| Usaha Memesongkan akidah Islam dikesan ALOR STAR: Ada kumpulan cuba mengelirukan dan memesongkan akidah umat Islam dengan menyebarkan dua risalah berbeza dari hukuman Islam sebenar. Risalah bertajuk `Ahlul Sunnah dan Syiah Sebenarnya Kristian' dan `Solat Ahlul Sunnah Yang Tidak Mengikut al-Quran' dikatakan diedarkan kepada orang ramai secara percuma. Kerajaan Kedah yang menerima maklumat itu daripada seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai `Hamba Allah' sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk menyiasat kes berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Fadzil Hanafi berkata dalam kesibukan menangani isu Black Metal, pihak tertentu dipercayai berpangkalan di Barat dikesan cuba merosakkan akidah umat Islam. �Risalah itu mendakwa kononnya Ahlul Sunnah yang menjadi pegangan umat Islam negara ini selain Syiah adalah ajaran Kristian,� katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, golongan itu juga mempertikaikan banyak perkara yang menjadi pegangan dan ikutan pengikut Ahlul Sunnah, termasuk cara sembahyang dan undang-undang hudud. Risalah itu mula dikesan di negeri ini dua tahun lalu tetapi kemudian hilang begitu saja apabila kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa bertindak ke atas `dalang' yang mengedarnya. Bagaimanapun, risalah yang sama kini dikesan diedarkan semula di kalangan umat Islam negeri ini. Fadzil berkata, risalah itu dikirimkan kepada beliau oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai `Hamba Allah'. �Setelah membaca risalah itu, saya dapati isu yang diperkatakan itu serius kerana jelas bercanggah dan cuba mengelirukan umat Islam. �Saya mendapati hujah dalam risalah itu boleh mempengaruhi dan memesong akidah mereka yang tidak mempunyai asas agama Islam,� katanya. Berikutan itu, Fadzil mengarahkan Jaik bertindak segera mengesan `dalang' kegiatan. �Jaik diminta memberi penjelasan kepada masyarakat dan menolak isu yang ditimbulkan ini,� katanya. Harian Metro Online 17/03/2002 |