| http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20020104095948/Article/ Sains, teknologi dan prinsip bismi Rabbik KHALQ as-samawat wal ardh, selain bererti membuka tabir sejarah penciptaan langit dan bumi, bermakna memikirkan sistem tata kerja alam semesta. Ini kerana kata khalq selain bermaksud penciptaan, bererti pengaturan dan pengukuran cermat. Pengetahuan mengenai perkara ini menjurus ilmuwan kepada rahsia alam dan gilirannya mengantarkan kepada penciptaan teknologi yang menghasilkan kemudahan dan manfaat bagi umat manusia. Mengikut ahli hukama, al-Quran ketika memperkatakan mengenai alam raya dan fenomenanya dengan jelas mengaitkannya dengan kebesaran dan kekuasaan Allah. Firman Allah bermaksud: �Apakah orang yang tidak beriman tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah satu yang padu, kemudian Kami (Allah) pisahkan kedua-duanya, dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapa mereka tidak juga beriman?� (Surah al-Anbia, ayat 30) Ayat ini difahami ramai ulama kontemporari sebagai isyarat mengenai teori ledakan besar yang mengawal terciptanya langit dan bumi. Ilmuwan agama tentu saja berbeza pendapat mengenai makna ayat itu atau proses berlaku pemisahan langit dan bumi. Apa yang pasti, ketika al-Quran membicarakan perkara itu, dikaitkannya dengan kekuasaan dan kebesaran Allah serta keharusan beriman kepada-Nya. Sewaktu mengisyaratkan pergeseran gunung daripada kedudukan asalnya, sebagaimana kemudian dibuktikan oleh ilmuwan, penjelasan itu dikaitkan dengan kehebatan Allah. Allah berfirman yang bermaksud: �Kamu lihat gunung, yang kamu sangka tetap di tempatnya, padahal berjalan sebagaimana halnya awan. Begitulah perbuatan Allah, yang membuat dengannya kukuh tiap sesuatu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.� (Surah al-Naml, ayat 88) Ini bererti bahawa sains dan hasilnya perlu selalu mengingatkan manusia terhadap kehadiran dan kemahakuasaan Allah, selain perlu memberi manfaat kepada kemanusiaan, sesuai dengan prinsip bismi Rabbik. Kedua, al-Quran sejak memperkenalkan istilah sakhhara yang maknanya bermuara kepada kemampuan meraih, dengan mudah dan sebanyak yang diperlukan segala sesuatu yang dapat dimanfaatkan daripada jagat raya melalui keahlian di bidang teknik. Ketika al-Quran memilih kata sakhhara yang maksud harfiahnya menunduk atau merendahkan, ertinya supaya jagat raya dengan segala manfaat yang dapat diraih daripadanya perlu tunduk dan dianggap sebagai sesuatu yang kedudukannya berada di bawah manusia. |
| Bukankah manusia diciptakan oleh Allah sebagai khalifah? Tidaklah wajar seorang khalifah tunduk dan merendahkan diri kepada sesuatu yang ditundukkan Allah kepadanya. Jika khalifah tunduk atau ditundukkan oleh alam, maka ia tidak sejalan dengan maksud Allah. Penundukan Allah terhadap jagat raya bersama potensi yang dimiliki manusia, apabila digunakan secara baik, akan membuahkan teknologi. Dapatlah disimpulkan bahawa teknologi dan hasilnya, di samping perlu mengingatkan manusia kepada Allah, mengingatkan bahawa manusia adalah khalifah yang kepadanya tunduk segala yang berada di jagat raya ini. Kalaulah alat atau mesin dijadikan sebagai gambaran konkrit teknologi, dapat dikatakan pada mulanya teknologi adalah memanjangkan organ manusia. Contohnya, ketika manusia mencipta pisau sebagai alat pemotong, ia disesuaikan dengan keperluan dan organ manusia. Alat itu sepenuhnya tunduk kepada pemakai, iaitu manusia, melebihi tunduknya seorang hamba. Teknologi kemudian berkembang dengan pelbagai alat sehingga menjadi mesin. Reka bentuk dan fungsi kereta atau mesin giling, semuanya berkembang. Mesin tidak lagi menggunakan sumber tenaga manusia atau binatang melainkan air, wap, api dan angin. Kapal terbang, misalnya, adalah sebuah mesin. Kini, kapal terbang tidak lagi memanjangkan organ manusia tetapi alat perluasan atau penciptaan organ dan manusia. Bukankah manusia tidak memiliki sayap yang memungkinkannya terbang? Tetapi dengan kapal terbang, ia bagaikan memiliki sayap. Alat atau mesin tidak lagi menjadi hamba tetapi menjadi kawan manusia. Dari semasa ke semasa, penciptaan mesin semakin canggih. Mesin melalui keupayaan akal manusia, digabungkan dengan lainnya, sehingga menjadi semakin kompleks. Mesin dapat menjalankan tugas yang dulu mesti dilakukan ramai orang. Pada tahap ini, mesin menjadi semacam musuh manusia atau lawan yang harus diubah suai selalu agar mahu mengikuti kehendak manusia. Pada masa ini, wujud teknologi, khususnya di bidang genetik, yang dibimbangi dapat menjadikan alat sebagai majikan. Ia mampu mencipta bakal majikan yang akan diperbudak-budak dan ditundukkan oleh alat. Jika begitu, ini jelas bertentangan dengan kedua-dua huraian di atas. Berdasarkan petunjuk al-Quran, seseorang Muslimin dapat menerima hasil teknologi yang sumbernya semula jadi dan tidak menyebabkan maksiat, serta bermanfaat bagi manusia. Seandainya penggunaan satu hasil teknologi melalaikan seseorang daripada zikir dan tafakur serta mengantarkannya kepada keruntuhan nilai kemanusiaan, maka ia mesti ditolak. Jika hasil teknologi sejak mula diduga dapat mengalihkan manusia daripada jati diri dan tujuan penciptaan, sejak awal pula kehadirannya ditolak oleh Islam. Lantaran itu, menjadi suatu persoalan besar bagi martabat manusia mengenai cara memadukan kemampuan mekanik demi penciptaan teknologi, dengan pemeliharaan nilai fitrahnya. Bagaimana mengarahkan teknologi yang dapat berjalan seiring dengan nilai Rabbani atau dengan kata lain bagaimana memadukan fikir dan zikir, ilmu dan iman? Sesungguhnya al-Quran memerintahkan manusia untuk terus meningkatkan kemampuan ilmiahnya. Jangankan manusia biasa, Rasulullah saw pun diperintahkan supaya berusaha dan berdoa supaya selalu ditambah pengetahuannya. Manusia memiliki naluri dan dahagakan ilmu pengetahuan. Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud: �Dua keinginan yang tidak pernah puas, keinginan menuntut ilmu dan keinginan menuntut harta.� Perkara ini dapat menjadi pemacu manusia untuk terus mengembangkan teknologi dengan memanfaatkan anugerah Allah yang dilimpahkan kepadanya. Justeru, kepesatan teknologi memang tidak dapat dibendung. Hanya manusia yang dapat berusaha mengarahkan diri supaya tidak mengikut nafsunya untuk mengumpulkan harta dan ilmu atau teknologi yang dapat membahayakan dirinya sendiri. Ini supaya dia tidak menjadi seperti kepompong yang membahayakan dirinya sendiri kerana kepandaiannya. Allah menegaskan dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: �Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu adalah seperti (hujan) yang Kami turunkan dan langit, lalu tumbuh kerananya bermacam-macam tanaman di bumi, antaranya makanan manusia dan ternak. �Selepas bumi memakai perhiasannya dan indah kelihatannya, dan yang punya mengira akan dapat memetik hasilnya, maka datanglah perintah Kami pada waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan bumi itu sebagai ladang padi yang sudah dituai, seakan-akan kelmarinnya tidak ada apa-apa. Begitulah Kami jelaskan keterangan kepada kaum yang berfikir.� |