| ARTIKEL |
|
Suami pembawa Hepatitis B perlu
pelalian antibodi
PELALIAN untuk Hepatitis B perlu diambil oleh lelaki dan perempuan. SOALAN: SAYA berusia 25 tahun. Belum bekerja dan baru tamat pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Masalah saya ialah saya disahkan pembawa Hepatitis B ketika saya menuntut. Disebabkan penyakit ini saya takut untuk berkahwin. Saya berasa rendah diri. Penyakit ini saya peroleh bukan daripada hubungan seks rambang tetapi mungkin disebabkan oleh penggunaan pisau gunting rambut atau sentuhan ketika terlalu aktif dalam sukan. Oleh itu saya ingin mengetahui bagaimana caranya saya ingin berkahwin jika menghidap penyakit ini. Saya takut pasangan saya berpandangan serong terhadap saya kerana penyakit ini ialah salah satu penyakit berjangkit yang berbahaya. Bagaimana cara untuk saya menghilangkan perasaan rendah diri dan apakah nasihat doktor mengenai penyakit ini. SUE Rawang, Selangor. JAWAPAN: HEPATITIS B ialah salah satu masalah kesihatan awam di negara kita. Kira-kira 1.3 juta rakyat Malaysia sudah dikesan sebagai pembawa virus penyakit Hepatitis. Pembawa virus penyakit Hepatitis B ini lazimnya sihat tetapi ada kemungkinan boleh menjangkiti orang lain tanpa disedari. Jangkitan virus ini lazimnya melalui cairan badan iaitu darah pembawa virus, melalui ibu kepada anak yang dilahirkannya ataupun melalui hubungan seksual. Oleh itu mereka yang bekerja seperti doktor, doktor gigi, jururawat, bidan, pekerja di makmal darah dan sesiapa saja yang terbabit menyentuh secara langsung dengan pesakit ataupun cairan tubuh badannya seperti darah, memang mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti. Suami atau isteri kepada pembawa hepatitis ini juga berkemungkinan dijangkiti jika mereka tidak mempunyai antibodi terhadap Hepatitis B. Begitu juga anak yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang menjadi pembawa virus ini. Ada juga sedikit kemungkinan (risiko kecil) jangkitan ini boleh berlaku melalui laluan dubur mulut. Beberapa komplikasi yang boleh berlaku bagi pembawa virus Hepatitis B ini terutama apabila umurnya semakin meningkat. Sirosis hati atau hepar (hepatic cirrhosis) wujud apabila hati menjadi keras dan fungsinya akan terjejas. Meningkat risiko barah hati 200 kali ganda daripada mereka yang tidak dijangkiti virus ini. Bagi kes anda, walaupun sudah disahkan menjadi pembawa virus Hepatitis B ini, anda masih boleh meneruskan kehidupan anda seperti biasa dan boleh berkahwin dan mempunyai anak sendiri. Beberapa langkah yang perlu diambil ialah: - Memastikan suami yang akan anda kahwini itu mengahwini anda kerana diri anda dan bukan kerana asas fizikal lain seperti kecantikan, harta atau status. Anda perlu berterus terang dengan bakal suami anda sebelum berkahwin supaya dia boleh menerima hakikat itu dan tidak terasa dirinya tertipu selepas berkahwin. Lagipun dia, bakal suami anda perlu menjalani ujian darah untuk mengetahui status antibodinya terhadap Hepatitis B. Jika sudah ada antibodi ini maka perkahwinan dan hubungan kelamin bolehlah dilakukan kerana bakal suami anda sudah pun mempunyai perlindungan. Jika belum mempunyai antibodi terhadap virus ini, maka bakal suami perlu mengambil perlindungan pelalian suntikan Hepatitis B. Pelalian itu memerlukan selama enam dengan tiga suntikan. Selepas suntikan pertama, suntikan kedua akan diberi sebulan selepas itu, manakala suntikan ketiga akan diberikan lima bulan selepas suntikan kedua. Bakal suami perlu melakukan ujian darah tiga hingga empat bulan selepas suntikan ketiga untuk memastikan ada reaksi antibodi. Keadaan ini penting kerana 10 peratus daripada pelalian tidak menghasilkan antibodi, terutamanya bagi mereka yang melebihi usia 40 tahun. Lazimnya 90 peratus menerima pelalian ini berjaya mengeluarkan antibodi yang boleh memberi perlindungan daripada penyakit Hepatitis B. Oleh kerana jangka masa perlindungan daripada pelalian tidak diketahui dengan tepat, amatlah penting bagi suami anda untuk menguji kadar antibodinya secara berkala iaitu selepas satu tahun dan lima tahun pelalian. Jika kadar antibodinya menjadi agak rendah, pelalian tambahan diperlukan. Bagi anda pula, pelalian tidak berkesan untuk keadaan ini. Amatlah penting anda mengetahui status ini supaya anda dapat memberitahu pekerja di hospital supaya mengambil langkah perlindungan untuk mengurangkan risiko jangkitan. Janganlah berasa tersisih apabila langkah ini diambil. Ia hanya semata-mata langkah berjaga-jaga. Anda juga perlu memberitahu mengenai status pembawa Hepatitis B ini selepas melahirkan bayi. Langkah ini penting kerana suntikan pelalian secara pasif dengan spesifik Hepatitis B immunoglobulin (HBIG) perlu diberikan kepada bayi anda dalam masa 48 jam selepas dilahirkan untuk melindungi bayi anda daripada jangkitan virus ini. Di samping pelalian pasif, pelalian aktif juga diberikan seperti bayi lain iaitu dos yang pertama diberikan sewaktu lahir, kedua pada umur bayi sebulan dan yang ketiga pada umur bayi enam bulan. Lazimnya juga doktor akan menjalankan pemeriksaan untuk mengesan satu lagi jenis antigen (HBe antigen) yang akan memberi petanda jangkitan (indicator of infectivity). Jika antigen ini dikesan, kemungkinan jangkitan kepada janin atau orang lain meningkat. Anda juga perlu menjaga kesihatan supaya berada pada tahap optimum. Dinasihatkan juga supaya anda berjumpa doktor yang akan memantau fungsi hati anda dan memberi rawatan apabila diperlukan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di Malaysia, semua bayi yang baru dilahirkan akan diberikan pelalian Hepatitis B. Oleh itu bagi orang dewasa yang belum menerima pelalian amatlah penting untuk mengambilnya baik wanita ataupun lelaki. Ingatlah pelalian ini boleh melindungi seseorang daripada penyakit Hepatitis B dan barah hati. Pelalian ini tidak diberikan kepada wanita hamil. Oleh itu wanita yang belum berkahwin ataupun baru melahirkan bayi perlulah mengambil pelalian ini sekiranya belum ada antibodi untuk melindunginya daripada penyakit ini. Seorang mukmin yang benar ialah seseorang yang reda dengan apa yang sudah menjadi ketentuan-Nya, iaitu qada dan qadar. Jika dia mendapat kurniaan Allah swt dalam bentuk kesenangan dia bersyukur dan jika dia ditimpa musibah atau kesusahan, dia bersabar, maksud daripada hadis an-Nabawi. Oleh itu bagi seorang mukmin, dalam apa keadaan pun dia mengambil sikap positif kerana memahami hikmat di sebaliknya. Renunglah ayat dan hadis ini dan ingatlah nilai yang paling penting bagi seseorang Muslim ialah takwa, maksud ayat 13 daripada surah al-Hujurat: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Hadis daripada Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala tidak akan memandang kepada bentuk fizikal dan keelokan wajahmu, namun Dia melihat kepada (kemurnian) hati kamu.” Nilai ini yang dipandang ringan oleh masyarakat kita pada zaman ini, padahal inilah nilai yang menjadi pengukur kebahagiaan dunia dan akhirat. ©New Straits Times (M) Berhad |