ARTIKEL
Batu Bulat di Costa Rica

SALAH satu misteri utama dalam bidang arkeologi ialah penemuan Diquis Delta di Costa Rica. Sejak tahun 1930-an beratus bola batu yang disenaraikan dalam pelbagai saiz daripada beberapa sentimeter sehinggalah lebih dua meter diameternya. Ada di antaranya yang mempunyai berat lebih 15 000 kg. Kebanyakan bebola batu ini dibuat daripada granodiorit, sejenis batu igneus keras. Objek ini merupakan arca monolitik daripada hasil kerja tangan manusia.

Jumlah batu berbentuk bulat atau sfera ini lebih 300 setakat ini. Kini batu bulat yang ditemui ini menghiasi bangunan pejabat seperti Lagislative Asamblea, hospital dan sekolah. Anda boleh melihatnya jika berkunjung ke muzium Costa Rica selain menjadi simbol kuasa dan kekayaan jika diletakkan di rumah atau taman.

Berdasarkan penemuan awal, batu ini diperoleh di dasar Sungai Terraba yang mungkin mengalami proses pemindahan semula jadi daripada kawasan asalnya di pergunungan Talamanca. Bentuk batu yang belum sempurna bulat juga turut ditemui di kawasan ini. Seperti arca tertua di dunia, terdapat juga kuari Costa Rica pada jarak lebih 80 km daripada tempat penemuan objek misteri ini.

Bola batu yang ditemui di Costa Rica dikategorikan sebagai objek spekulasi pseudo saintifik dalam buku yang diterbitkan oleh Erich von Daniken pada tahun 1971. Sebenarnya bebola bulat ini mula ditemui secara tidak sengaja melalui aktiviti pertanian yang dilakukan oleh United Fruit Company pada tahun 1940. Seterusnya penyelidikan mula dilakukan sejurus kemudian dan beberapa buku mengenainya telah diterbitkan pada tahun 1943.

Aktiviti gali cari yang dilakukan oleh ahli arkeologi pada tahun 1950 kemudiannya mendapati objek ini berkaitan dengan arca tanah liat dan beberapa bahan lain di kalangan masyarakat Pra Columbian yang tinggal di Selatan Costa Rica.

Dari segi saiz, ukuran, berat serta bahan yang digunakan merupakan sesuatu yang luar biasa dan tidak sama dengan bebola batu yang ditemui di Jalisco, Mexico pada tahun 1965. Tetapi apa yang boleh dipastikan ialah arca monolitik ini merupakan hasil kerja tangan manusia.

Bebola ini juga bukan merupakan sesuatu yang membahayakan malah banyak yang telah musnah akibat diletupkan oleh pencari harta karun yang beranggapan ada sesuatu berharga di dalamnya. Ada juga yang retak akibat terkena peralatan pertanian. Walaupun beberapa kajian dilakukan tetapi asal bebola batu misteri dan kegunaannya masih menjadi lipatan sejarah dan hanya orang membuatnya sahaja yang mengetahui tujuan apakah arca ini dihasilkan.

Bebola batu ini ditemui di delta Sungai Dirquis dan Sungai General, berdekatan dengan pekan Palmar Sur dan Palmar Norte. Bebola ini ditemui di utara kawasan Estrella dan sehinggalah di selatan muara sungai Coto Colorado. Ada juga yang ditemui di Golfito dan Isla del Cano.

Sejak mula ditemui pada tahun 1940-an, objek ini digunakan sebagai objek dekorasi yang menghiasi taman pejabat dan rumah golongan kenamaan. Biasanya diangkut dari satu tempat ke satu tempat melalui kereta api yang merupakan kenderaan pengangkutan utama di seluruh Costa Rica. Kini, bebola batu ini merantau melepasi sempadan negara asalnya. Terdapat dua biji batu yang dipamerkan di Amerika Syarikat. Salah satunya di muzium Society National Geographic, Washington dan satu lagi di taman dalam berdekatan Muzium Arkeologi dan Etnografi di Universiti Harvard.

Saiznya daripada beberapa sentimeter sehingga dua meter ukuran diameter. Berat yang paling besar dianggarkan mencecah 15 000 kg. Kebanyakan bebola batu ini dibuat daripada granodianit, sejenis batu igneus keras yang merupakan singkapan di kaki bukit berdekatan kawasan Talamanca. Tetapi terdapat juga beberapa objek yang dibuat daripada kokuina, sejenis bahan yang sama dengan batu kapur tetapi terbentuk daripada pengumpulan cangkerang dan pasir pantai. Ini mungkin di bawah oleh Sungai Terraba dan selat Sierpe ke kawasan pedalaman.

Samuel Lothrop yang mengkaji batuan ini merekodkan sejumlah 186 bebola batu sehingga tahun 1963. Tetapi dikatakan terdapat beratus objek seperti ini yang ditemui Costa Rica. Dilaporkan sebanyak 45 biji bola batu ditemui di suatu kawasan dalam Jalaca. Bebola batu ini seakan-akan dikecilkan daripada bentuk asal membentuk sfera melalui beberapa peringkat seperti pemecahan terkawal, memahat dan menyusun. Granodiorit yang digunakan menunjukkan wujud kesan eksfoliat dalam lapisan apabila objek ini dikenakan perubahan suhu mendadak.

Bebola batu ini dihasilkan melalui seni pertukangan yang agak melampau seperti mengenakan suhu panas (daripada pembakaran arang batu) dan sejuk (menyejuki dengan air). Setelah bentuknya seakan sfera, mereka kemudiannya mengetuk dan memahat batu berkenaan dengan menggunakan bahan yang sama dan mengilatkan dengan pengilat. Ini merupakan proses sama dengan cara mereka mengilat kapak batu, alat pemotong dan juga tugu batu tanpa aplikasi teknologi moden seperti peralatan logam, pancaran laser atau sebarang bentuk bantuan daripada makhluk asing seperti yang tertulis dalam sesetengah buku.

Bebola ini seperti dibuat oleh masyarakat purba yang hidup pada zaman kegemilangan kerajaan Sepanyol. Mereka menggunakan bahasa Chidchan yang mempunyai kaitan dengan masyarakat timur Honduras sehinggalah utara Colombia. Pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang ditanam secara tradisional dan mendiami rumah yang berbentuk bulat.

Menurut ahli arkeologi, bebola batu yang ditemui tertanam hanya mempunyai ciri tanah liat, ini menunjukkan dihasilkan oleh masyarakat Aguas Buenas lebih kurang 200 Sebelum Masihi hingga 800. Selain itu, terdapat juga bebola batu yang ditemui ditanam dengan barangan emas bertarikh 1000. Mereka juga menemui stratum yang mengandungi cebisan tanah liat zaman Chiriqui berusia sekitar awal tahun 800. Cebisan tanah liat yang ditemui didapati mempunyai kaitan dengan peralatan besi pada zaman kolonial, dikatakan dibuat pada abad ke-16.

Walau apa pun, tidak seorang pun tahu kegunaannya. Kebanyakan bola yang ditemui berada pada kedudukan susunan tertentu sama ada dalam bentuk garis lurus atau melengkung, seakan segi tiga. Sekelompok bola yang terdiri daripada empat biji ditemui dalam bentuk susunan segaris ke arah titik utara magnet. Pengkaji beranggapan susunan itu dibuat oleh mereka yang biasa menggunakan kompas magnet atau garisan astronomi.

Tetapi bentuk garisan ini dimusnahkan apabila bebola itu dibawa ke tempat lain, oleh itu bentuk yang dihasilkan sejak 50 tahun lalu tidak dapat dijangka dengan tepat. Kebanyakan bebola yang ditemui diletakkan mengikut susunan itu ditemui di puncak anak bukit dengan kedudukan ke bawah. Terdapat spekulasi yang menyatakan mungkin rumah mereka dibina di puncak bukit berkenaan bagi membolehkan pencerapan yang mereka lakukan sukar dilihat.

Petikan daripada Majalah Dewan Kosmik Julai 2004.

Hosted by www.Geocities.ws

1