan dan bercanggah dengan fatwa, tindakan undang-undang akan diambil oleh KDN,� katanya.

Mohamad Shahir bagaimanapun percaya umat Islam di negara ini mampu menapis pengaruh kumpulan orientalis kerana pendidikan agama yang mereka terima sejak dari kanak-kanak.

�Kita melatih anak-anak dari awal melalui dakwah yang disampaikan menerusi ceramah sama ada di masjid, televisyen serta akhbar yang selama ini memainkan peranan penting bagi menghadapi cabaran pemikiran orientalis.

�Sistem pendidikan kita menjadikan umat Islam mempunyai kekuatan menapis perkara yang boleh mengelirukan akidah mereka,� katanya.
Hosted by www.Geocities.ws

1