kembali
Islam terus bertahan di negara komunis

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Agama/20020106101500/Article/

MESKIPUN terhimpit dengan fahaman komunisme, Islam di Republik Rakyat

China mampu bertahan dan terus berkembang. Selain jumlah penganut yang semakin ramai, masjid juga mudah ditemui di beberapa tempat di negara berpenduduk paling ramai di dunia.

Antaranya Masjid Utama di Xian bagi menampung keperluan hampir 60,000 masyarakat Islam daerah itu.

Masjid yang dipercayai dibina pada era pentadbiran Dinasti Tang, sekitar tahun 742 sebagai pusat ibadah pedagang Arab yang berniaga di China. Berbeza dengan masjid lain di tanah Arab, masjid ini tidak memiliki kubah dan menara.

Sebaliknya, seni binanya lebih dipengaruhi gaya seni China kecuali ukiran bertulisan Arab dan ukiran 99 nama Allah dan petikan dari ayat suci al-Quran.

Walaupun masjid ini tidak bermenara, ada dua pagoda memiliki fungsi yang hampir sama dengan menara.

Justeru dibina sejak Dinasti Tang, masjid ini mengalami banyak pengubahsuaian dan pembaikan ketika Dinasti Song, Yuan, Ming dan Qing. Hasil pengubahsuaian masjid itu kini menjadi masjid terbesar di China.

Ia didirikan di tapak berukuran empat segi tepat yang dibahagikan kepada empat halaman.

Halaman pertama memiliki hiasan gerbang daripada buluh yang cantik berukir dengan ketinggian sembilan meter yang dibina sejak abad ke-17. Di beberapa bahagian, perabot lama tinggalan Dinasti Ming dan Qing turut dipamerkan.

Masjid itu juga dihiasi tulisan kaligrafi yang dihasilkan oleh guru kaligrafi terkenal Dinasti Song, Mi Fu dan juga oleh Dong Qicheng dari Dinasti Ming.

Selain itu, di situ juga tersimpannya al-Quran bertulisan tangan tinggalan Dinasti Ming dan kalendar batu yang dikenali jadual bulan yang ditulis oleh imam masjid berkenaan. Tinggalan itu memiliki nilai sejarah yang tinggi terutama berkaitan penyelidikan perkembangan Islam di wilayah Shaanxi.

Mengikut sejarah, sejak zaman berzaman pedagang Arab memiliki hubungan perniagaan dengan pedagang China. Justeru tidak menghairankan, apabila selepas kemangkatan baginda Rasulullah sekitar abad ke tujuh, masyarakat Arab memilih China sebagai destinasi menyebarkan Islam.

Bagaimanapun, jumlah pedagang Arab yang beroperasi di sana agak kecil kecuali selepas abad ke-13, apabila Kublai Khan meluaskan tanah jajahannya hingga ke barat daya dan memaksa sejumlah besar orang Islam menyertai pasukan tentera.

Walaupun masyarakat Islam ini mengekalkan kebudayaan dan agama mereka, pergaulan dan perkahwinan dengan masyarakat setempat melahirkan kelompok masyarakat Islam minoriti yang unik dan akhirnya melahirkan kelompok masyarakat yang dikenali sebagai Hui.
Hosted by www.Geocities.ws

1