| kembali Berita Harian : Agama Kajian sirah Rasulullah melengkapkan kefahaman akidah Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali DALAM konteks memahami Islam, sejarah adalah suatu yang sangat penting dipelajari. Apatah lagi mempelajari sejarah Rasulullah saw dan sahabat atau dalam istilah khususnya, disebut sebagai sirah. Dengan mempelajari sirah, kita dapat mengetahui bagaimana cara dan bentuk penyampaian yang dilakukan oleh Rasulullah saw serta peringkat dilalui oleh Baginda untuk mencapai matlamat dakwah. Melalui sirah, seseorang pendidik akan dapat mengetahui cara dan kaedah terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Misalnya, bagi seorang jeneral tentera, dia dapat mengetahui etika peperangan, layanan yang diberi oleh Baginda terhadap orang tawanan dan pesanan Rasulullah saw kepada panglima perang. Dr Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sirah supaya setiap Muslim memperoleh gambaran sebenar mengenai hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad saw. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antaranya memahami keperibadian nabi melalui kehidupan dan keadaan yang pernah dihadapinya. Kedua, supaya manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan pedoman kehidupan. Tidak diragukan, manusia walaupun mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, pasti akan mendapatkannya dalam kehidupan Rasulullah saw secara jelas dan sempurna. Oleh itu, Allah menjadikannya contoh bagi seluruh manusia seperti firman-Nya bermaksud:�Sesungguhnya sudah ada pada diri Rasulullah saw, teladan yang baik bagi kamu.� � (Surah al-Ahzab, ayat 21). Ketiga, supaya manusia dapat mempelajari sirah Rasulullah ini. Dengan itu, dapat membantu manusia memahami kitab Allah dan menyelami tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat al-Quran yang boleh ditafsir dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah saw dan sikapnya. Keempat, dengan mempelajari sirah, Muslim dapat mengumpul banyak pengetahuan dan ilmu Islam sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan, bahawa kehidupan Rasulullah saw adalah gambaran kukuh daripada sejumlah prinsip dan hukum. Kelima, supaya setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Rasulullah saw adalah seorang dai, pemberi nasihat dan guru terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikannya. Satu perkara yang menjadikan sirah ini cukup relevan sehingga hari ini ialah kerana seluruh kehidupan Baginda mencakupi seluruh aspek sosial dan kemanusiaan. Kehidupan Rasulullah saw memberi kita kehidupan mulia, baik sebagai seorang pemuda Islam yang lurus peri laku atau pendakwah kepada Allah dengan hikmah dan nasihat baik. Baginda mengerahkan segala kemampuan untuk menyempurnakan risalah Islam. Baginda adalah ketua negara yang mengatur segala urusan dengan adil dan bijaksana, suami teladan dan seorang ayah yang penuh kasih sayang. Rasulullah saw juga panglima perang mahir, negarawan pandai dan jujur serta Muslim secara keseluruhannya dapat melakukan secara seimbang di antara kewajipan beribadat kepada Allah dan bergaul dengan keluarga dan masyarakat dengan baik. Maka kajian sirah nabi untuk melahirkan aspek kemanusiaan ini secara keseluruhan yang tercermin dalam contoh yang paling sempurna dan terbaik. Umpamanya, jika anda seorang pembuka kota negara, ambillah pengajaran yang dilakukan oleh Rasulullah saw selepas kemenangan di Badar, Hunain dan pembukaan Makkah. Jika mengalami kegagalan, ambillah pengajaran Perang Uhud yang mana Baginda berada di antara sahabatnya yang syahid dan cedera. Jika anda seorang guru, lihatlah pengajaran Rasulullah saw di Suffat dalam Masjid Nabawi. Jika anda seorang pelajar, maka gambarkan anda berada di antara Jibrail yang menyampaikan wahyu kepada nabi. Jika anda sebagai hakim, ikutilah penyelesaian Rasulullah saw dalam meletakkan Hajarul Aswad. Uthman El-Muhammady menyebutkan sejarah kelahiaran Nabi Muhammad saw adalah peristiwa paling penting dalam sejarah keagamaan dan kehidupan manusia. Kehadirannya membawa kebenaran daripada Ilahi dan contoh kesempurnaan kehidupan mengikut kehendak-Nya. Baginda membawa bimbingan yang tidak ternilai harganya untuk manusia sejagat dan membawa rahmat ke seluruh alam. Secara umum sumber dan rujukan sirah ada tiga iaitu al-Quran, sunnah nabawi sahih dan kitab sirah. Al-Quran adalah rujukan utama untuk memahami sifat umum Rasulullah saw dan mengenal tahap umum daripada sirah yang mulia ini. Al-Quran menggunakan dua pendekatan dalam mengemukakan sirah nabi ini iaitu mengemukakan sebahagian kejadian daripada kehidupan baginda. Sirah seperti ini adalah ayat yang menjelaskan Perang Badar, Perang Uhud serta ayat yang mengisahkan perkahwinan dengan Zainab binti Jahsyi. Kedua, mentafsirkan peristiwa yang berlaku bagi menjawab masalah yang timbul, mengungkapkan masalah yang belum jelas atau nasihat yang terkandung dalamnya. Semua itu berkaitan dengan salah satu aspek daripada sirahnya. Tetapi perbicaraan al-Quran mengenai semua itu disampaikan secara umum dan terputus-putus serta penyajian secara global. Demikianlah cara al-Quran dalam menyampaikan setiap kisah nabi dan umat terdahulu. Sunah pula rujukan kedua yang terkandung dalam kitab hadis muktabar walaupun pada permulaannya belum tersusun secara urutan dan teratur. Ini kerana pada kebanyakan ulama hadis menyusun kitab mereka berdasarkan bab fikah. Antara keistimewaan sumber kedua ini ialah sebahagian besarnya isi riwayatnya dengan sanad sahih yang bersambung dengan Rasulullah saw seperti peristiwa haji al-Wada� yang diriwayatkan secara terperinci. Sumber ketiga ialah kitab sirah yang ditulis oleh pengkaji sirah nabi seperti Ibn Hisham yang terkenal dengan kitab sirah Ibn Hisham. Dalam kategori ini, ada kitab yang hanya membicarakan peperangan yang disertai oleh Rasulullah saw seperti kitab Maghazi Urwah bin Zubir, kitab yang hanya membicarakan mukjizat nabi seperti Dala�il al-Nubuwwah oleh Ibn Qutaibah, kitab yang hanya membicarakan akhlak nabi seperti Kitab al-Syama�il oleh al-Munziri. Pada masa ini, ada buku berkaitan sirah dalam bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulama di sini atau terjemahan. Antaranya ialah Fiqh Sirah oleh Dr Said Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi. Kisah Nabi Muhammad saw tersebar luas ke alam Melayu dan kisah ini disusun semula ke dalam bahasa Melayu dalam bentuk hikayat seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, Cerita Nabi Lahir, Hikayat Khatim al-Nabi dan Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah saw. Antara kepentingan sirah kepada kehidupan manusia dan pembinaan umat ialah kajian sirah dapat melengkapkan kefahaman mengenai akidah. Ini kerana beriman kepada nabi menuntut kita supaya lebih memahami maklumat diri Baginda. Keduanya, menunaikan perintah Allah yang menyuruh supaya umat Islam mengikuti teladannya. Oleh itu, melalui sirah umat Islam mendapat gambaran lebih lengkap dan terperinci mengenai kehidupan Rasulullah. |