| ARTIKEL |
|
Misteri Kepupusan Dinasour
SEBELUM kewujudan manusia, dunia ini dipercayai didiami oleh sejenis makhluk raksasa yang bernama dinosaur. Dinosaur dikatakan telah menjadi penghuni bumi sejak 60 juta tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, sejauh manakah benarnya kewujudan dinosaur masih menjadi satu perbahasan yang hangat di kalangan saintis dan arkeologi. Ada yang berpendapat bahawa kewujudan dinosaur tidak lebih daripada suatu imaginasi semata-mata. Tidak kurang juga yang mempertahankan kewujudannya berdasarkan kepada penemuan fosil binatang bersaiz raksasa yang berupa tulang, rangka, gigi, dan sebagainya. Fosil yang ditemui itu mempunyai ciri-ciri yang negatif dari segi rupa dan bentuknya. Kajian radio isotop yang dilakukan terhadap fosil-fosil itu mendapati usianya mencecah jutaan tahun. Manakala usaha untuk mencantumkan fosil-fosil itu telah menghasilkan makhluk raksasa yang mempunyai saiz yang luar biasa besarnya. Sesetengah dinosaur itu didapati menyerupai haiwan yang biasa kita lihat seperti gajah, buaya, badak, ikan paus, dan kelawar. Malahan kajian mendapati bahawa ada kemungkinan binatang-binatang tersebut merupakan tinggalan dinosaur dan setelah melalui proses evolusi, saiz binatang-binatang itu menjadi kecil berbanding dengan ‘moyangnya’. Jadi, dinosaur sebenarnya tidak mengalami kepupusan tetapi mengalami suatu bentuk evolusi untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan persekitaran yang baru. Gajah raksasa yang dikenali sebagai ‘mammoth’ mungkin tidak dapat dilihat lagi tetapi hubungan di antara gajah dengan haiwan mamalia ini amat rapat sekali. Begitu juga dengan ular raksasa atau lebih popular dengan panggilan ‘anaconda’ merupakan tinggalan dinosaur yang masih mempertahankan kelestariannya sehingga ke hari ini. Kini, kajian sedang ditumpukan untuk mengumpulkan bukti-bukti kewujudan dinosaur purba pada zaman moden. Ramai saksi telah tampil untuk membuat pengakuan bahawa mereka pernah melihat haiwan raksasa di beberapa lokasi tasik dan laut. Di negara kita, ada pihak mendakwa pernah melihat makhluk yang menyerupai naga atau dinosaur di Tasik Chini, Pahang dan Tasik Biru, Sarawak. Di Eropah pula, rakaman terhadap kewujudan makhluk aneh telah dilakukan tetapi tidak ada seorang pun yang berani menyatakan bahawa makhluk itu ialah dinosaur. Sekiranya benar dinosaur masih wujud, mengapakah populasinya tidak bertambah dan mengapa kehadirannya hanya dapat dilihat sekali-sekala? Apakah makhluk raksasa yang dilihat oleh para nelayan di laut merupakan khayalan mereka semata-mata seperti dakwaan mengenai kewujudan ikan duyung? Tidak ada seorang pun yang berani mengiakannya kerana dalam lautan yang begitu luas, terdapat berjuta-juta spesies hidupan termasuk yang mempunyai saiz yang besar. Ikan siakap yang biasa kita makan boleh membesar lebih sepuluh kali ganda saiznya. Selain itu sotong raksasa yang mempunyai saiz seperti sebuah kapal pernah ditangkap oleh nelayan di laut dalam. Jadi, kewujudan haiwan dan hidupan yang lebih besar daripada itu sudah tentunya tidak dapat ditolak oleh sesiapa pun. Dianggarkan terdapat beratus-ratus jenis dinosaur yang mempunyai habitat, perwatakan, dan corak pemakanan yang berbeza-beza. Ada yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan dan sebahagian lagi merupakan haiwan pemaging. Sesetengah dinosaur ini boleh terbang dan ada pula yang merayap serta merangkak. Kehidupan pada zaman dinosaur dikatakan berdasarkan kepada siapa yang kuat maka haiwan itu akan menang dan terus hidup. Yang lemah pula akan menjadi mangsa dan makanan kepada yang kuat. Dalam kehidupan dinosaur, tidak ada peraturan dan undang-undang yang dipraktikkan. Para pengkaji berpendapat bahawa dunia dinosaur amat berbeza sekali dengan dunia yang kita diami sekarang ini. Haiwan pra sejarah ini menjalani kehidupan yang sukar dan mendominasi dunia selama berpuluh-puluh ribu tahun lamanya. Oleh itu, apakah yang menyebabkan dinosaur pupus dan lenyap daripada dunia ini? Bagaimanakah kepupusan itu boleh berlaku sedangkan dinosaur mempunyai daya tahan fizikal terhadap situasi yang sukar serta lasak? Terdapat tiga hipotesis telah dikemukakan oleh para saintis untuk menjawab persoalan tersebut. Dalam hipotesis yang pertama, dinyatakan bahawa kepupusan dinosaur disebabkan oleh perubahan cuaca yang mendadak di planet bumi. Bumi pada suatu ketika dahulu diselaputi oleh lapisan ais yang tebal. Kepanasan global secara berterusan akibat daripada aktiviti semula jadi bumi telah menyebabkan lapisan air ini mencair. Tumbuh-tumbuhan yang hidup subur dan menjadi sumber makanan utama kepada dinosaur turut menerima kesan daripada perubahan cuaca yang itu. Kelangsungan hidup dinosaur banyak bergantung kepada alam persekitarannya. Sebarang perubahan yang berlaku terhadap persekitarannya akan mengganggu pola dan corak hidupnya. Kesan keadaan cuaca yang tidak menentu ini akhirnya menyebabkan dinosaur mengalami kekurangan makanan dan berlaku pembunuhan secara besar-besaran antara satu sama lain. Tidak kurang juga yang mati kerana kebuluran. Dalam dunia dinosaur tidak ada perasaan belas kasihan dan sikap toleransi. Apabila simbiosis yang menjadi asas kehidupan tidak dapat dipertahankan lagi maka akhirnya dinosaur mengalami kepupusan yang maha dahsyat. Hipotesis kedua pula menyatakan bahawa kepupusan dinosaur mempunyai kaitan dengan malapetaka dan bencana alam seperti letupan gunung berapi, gempa bumi, ribut, banjir, dan kepanasan yang melampau. Pada tahap awal pembentukan dunia, bumi merupakan sebuah planet yang tidak stabil. Para saintis percaya bahawa benua yang kita duduki pada asalnya adalah satu. Tetapi, disebabkan pergerakan bumi, tanah yang pada mulanya satu telah berpisah membentuk beberapa benua. Oleh sebab itulah, binatang yang ditemui oleh sesetengah benua tidak didapati di benua yang lain. Aktiviti dan gerakan ini juga telah menghasilkan banjaran, gunung-ganang, bukit bukau, lembah, lurah, gaung, dan permukaan bumi yang lain. Kesan daripada gerakan dan aktiviti bumi ini telah menyebabkan kematian dinosaur secara besar-besaran. Hipotesis ini juga secara tidak langsung menjelaskan punca penemuan banyak daripada fosil dinosaur yang tertanam jauh ke dalam tanah dan terperangkap di bawah batuan bumi yang membentuk arang batu serta minyak. Hipotesis ketiga dianggap lebih meyakinkan dan rasional. Mengikut hipotesis ni, kepupusan dinosaur berpunca daripada pelanggaran komet atau tahi bintang dengan bumi. Pelanggaran secara besar-besaran telah menyebabkan kematian dinosaur secara tragis. Letupan yang dihasilkan daripada pelanggaran ini telah menyebabkan kebakaran hutan, perubahan cuaca yang besar, debu menutupi ruang atmosfera selama berdekad-dekad lamanya, dan kesan radioaktif yang membakar. Kesan perlanggaran itu masih boleh dilihat sehingga ke hari ini di beberapa bahagian bumi. Komet dan tahi bintang yang melanda itu bersaiz besar, cukup untuk menghasilkan ledakan yang beribu-ribu kali ganda lebih kuat daripada letupan bom atom. Bencana itu telah menyebabkan tidak ada satu pun dinosaur yang mampu meneruskan kehidupan dan kisahnya ianya tinggal dalam lipatan sejarah. Ketiga-tiga hipotesis itu mempunyai asas, fakta, dan bukti yang tersendiri. Jadi, ketiga-tiga hipotesis ini boleh digunakan untuk menjelaskan masalah kepupusan dinosaur. Kepupusan dinosaur sebenarnya telah memberikan banyak manfaat kepada manusia kerana pereputan dinosaur telah menghasilkan bahan hidrokarbon dan bahan bakar lain untuk kegunaan manusia. Hasil tinggalan dinosaur ini seperti minyak, gas asli, dan arang batu telah membantu perkembangan tamadun serta segala kemajuan yang dicapai oleh manusia. Sesungguhnya kematian dinosaur tidak sekadar meninggalkan tulang belulang dan fosil untuk dikaji, tetapi menjadi bahan buangan yang mempunyai seribu satu kegunaannya. Petikan daripada Majalah Dewan Siswa Mac 2004. |